Nutrisi

5 Vitamin dan Suplemen Untuk Kulit Kering

Pinterest LinkedIn Tumblr

Kulit kering boleh disebabkan oleh beberapa faktor seperti kekurangan mikronutrien, penuaan, dehidrasi, alahan, akibat ubat-ubatan dan perubahan cuaca.Pengambilan vitamin dan suplemen yang sesuai untuk kulit kering boleh membantu mengurangkan masalah ini.

Kulit kering berlaku apabila kulit tidak mengandungi kelembapan yang mencukupi.

Kulit kering berlaku seiring dengan peningkatan usia dipercayai akibat daripada perubahan dalam proses keratinisasi dan kandungan lemak (lipid) dalam lapisan luar kulit.

Sesetengah faktor yang menyebabkan kulit kering boleh di atasi dengan sedikit perubahan dalam diet harian kita.

Sebagai contoh, kulit kering boleh terjadi disebabkan oleh dehidrasi. Oleh itu, golongan ini perlu meningkatkan pengambilan air, sayuran dan buah-buahan yang tinggi kandungan air bagi menampung air yang hilang tersebut.

Begitu juga dengan diet-diet yang kurang sihat yang mengandungi mikronutrien yang tidak mencukupi. Perubahan pada pemakanan boleh mengatasi masalah ini dan seterusnya boleh mengurangkan kebergantungan terhadap suplemen.

Namun begitu, sekiranya cara-cara di atas tidak dapat mengatasi masalah kulit kering ini, maka pengambilan vitamin dan suplemen boleh dilakukan.

vitamin dan suplemen untuk kulit kering

Berikut adalah beberapa jenis vitamin dan suplemen yang untuk kulit kering.

1. Vitamin C

Vitamin C sememangnya popular akan sifat antioksidan dan kemampuannya melindungi kulit. Vitamin C juga penting untuk menyokong penghasilan kolagen dalam badan manusia.

Kulit yang sihat selalunya mengandungi kepekatan vitamin C yang tinggi. Beberapa laporan menunjukkan kadar vitamin C ini akan menurun akibat daripada penuaan, terdedah terlalu lama terhadap cahaya matahari, pencemaran dan sinaran UV (1).

Kajian makmal mendapati vitamin C boleh meningkatkan penghasilan penghadang lemak (lipid) kulit yang boleh mengurangkan kehilangan air dan mencegah kulit kering (1).

Kekurangan vitamin C juga boleh membawa kepada penyakit kulit seperti ekzema dan kayap. Penyakit ini menyebabkan kulit kering, bersisik dan gatal (10).

Oleh kerana vitamin C adalah vitamin larut air, maka ia tidak disimpan dalam badan. Adalah penting untuk sentiasa dapatkan vitamin C ini melalui diet atau suplemen (makanan tambahan).

Beli vitamin C online.

2. Vitamin D

Vitamin D turut memainkan peranan penting untuk kesihatan kulit.

Vitamin D berperanan penting dalam fungsi rintangan kulit, pertumbuhan sel kulit dan juga membantu mengekalkan sistem imun kulit. Malah, kekurangan vitamin D ini didapati berkaitan dengan penyakit kulit seperti psoriasis dan ekzema; kedua-duanya boleh menyebabkan kulit kering (2).

Terdapat juga kajian yang menunjukkan perkaitan antara vitamin D dengan kelembapan kulit. Kajian terhadap 83 individu ini mendapati mereka mempunyai kadar vitamin D yang rendah turut mempunyai kelembapan kulit yang rendah (3).

Kira-kira 50-90% vitamin D didapati melalui sinaran cahaya matahari dan selebihnya melalui diet. 20 minit sehari dengan 40% kulit terdedah kepada cahaya diperlukan bagi mengelakkan kekurangan vitamin D (4).

Rata-rata masyarakat di dunia mempunyai masalah kekurangan vitamin D. Maka, selain diperolehi daripada diet harian, suplemen vitamin D juga boleh membantu mengatasi masalah ini.

Beli vitamin D online.

3. Kolagen (Collagen)

Kolagen ialah protein yang membantu memberi struktur kepada kulit dan menguatkan tulang. Kolagen juga adalah protein yang paling banyak dalam badan.

Terdapat beberapa kajian yang mendapati pengambilan kolagen jenis suplemen mempunyai manfaat terhadap kulit termasuklah meningkatkan keanjalan dan menambah penghidratan kulit (5).

Satu kajian pada 2016 turut menunjukkan pengambilan kolagen dapat meningkatkan kelembapan kulit di samping meningkatkan keanjalan, mengurangkan kedutan dan melembutkan kulit (6).

Kajian lain terhadap 72 wanita yang mengambil suplemen yang mengandungi kolagen peptida yang dicampur dengan bahan lain seperti vitamin C dan zink menunjukkan penambahbaikan pada penghidratan kulit dan melembutkan kulit (11).

Oleh itu, makanan tambahan atau supplement kolagen juga boleh membantu merawat kulit kering.

Beli suplemen kolagen online.

4. Minyak Ikan (Fish Oil)

Minyak ikan turut mempunyai ciri-ciri yang baik untuk kesihatan kulit.

Minyak ikan mengandungi asid dokosaheksaenoik (DHA) dan asid eikosapentaenoik (EPA) iaitu asid lemak omega-3 yang mempunyai ciri-ciri antiradang terhadap kulit (7).

Kajian terhadap haiwan mendapati minyak ikan boleh meningkatkan penghidratan kulit, mengurangkan kehilangan air serta mengurangkan kegatalan akibat kulit kering (8).

Selain itu, terdapat juga kajian yang menunjukkan minyak ikan boleh merawat penyakit kulit iaitu psoriasis .

Walaupun terdapat kajian yang mendapati minyak ikan tidak mempunyai manfaat, namun majoriti kajian mendapati minyak ikan boleh mengurangkan gejala psoriasis seperti kemerahan, sisik, dan keruping (9).

Minyak ikan juga boleh mengurangkan keradangan kulit dan melindungi kulit daripada kerosakan akibat sinaran matahari.

Beli fish oil online.

5. Vitamin E

Vitamin E turut mempunyai manfaat kepada kulit kering.

Vitamin E boleh digunakan sebagai makanan tambahan atau ubat sapuan untuk kulit kering. Vitamin E adalah larut lemak, maka jika diambil sebagai makanan tambahan, ia akan disimpan di dalam badan dan bertindak sebagai antioksidan yang melindungi kulit.

Vitamin E juga membantu menyokong sistem imun, fungsi sel dan kesihatan kulit.

Kajian juga mendapati vitamin E boleh digunakan untuk merawat atopic dermatitis (ekzema) dan psoriasis yang merupakan penyakit yang turut menyebabkan kulit kering (12).

Oleh itu, suplemen mengandungi vitamin E juga bermanfaat untuk mengurangkan masalah kulit kering.

Beli vitamin E online.

*Peringatan: Dapatkan nasihat daripada doktor anda sebelum mencuba makanan tambahan (supplement) baru terutamanya bagi wanita mengandung.

Kesimpulan

Kulit kering boleh terjadi disebabkan oleh pelbagai sebab. Faktor perubahan cuaca, dehidrasi, alahan ataupun akibat penggunaan sesuatu ubat.

Kajian-kajian menunjukkan sesetengah vitamin dan makanan tambahan seperti vitamin C, vitamin D, kolagen, vitamin E dan minyak ikan boleh membantu mengembalikan kelembapan pada kulit serta menyihatkan kulit.

Walau bagaimanapun, bagi mereka yang mempunyai masalah kulit kering yang kronik, adalah dinasihatkan untuk mendapatkan rawatan atau nasihat daripada doktor terlebih dahulu sebelum mengambil apa-apa makanan tambahan.

Write A Comment