Apa itu Vaksin MMR?
Vaksin MMR (Measles, Mumps & Rubella) adalah vaksin kombinasi 3 dalam 1 di mana ketiga-tiga antigen daripada campak (measles), beguk (mumps) serta rubela disertakan bersama dan diberi sebagai satu suntikan.
Di Malaysia, vaksin MMR diberikan menerusi Program Imunisasi Kebangsaan Bagi Kanak-kanak kepada bayi yang berumur 9 dan 12 bulan.
Dos pertama diberi apabila bayi anda berumur 9 bulan dan dos kedua diberi apabila bayi anda berumur 12 bulan.

Apa itu MMR (Measles, Mumps & Rubella)?
Measles adalah istilah kepada penyakit campak. Campak adalah penyakit berjangkit yang disebabkan oleh virus Measles.
Campak boleh menyebabkan gejala seperti demam yang kuat, batuk, selesema, mata kemerahan dan ruam yang bermula di muka seterusnya merebak ke seluruh badan.
Sekiranya tidak dirawat, penyakit ini boleh mengakibatkan komplikasi yang serius seperti radang paru-paru, jangkitan otak dan sawan. Campak juga boleh menyebabkan kematian.
Mumps pulaadalah istilah dalam bahasa Inggeris kepada beguk. Beguk adalah bengkak yang berlaku di belakang telinga hingga ke dagu. Beguk merupakan penyakit yang disebabkan oleh virus Mumps yang menyerang kelenjar air liur.
Beguk boleh menyebabkan gejala seperti demam, sakit kepala, sakit-sakit otot dan bengkak kelenjar air liur.
Sekiranya tidak dirawat, beguk boleh menyebabkan komplikasi yang teruk seperti jangkitan otak, radang buah zakar (boleh mengakibatkan kemandulan), radang kelenjar pankreas dan jangkitan telinga yang boleh menyebabkan pekak.
Rubella adalah penyakit yang disebabkan oleh virus Rubella.
Rubela menyebabkan gejala seperti ruam dan demam ringan selama 2 hingga 3 hari. Biasanya, rubela hanya menyebabkan gejala ringan dalam kalangan kanak-kanak dan orang biasa.
Walau bagaimanapun, sekiranya seorang wanita hamil tidak pernah mendapatkan imunisasi rubela dan dijangkiti dengan penyakit ini. Jangkitan tersebut boleh menyebabkan kecacatan terhadap bayi yang dilahirkan yang dikenali sebagai Congenital Rubella Syndrome.
Sindrom tersebut boleh menyebabkan bayi yang dilahirkan mengalami jantung berlubang, pekak, katarak (boleh menyebabkan buta), terencat akal dan terencat tumbesaran.
Bagaimana Beguk, Campak dan Rubela Merebak?
Ketiga-tiga penyakit ini boleh merebak atau berjangkit kepada orang lain melalui batuk atau bersin.
Penyakit ini akan menular apabila orang yang dijangkiti batuk dan bersin berdekatan dengan orang lain yang belum dijangkiti. Penyakit ini juga mudah untuk berjangkit dalam kalangan kanak-kanak dan orang dewasa.
Bagaimana Vaksin MMR Diberikan?
Imunisasi MMR adalah satu kombinasi imunisasi yang merangkumi 3 jenis vaksin iaitu Measles, Mumps dan Rubella. Imunisasi ini diberi dalam satu suntikan di bahagian paha atau lengan anak anda.
Keberkesanan Vaksin MMR
Campak, beguk dan rubela adalah penyakit akibat jangkitan virus yang sering menyerang kanak-kanak yang biasa kita lihat sebelum kewujudan vaksin.
Sejak pengenalan vaksin-vaksin ini, kes-kes berkaitan jangkitan campak, beguk dan rubela telah berkurangan.
Kadar keberkesanan vaksin MMR ini adalah sebanyak 95% daripada semua kanak-kanak yang diberi 2 dos vaksin MMR.
Ini bersamaan dengan sekurang-kurangnya 95 orang daripada 100 orang kanak-kanak akan mendapat perlindungan dari ketiga-tiga virus ini.
Kesan Sampingan
Vaksin MMR adalah selamat. Kesan sampingan yang berlaku adalah ringan dan tidak berbahaya berbanding jika mendapat penyakit campak, beguk dan rubella atau komplikasinya.
Walau bagaimanapun, ruam, bengkak kelenjar air liur, demam dan rasa mengantuk mungkin berlaku dari 7 hingga 10 hari selepas imunisasi.
Siapa yang Tidak Patut Mendapat Vaksin MMR?
Terdapat beberapa golongan yang tidak patut mendapat vaksin ini atau perlu menunggu.
Mereka adalah:
- Individu atau kanak-kanak yang mempunyai alahan yang teruk dan membahayakan nyawa (dapatkan nasihat doktor jika anak anda mempunyai alahan).
- Wanita hamil atau bakal mengandung.
- Individu yang mempunyai sistem imun yang lemah akibat penyakit HIV, AIDS atau akibat rawatan perubatan seperti rawatan kanser.
- Individu yang mempunyai keturunan yang mempunyai masalah sistem imun.
- Individu yang masalah kesihatan yang menyebabkan mereka mudah untuk lebam dan berdarah.
- Individu yang baru mempunyai transfusi darah.
- Individu yang menghidap penyakit Tibi (tuberkulosis).
- Individu atau kanak-kanak yang baru mendapatkan vaksin lain dalam masa 4 minggu yang lalu.
- Individu atau kanak-kanak yang tidak sihat (dapatkan nasihat doktor).
Oleh sebab vaksin MMR di Malaysia diberikan semasa bayi atau kanak-kanak berusia 9 dan 12 bulan, faktor yang mungkin perlu diambil berat adalah sekiranya bayi atau kanak-kanak tersebut mempunyai alahan yang teruk atau mempunyai penyakit tertentu.
Ibu bapa dan penjaga boleh berbincang dengan doktor terlebih dahulu sebelum mengambil imunisasi ini.
Rujukan
- Jamal Mohamed, T. (2015). Vaksin MMR (Mumps, Measles & Rubella). MyHealth KKM http://www.myhealth.gov.my/vaksin-mmr-mumps-measles-a-rubella/
- Centers for Disease Control and Prevention. (2021). Measles, Mumps, and Rubella (MMR) Vaccination: What Everyone Should Know
- Kementerian Kesihatan Malaysia. Fakta Imunisasi Kanak-kanak Bagi Kakitangan Kesihatan. Bahagian Pendidikan Kesihatan KKM.