Nutrisi

6 Vitamin Untuk Rambut Gugur (+3 Nutrien Lain)

Pinterest LinkedIn Tumblr

Masalah rambut gugur menganggu anda? Hilang keyakinan diri akibat rambut gugur?Jom baca! Kami kongsikan vitamin untuk rambut gugur yang boleh membantu mengatasi masalah rambut gugur.

Rambut memerlukan nutrien tertentu untuk tumbuh dengan sihat. Jika kekurangan nutrien-nutrien ini, kemungkinan besar berlakunya rambut gugur atau rambut yang rosak.

Selain itu, punca keguguran rambut juga boleh berkaitan dengan faktor lain seperti peningkatan usia, hormon, genetik, kesan sampingan ubat-ubatan, penyakit dan juga jangkitan virus atau kulat [1].

Keguguran rambut akibat kekurangan vitamin untuk rambut dikenali sebagai efluvium telogen. Ia memaksa rambut yang berada dalam fasa pertumbuhan beralih kepada fasa rehat yang menyebabkan rambut gugur.

Efluvium telogen ini bersifat sementara dan boleh dipulihkan dengan mendapatkan vitamin yang kurang secukupnya.

vitamin untuk rambut gugur

Berikut adalah beberapa vitamin untuk rambut gugur serta nutrien lain yag diperlukan untuk rambut.

1. Vitamin B2

Vitamin B2 atau dikenali sebagai riboflavin berperanan dalam pembentukan dan fungsi sel-sel, metabolisme lemak dan penghasilan tenaga.

Kekurangan vitamin B2 adalah amat jarang berlaku kerana vitamin B2 boleh didapati dalam kebanyakan makanan yang dimakan. Tetapi, sekiranya berlaku kekurangan vitamin ini, ia boleh menyebabkan rambut gugur [2].

2. Vitamin B3 (Niacin)

Vitamin B3 atau Niacin juga didapati berperanan dalam membantu menyelesaikan masalah rambut gugur.

Niacin berperanan meningkatkan kitaran darah dan membawa oksigen dan nutrien ke folikel rambut.

Kajian yang dijalankan menggunakan ubat sapuan yang dihasilkan daripada niacin mendapati ubat ini meningkatkan rambut bagi pesakit keguguran rambut bercorak [3].

3. Vitamin B7 (Biotin)

Kekurangan vitamin B7 atau lebih dikenali sebagai biotin juga dikaitkan dengan rambut gugur.

Kekurangan biotin boleh disebabkan banyak faktor. Antaranya adalah disebabkan oleh genetik, pemakanan, ubat-ubatan, ketagihan arak dan kehamilan. Pemakanan telur mentah yang banyak juga boleh menyebabkan kekurangan biotin.

Biotin boleh didapati melalui diet yang mengandungi protein.

Satu kajian semula yang dilakukan terhadap 18 laporan kes mendapati pesakit yang mengalami kekurangan biotin menunjukkan penambahbaikkan kepada masalah rambut gugur dan kuku rapuh selepas diberikan makanan tambahan (suplemen) biotin [4].

4. Vitamin C

Vitamin C atau asid askorbik adalah vitamin penting yang bertindak sebagai antioksidan. Vitamin ini membantu menggalakkan penghasilan kolagen dan meneutralkan kesan daripada radikal bebas.

Dalam konteks rambut gugur, vitamin C membantu badan menyerap zat besi. Zat besi adalah salah satu mineral yang diperlukan untuk pertumbuhan rambut [5].

Vitamin C adalah jenis larut air dan dikumuhkan setiap hari serta tidak dihasilkan oleh badan. Oleh itu, vitamin ini harus diambil secara harian melalui diet yang sihat.

Buah-buahan sitrus seperti oren dan lemon, buah jambu batu, kubis dan tomato antara makanan yang kaya dengan vitamin C. Selain itu, vitamin C juga boleh didapati dalam bentuk makanan tambahan (suplemen).

Dapatkan vitamin C online

5. Vitamin D

Vitamin D ialah kumpulan vitamin larut-lemak yang boleh diperolehi melalui diet atau melalui sinaran matahari.

Terdapat kajian yang mengaitkan kekurangan vitamin D dengan keguguran rambut atau dikenali sebagai alopecia [6,7].

Dalam satu ulasan kajian yang melibatkan 1255 pesakit yang menghidap keguguran rambut, didapati pesakit ini mempunyai kadar vitamin D yang lebih rendah daripada pesakit yang tidak mengalami keguguran rambut [8].

Begitu juga dengan kajian yang dijalankan oleh pengkaji di India, pesakit alopecia areata (keguguran rambut secara bertompok) menunjukkan kekurangan vitamin D [9].

Walau bagaimanapun, tiada kajian yang jelas dijalankan terhadap peranan vitamin D dalam pertumbuhan rambut. Kebanyakan kajian lebih tertumpu kepada reseptor vitamin D.

Jika anda mengalami keguguran rambut, pengambilan vitamin D boleh membantu mengurangkan keterukan penyakit ini [10].

Sumber vitamin D boleh didapati melalui makanan seperti ikan salmon, ikan kembung, ikan, telur dan lain-lain lagi.

Lihat senarai makanan tinggi vitamin D.

6. Vitamin E

Seperti vitamin C, vitamin E juga adalah antioksidan yang boleh mencegah tekanan pengoksidaan.

Satu kajian yang dijalankan oleh pengkaji dari Universiti Sains Malaysia mendapati mereka yang mengalami keguguran rambut berjaya meningkatkan pertumbuhan semula rambut sebanyak 34.5% selepas mengambil makanan tambahan vitamin E selama 8 bulan [11].

Nutrien-nutrien lain

Selain keperluan sesetengah vitamin untuk rambut gugur, terdapat juga nutrien lain yang diperlukan oleh rambut untuk kekal sihat dan terhindar daripada keguguran. Antaranya adalah zat besi, zink dan protein.

Zat besi

Kekurangan zat besi adalah antara masalah kekurangan nutrisi yang paling kerap terjadi di dunia. Malah, kekurangan zat besi adalah biasa dikaitkan dengan wanita yang mengalami keguguran rambut [12].

Zat besi berperanan untuk membantu sel-sel darah merah membawa oksigen ke seluruh badan manusia. Ia menjadikan zat besi ini sangat penting untuk fungsi tubuh manusia.

Kekurangan zat besi boleh menyebabkan penyakit kurang darah merah (anemia). Ia juga menjadi penyumbang terbesar kepada masalah keguguran rambut dalam kalangan wanita [13].

Antara makanan yang tinggi dengan zat besi termasuklah kerang, tiram, daging merah, telur dan bayam.

Lihat senarai makanan tinggi dengan zat besi.

Zink

Selain zat besi, mineral zink juga adalah penting untuk badan. Mineral zink ini hanya boleh didapati melalui diet (pemakanan). Sumber utama kepada mineral ini ialah ikan dan daging.

Kajian semula terhadap 6 kajian kes terkawal melaporkan 4 daripada kajian kes tersebut mendapati pesakit alopecia areata mempunyai kadar zink yang rendah berbanding mereka yang sihat [14].

Terdapat juga kajian lain yang menunjukkan perkaitan kuat antara kekurangan zink dengan rambut gugur [15].

Antara makanan yang kaya dengan mineral zink ini termasuklah daging lembu, tiram, bayam dan biji labu.

Protein

Rambut itu sendiri terdiri daripada protein. Pengambilan protein yang mencukupi penting untuk pertumbuhan rambut.

Kajian terhadap haiwan mendapati kekurangan protein membawa kepada keguguran rambut dan mengurangkan pertumbuhan rambut [15].

Namun begitu, masalah kekurangan protein adalah sangat jarang berlaku di kebanyakan negara.

Perlukah anda mengambil makanan tambahan?

Makanan seperti sayur-sayuran atau buah-buahan adalah sumber terbaik untuk mendapatkan vitamin dan nutrien-nutrien lain.

Namun, jika anda gagal untuk mendapatkan vitamin ini secukupnya, makanan tambahan atau suplemen untuk rambut gugur boleh membantu. Suplemen ini berkesan terutamanya kepada mereka yang sememangnya mengalami masalah kekurangan nutrien tersebut.

Langkah terbaik ialah dapatkan nasihat doktor jika anda ingin mengambil sesuatu suplemen terutamanya jika anda tidak mempunyai sebarang masalah kekurangan zat atau nutrien.

Rumusan

Secara ringkasnya, vitamin B,C, D dan E adalah vitamin penting untuk rambut gugur yang harus diambil secukupnya terutamanya dalam diet harian kita bagi mengelakkan masalah keguguran rambut.

Selain vitamin ini, mineral zat besi dan zink juga turut memainkan peranan penting dalam masalah rambut gugur. Banyak kajian yang mengaitkan kekurangan mineral ini dengan masalah rambut gugur.

Kemaskini terakhir pada 15 September 2020.

Rujukan

Rujukan
  1. Lin, R. L., et al. (2016). Systemic causes of hair lossAnnals of medicine.
  2. Riboflavin Rs R. (2010). Encyclopedia of dietary supplements. London and New York: Informa Healthcare. pp. 691–699.
  3. Draelos, Z.D., et al. (2005), A pilot study evaluating the efficacy of topically applied niacin derivatives for treatment of female pattern alopecia. Journal of Cosmetic Dermatology.
  4. Patel, D. P., et al. (2017). A Review of the Use of Biotin for Hair LossSkin appendage disorders.
  5. Lane, D. J., et al. (2014). The active role of vitamin C in mammalian iron metabolism: much more than just enhanced iron absorption!. Free radical biology & medicine.
  6. Mahamid, M., et al. (2014). Association between vitamin D levels and alopecia areataThe Israel Medical Association journal.
  7. Aksu Cerman, A., et al. (2014). Vitamin D deficiency in alopecia areataThe British journal of dermatology.
  8. Lee, S., et al. (2018). Increased prevalence of vitamin D deficiency in patients with alopecia areata: a systematic review and meta-analysisJournal of the European Academy of Dermatology and Venereology.
  9. Gade, V., et al. (2018). An investigation of vitamin D status in alopecia areataClinical and experimental medicine.
  10. Unal, M., et al. (2018). Serum vitamin D level is related to disease severity in pediatric alopecia areataJournal of cosmetic dermatology.
  11. Beoy, L. A., et al. (2010). Effects of tocotrienol supplementation on hair growth in human volunteers. Tropical life sciences research21(2), 91–99.
  12. Rushton D. H. (2002). Nutritional factors and hair lossClinical and experimental dermatology.
  13. Deloche, C., et al. (2007). Low iron stores: a risk factor for excessive hair loss in non-menopausal womenEuropean journal of dermatology.
  14. Thompson, J. M., et al. (2017). The Role of Micronutrients in Alopecia Areata: A ReviewAmerican journal of clinical dermatology.
  15. Kil, M. S., et al. (2013). Analysis of serum zinc and copper concentrations in hair lossAnnals of dermatology.
  16. Zhang, H. H., et al. (2013). Effects of different dietary protein levels and DL-methionine supplementation on hair growth and pelt quality in mink (Neovision vision)Journal of animal physiology and animal nutrition.

Write A Comment