Nutrisi

Vitamin dan Suplemen Untuk Ibu Mengandung

Pinterest LinkedIn Tumblr

Vitamin dan suplemen untuk ibu mengandung ada kalanya diperlukan untuk memenuhi keperluan diri dan kandungan. Keperluan ini bergantung kepada individu. Setiap ibu mengandung mempunyai keperluan yang berbeza.

Pada fasa ini, keperluan nutrien bagi seorang ibu mengandung meningkat berbanding keadaan biasa.

Maka, kadang kala ibu mengandung memerlukan vitamin dan suplemen bagi menampung kekurangan sesetengah nutrien.

Namun, selain beberapa jenis minuman dan makanan yang perlu dielakkan, terdapat juga suplemen (makanan tambahan) yang tidak sepatutnya diambil semasa mengandung.

Artikel ini menerangkan mengenai jenis-jenis vitamin dan suplemen yang boleh diambil semasa mengandung.

Beberapa Keadaan Yang Memerlukan Suplemen

Keperluan makronutrien seperti protein, karbohidrat dan lemak meningkat kepada beberapa peratus semasa mengandung.

Begitu juga dengan mikronutrien seperti vitamin, mineral dan elemen surih turut meningkat.

Sebagai contoh, keperluan kepada protein bagi seorang wanita meningkat dari 1% hingga 47% semasa mengandung (berdasarkan RNI 2017).

Begitu juga dengan nutrien-nutrien yang lain. Maka, untuk memenuhi keperluan ini, pemakanan atau diet yang terancang harus dilakukan.

Walau bagaimanapun, tidak semua wanita mengandung dapat merancang diet mereka dengan baik. Mungkin kerana kesibukan kerja dan sebagainya.

Terdapat beberapa keadaan yang memerlukan seorang wanita mengandung mengambil suplemen seperti vitamin dan mineral:

  1. Kekurangan nutrien: Sesetengah wanita memerlukan makanan tambahan apabila ujian darah mendapati dia kekurangan vitamin atau mineral tertentu.
  2. Merokok: Wanita yang tidak berhenti merokok ketika mengandung akan memerlukan nutrien tertentu seperti vitamin C dan folat (1).
  3. Diet yang buruk: Wanita yang kurang makan atau makan makan tidak bernutrisi mungkin memerlukan makanan tambahan.
  4. Gravidarum hiperemesis: Loya dan muntah yang teruk semasa trimester pertama sehingga mengakibatkan asidosis, dehidrasi dan susut berat badan (2).
  5. Mengandung kembar: Wanita yang mengandung bayi kembar memerlukan lebih banyak mikronutrien berbanding wanita yang mengandungkan seorang bayi.
  6. Kekangan pemakanan: Bagi wanita yang mengamalkan sesuatu diet seperti vegan diet atau mereka yang mempunyai alahan makanan mungkin perlu mendapatkan nutrien yang diperlukan melalui makanan tambahan.

Vitamin dan Suplemen Untuk Ibu Mengandung Yang Boleh Diambil

vitamin dan suplemen semasa mengandung

Pengambilan vitamin dan suplemen untuk ibu mengandung juga haruslah mendapat kelulusan atau diselia oleh doktor masing-masing.

Ini bertujuan untuk memastikan suplemen atau makanan tambahan ini benar-benar diperlukan dan diambil mengikut kadar yang betul.

Selain itu, dapatkan vitamin dan suplemen dari jenama yang mempunyai reputasi yang baik dan menjaga kualiti serta keselamatan penggunanya.

1. Vitamin Pranatal

Vitamin pranatal ialah multivitamin yang diformulasikan khas untuk memenuhi keperluan mikronutrien ibu mengandung.

Vitamin ini sesuai untuk diambil sebelum kehamilan, semasa kehamilan dan semasa penyusuan.

Kajian menunjukkan pengambilan vitamin pranatal ini dapat mengurangkan risiko kelahiran pramatang dan praeklampsia. Praeklampsia ialah komplikasi yang dicirikan oleh tekanan darah tinggi dan kehadiran protein dalam air kencing (3).

Vitamin ini selalunya dipreskripsikan oleh doktor atau dibeli di farmasi.

2. Asid Folik

Asid folik (folic acid) ialah bentuk sintetik bagi folat yang boleh dijumpai dalam suplemen. Asid ini akan ditukar ke dalam bentuk folat aktif, L-methylfolate di dalam badan.

Ibu mengandung di Malaysia disarankan untuk mendapatkan 600 mikrogram folat sehari (RNI 2017).

Pengambilan folat yang mencukupi dapat mengurangkan risiko kecacatan tiub saraf kepada bayi dalam kandungan (4).

Pengambilan suplemen ini dapat menampung kekurangan folat yang diperolehi daripada diet harian ibu mengandung.

Dapatkan suplemen asid folik online

3. Kalsium

Recommended Nutrient Intake (RNI) bagi kalsium yang disarankan kepada ibu mengandung di Malaysia ialah 1300mg (13-19 tahun) dan 1000mg (19-50tahun).

Kalsium penting semasa mengandung bagi pembentukan tulang dan pertumbuhan gigi bayi terutamanya pada trimester ketiga. Kalsium juga penting bagi mengelakkan kekejangan otot kaki ibu semasa mengandung (5, 6, 7).

Kebiasaannya, suplemen kalsium dipriskripsikan untuk ibu-ibu yang mempunyai alahan terhadap susu atau tidak mendapat kalsium yang mencukupi dalam diet harian mereka.

4. Zat Besi

Zat besi juga antara mikronutrient di mana keperluannya meningkat semasa mengandung.

Zat besi penting untuk penghasilan darah dan pengangkutan oksigen di seluruh badan.

Zat besi penting untuk perkembangan dan kesihatan janin dan plasenta dan seterusnya dapat mencegah penyakit anemia (kekurangan darah) dalam kalangan ibu mengandung dan kelahiran pramatang (8).

RNI 2017 dari KKM mencadangkan agar ibu mengandung mengambil suplemen berbentuk tablet bagi menampung keperluan kepada zat besi.

Kebiasaannya, ibu mengandung perlu menjalani ujian darah untuk mengetahui kandungan zat besi dalam badan mencukupi atau tidak bagi mengelakkan berlakunya anemia disebabkan kekurangan zat besi.

Maka, sila berbincang atau dapatkan nasihat daripada doktor untuk mengetahui dos zat besi yang sesuai.

5. Magnesium

Magnesium ialah mineral yang memainkan peranan penting dalam fungsi saraf, otot dan sistem imun.

Kekurangan mineral ini boleh meningkatkan risiko pelbagai komplikasi semasa mengandung seperti kelahiran tak cukup bulan, berat lahir rendah (berat bayi kurang daripada 2.5kg semasa lahir) dan praeklampsia (9).

6. Vitamin D

Vitamin D ialah vitamin larut lemak yang penting untuk kesihatan tulang, pembahagian sel dan fungsi imun.

Kekurangan vitamin ini boleh meningkatkan risiko kelahiran pramatang, praeklampsia, kencing manis ketika mengandung dan keguguran (10).

Kadar vitamin D yang disarankan dalam sehari bagi ibu mengandung di Malaysia ialah 15 mikrogram atau 600 IU.

7. Minyak Ikan

Minyak ikan mengandungi DHA dan EPA, dua asid lemak perlu yang penting untuk perkembangan otak dan mata janin (11).

Asid lemak Omega-3 yang mengandungi kedua-dua DHA dan EPA banyak didapati dalam makanan laut.

Makanan laut seperti ikan merupakan sumber utama untuk mendapatkan asid lemak Omega-3. Namun, ibu mengandung harus berhati-hati agar tidak makan terlalu banyak makanan laut kerana berpotensi tinggi kandungan merkuri.

Maka suplemen minyak ikan boleh membantu memenuhi keperluan kepada asid lemak perlu ini.

Dapatkan nasihat doktor untuk mengetahui sama ada anda memerlukan suplemen yang mengandungi omega-3 ini atau tidak.

Kesimpulan

Pada asasnya, keperluan nutrisi bagi ibu mengandung boleh didapati dalam diet harian yang berkhasiat.

Walau bagaimanapun, tidak semua ibu mengandung dapat memenuhi keperluan nutrisi ini kerana taraf hidup dan gaya hidup yang berbeza-beza.

Maka, vitamin dan suplemen untuk ibu mengandung dapat membantu memenuhi kekurangan tersebut.

Write A Comment