Tahun ini telah hampir tiga tahun, penduduk dunia terpaksa berhadapan dengan virus COVID-19. Daripada era pandemik, kebanyakan negara mungkin memasuki era endemik.Virus COVID-19 juga turut mengalami perubahan yang diberikan dengan beberapa nama seperti alpha, beta, gamma, delta dan omicron. Kebanyakan varian ini mempunyai tanda-tanda mereka tersendiri. Oleh itu, artikel ini akan memperincikan tanda-tanda atau simptom-simptom COVID-19 mengikut variannya.
Semua virus termasuklah SARS-CoV-2 iaitu virus yang menyebabkan COVID-19 berubah dari semasa ke semasa. Kebanyakan perubahan mempunyai kesan yang kecil atau tiada impak terhadap ciri-ciri virus tersebut. Tetapi. sesetengah perubahan boleh mengubah ciri-ciri virus tersebut yang memberi kesan terhadap penyebaran, keterukan penyakit dan prestasi vaksin terhadapnya.
Pada akhir tahun 2020, risiko jangkitan terhadap virus COVID-19 ini meningkat berikutan wujudnya varian-varian baru. Varian-varian ini dikelaskan kepada kumpulan yang diberi nama Variants of Interest (VOI) dan Variants of Concern (VOC).

Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) telah mengenal pasti variant of concern sebagai:
- Alpha – Mula-mula dijumpai di United Kingdom pada September 2020
- Beta – Mula-mula dijumpai di Afrika Selatan pada Mei 2020
- Gamma – Mula-mula dijumpai di Brazil pada November 2020
- Delta – Mula-mula dijumpai di India pada Oktober 2020
- Omicron – Mula-mula dijumpai di Afrika Selatan dan negara-negara lain pada November 2020
Tanda-tanda atau Gejala Jangkitan Varian Alpha, Beta, Gamma
Varian Alpha, Beta dan Gamma adalah varian yang termutasi daripada virus COVID-19 yang asal.
Varian Alpha didapati 50% lebih udah tersebar daripada virus yang asal dan juga menyebabkan peningkatan kemasukan ke hospital dalam kalangan orang muda.
Varian Beta yang dijumpai di Afrika Selatan menyebabkan peningkatan kemasukan ke hospital sebanyak 20% dan kematian semasa gelombang kedua negara tersebut. Mereka yang dijangkiti dengan varian Beta juga 25% lebih berisiko membentuk penyakit yang teruk berbanding varian Alpha.
Varian Gamma pula dilaporkan 1.7-2.4 kali lebih mudah tersebar berbanding varian lain di negara yang mula menjumpai varian ini iaitu Brazil. Varian Gamma mempunyai mutasi yang sama dengan varian Alpha dan Beta yang memudahkan virus ini melekat pada sel-sel manusia.
Tanda-tanda atau gejala jangkitan bagi COVID-19 varian Alpha, Beta dan Gamma adalah seperti berikut:
- Demam atau menggigil
- Batuk
- Sesak nafas atau sukar bernafas
- Keletihan atau kelesuan
- Sakit otot dan badan
- Sakit kepala
- Hilang deria rasa dan bau
- Sakit tekak
- Hidung tersumbat atau berair
- Loya atau muntah-muntah
- Cirit-birit serta kencing kurang
- Bibir atau jari kebiruan
- Sawan (bagi kanak-kanak)
Tanda-tanda atau gejala ini boleh berlaku dalam masa 2-14 hari selepas seseorang itu terdedah kepada virus ini. Sesiapa sahaja boleh mengalami gejala ringan hingga teruk.
Tanda-tanda atau Gejala Jangkitan Varian Delta
Varian Delta yang mula-mula dijumpai di India didapati lebih mudah tersebar berbanding varian yang lain. Kajian menunjukkan varian Delta 60% lebih mudah menular berbanding varian Alpha.
Varian Delta juga boleh menyebabkan kes-kes yang teruk berbanding varian yang lain. Dalam dua kajian berbeza dari Kanada dan Scotland, pesakit yang dijangkiti varian Delta lebih berkemungkinan dimasukkan ke hospital berbanding pesakit yang dijangkiti Alpha atau virus asal yang menyebabkan COVID-19.
Tanda-tanda atau gejala jangkitan bagi varian Delta adalah sama seperti simptom atau gejala jangkitan COVID-19 yang asal seperti:
- Demam atau menggigil
- Batuk berterusan
- Sesak nafas atau sukar bernafas
- Keletihan atau kelesuan
- Sakit otot dan badan
- Sakit kepala
- Hilang deria rasa dan bau
- Sakit tekak
- Hidung tersumbat atau berair
- Loya atau muntah-muntah
- Cirit-birit serta kencing kurang
- Bibir atau jari kebiruan
- Sawan (bagi kanak-kanak)
Tanda-tanda atau Gejala Jangkitan Varian Omicron
Varian Omicron didapati lebih mudah tersebar berbanding virus asal COVID-19 dan varian Delta. Virus varian ini boleh disebarkan oleh sesiapa sahaja walaupun mereka telah divaksin atau tidak mempunyai simptom atau gejala.
Secara umumnya, jangkitan Omicron kurang teruk berbanding varian-varian sebelum ini.
Menurut analisis oleh Zoe COVID Symptom Study, tanda-tanda atau gejala jangkitan COVID-19 varian Omicron yang paling lazim adalah:
- Hidung berair
- Sakit kepala
- Keletihan
- Bersin
- Sakit tekak
Tanda atau gejala berikut pula kadang-kadang berlaku:
- Batuk berterusan
- Menggigil
- Demam
Tanda atau gejala berikut pula jarang-jarang berlaku:
- Kehilangan deria bau
- Sakit dada
- Sesak nafas
Tanda-tanda atau Gejala COVID-19 Kategori 2A dan 2B
Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah menetapkan bahawa individu positif COVID-19 kategori 2B (sederhana) dan ke atas atau mempunyai gejala yang semakin teruk dikehendaki hadir ke Pusat Penilaian COVID-19 (CAC) atau hospital terdekat.
Gejala COVID-19 Kategori 2A (ringan) adalah:
- Sakit tekak atau selesema tanpa demam atau sesak nafas
- Batuk tanpa demam atau sesak nafas
- Hilang deria rasa tetapi masih mempunyai selera makan
- Hilang deria bau
- Cirit-birit dua (2) kali atau kurang dalam masa 24 jam tetapi kekerapan dan pengeluaran air kencing seperti biasa (normal)
- Loya dan muntah tetapi kekerapan dan pengeluaran air kencing seperti biasa (normal)
- Kelesuan tetapi masih boleh melakukan aktiviti harian
- Sakit otot tetapi masih boleh melakukan aktiviti harian
Manakala, gejala COVID-19 kategori 2B (sederhana) pula adalah:
- Demam berpanjangan [dua (2) hari dan lebih] atau demam semula selepas sembuh
- Kesukaran bernafas apabila melakukan aktiviti.
- Sakit dada
- Tidak boleh makan atau minum
- Kelesuan bertambah teruk terutamanya semasa melakukan aktiviti harian atau semasa baru bangun daripada tidur
- Memerlukan bantuan untuk berjalan
- Gejala seperti batuk, loya, muntah atau cirit-birit semakin teruk atau berterusan
- Perubahan status mental seperti kekeliruan / kurang tahap sedar
- Kurang pengeluaran air kencing dalam masa 24 jam
Rujukan
- Page, M.L. & McNamara, A. (2021). Alpha covid-19 variant (B.1.1.7). NewScientist.
- WHO. Tracking SARS-CoV-2 variants.
- Duong D. (2021). Alpha, Beta, Delta, Gamma: What’s important to know about SARS-CoV-2 variants of concern?. CMAJ : Canadian Medical Association journal.
- Bendix, A & Gal, S. (2022). 2 charts show how Omicron symptoms differ from Delta and past coronavirus variants. Insider.
- Iacobucci G. (2021). Covid-19: Runny nose, headache, and fatigue are commonest symptoms of omicron, early data show. BMJ.
- COVID-19 Malaysia. Gejala COVID-19 Kategori 2A (Ringan) dan 2B (Sederhana). Kementerian Kesihatan Malaysia.