Kesihatan

Tulang Belakang Bengkok: Punca dan Rawatan

Pinterest LinkedIn Tumblr

Tulang belakang bengkok ialah keabnormalan yang berlaku apabila tulang belakang tidak sejajar. Terdapat 3 jenis tulang belakang bengkok iaitu skoliosis, lordosis dan kifosis (1).

Skoliosis – Mereka yang mempunyai tulang belakang yang bengkok ke sisi seperti bentuk huruf S atau huruf C.

Lordosis – Tulang belakang bagi mereka yang mengalami penyakit ini bengkok ke dalam di bahagian pinggang.

Kifosis – Penyakit ini menyebabkan tulang belakang melengkung ke depan melebihi batas normal (lebih 50 darjah lengkung) sehingga membuatkan pesakit ini kelihatan bongkok.

tulang belakang bengkok

Punca tulang belakang bengkok

Terdapat beberapa masalah kesihatan yang menyebabkan penyakit ini.

Skoliosis agak jarang berlaku. Penyakit ini lebih banyak menjejaskan kaum wanita berbanding lelaki. Kebiasaannya, punca kepada skoliosis termasuklah (2):

  • Cerebral palsy, gangguan pada sistem saraf yang mengganggu pergerakan, belaajar, pendengaran, penglihatan dan pemikiran.
  • Kecacatan masa lahir yang mengganggu pembentukan tulang belakang.
  • Kecederaan atau jangkitan pada tulang belakang.
  • Muscular dystrophy: Gangguan genetik yang menyebabkan otot lemah.

Lordosis pula boleh disebabkan oleh beberapa masalah kesihatan seperti berikut (3):

  • Achondroplasia, gangguan akibat tulang tidak tumbuh secara normal.
  • Spondylolisthesis, keadaan dimana satu tulang belakang (vertebra) tergelincir keluar. Kebiasaannya di bahagian pinggang.
  • Osteoporosis, keadaan dimana tulang belakang menjadi rapuh dan senang untuk patah.
  • Obesiti
  • Diskitis, radang pada ruang cakera (disc) antara dua tulang belakang (vertebra) kebiasaannya akibat jangkitan.
  • Kifosis

Manakala, kifosis pula boleh disebabkan oleh beberapa keadaan berikut (4):

  • Pembentukan tulang belakang yang tidak normal semasa dalam rahim.
  • Postur lemah.
  • Penyakit Scheuermann, penyakit yang menyebabkan tulang belakang mempunyai bentuk yang cacat.
  • Spina bifida, kecacatan semasa lahir.
  • Jangkitan pada tulang belakang.
  • Tumor pada tulang belakang.

Rawatan bagi

Skoliosis

Bagi skoliosis, rawatan akan bergantung kepada beberapa faktor. Darjah lengkung atau bengkok tulang belakang adalah faktor yang utama.

Selain itu, faktor seperti usia, jumlah dan jenis bengkok, jenis skoliosis dan sama ada pesakit masih dalam proses tumbesaran atau tidak.

Rawatan utama bagi penyakit ini terbahagi kepada dua iaitu pendakap atau pembedahan (5, 6).

a) Pendakap

Sekiranya pesakit masih dalam proses tumbesaran dan lengkung atau bengkok adalah dalam 25 hingga 40 darjah, mereka boleh menggunakan pendakap.

Walaupun tidak mampu menyembuhkan skoliosis, pendakap badan ini boleh mencegah tulang belakang ini dari terus membengkok.

Kebiasaannya, pesakit perlu memakai pendakap ini siang dan malam kira-kira 16 hingga 23 jam sehari. Pemakaian pendakap ini boleh dihentikan setelah tulang berhenti membesar.

b) Pembedahan

Skoliosis kebiasaannya bertambah teruk selari dengan masa. Doktor mungkin akan mencadangkan pembedahan bagi mencegah penyakit ini bertambah teruk.

Pembedahan biasa untuk skoliosis dikenali sebagai “spinal fusion.” Komplikasi yang mungkin boleh berlaku akibat pembedahan ini termasuklah pendarahan berlebihan, jangkitan, kesakitan, kerosakan saraf dan gagal untuk pulih.

Lordosis

Kebiasaannya, penghidap lordosis tidak memerlukan rawatan perubatan kecuali bagi kes-kes yang teruk.

Antara rawatan bagi Lordosis termasuklah (7):

  • Ubat tahan sakit dan bengkak
  • Terapi fizikal secara harian
  • Turunkan berat badan (untuk membetulkan postur)
  • Pendakap
  • Makanan tambahan seperti vitamin D
  • Pembedahan (bagi kes yang teruk)

Kifosis

Rawatan bagi kifosis pula bergantung kepada penyebab dan tahap keterukannya.

Tumor: Lazimnya, tumor ini akan dibuang sekiranya boleh menyebabkan mampatan pada tulang belakang.

Penyakit Scheuermann: Pesakit boleh menjalani rawatan terapi fizikal, pendakap atau pembedahan.

Osteoporosis: Ubat penguat tulang boleh membantu dalam kes ini.

Postur lemah: Senaman postur boleh membantu.

Selain itu, ubat antiradang, pendakap dan senaman turut boleh membantu melegakan kesakitan atau ketidakselesaan (8).

Write A Comment