Alahan

Tanda-tanda Alahan Makanan Laut (Seafood)

Pinterest LinkedIn Tumblr

Alahan terhadap makanan laut adalah jenis alahan paling kerap kita dengar atau berlaku. Alahan jenis ini biasanya terjadi kepada kanak-kanak dan boleh juga terjadi kepada orang dewasa. Artikel kali ini kami kongsikan tanda alahan makanan laut (seafood) yang boleh dijadikan panduan.

Alahan makanan laut adalah tindak balas tidak normal sistem imun badan terhadap protein dalam sesetengah makanan laut. Alahan makanan laut adalah salah satu daripada kumpulan alahan makanan yang biasa berlaku seperti alahan susu lembu, alahan kekacang dan alahan telur.

Makanan laut boleh dibahagikan kepada 3 kelas utama iaitu ikan, krustasia dan moluska. Makanan laut daripada kumpulan krustasia dan moluska biasanya dikenali sebagai kerang-kerangan (shellfish).

Sesetengah orang yang alahan terhadap makanan laut ini tidak boleh makan atau alergi terhadap semua jenis makanan laut termasuklah jenis kerang-kerangan (shellfish) atau ikan. Manakala, ada juga mereka yang hanya alergi kepada jenis tertentu sahaja.

Alahan makanan laut ini boleh berlaku secara ringan atau teruk yang boleh mengancam nyawa.

tanda alahan makanan laut

Tanda-tanda Alahan Terhadap Makanan Laut

Alahan makanan laut adalah tindak balas yang memudaratkan daripada sistem badan terhadap protein dalam makanan laut seperti parvalbumin, tropomyosin dan arginine kinase [1].

Tanda-tanda atau gejala alahan berlaku dengan cepat dalam tempoh beberapa minit hingga kurang dari 2 jam selepas makan. Kebanyakannya berlaku dalam beberapa minit.

Antara tanda-tanda atau gejala alahan terhadap makanan laut ialah:

  • Sakit perut yang memulas.
  • Loya dan muntah
  • Cirit-birit
  • Rasa sesemut dalam mulut
  • Kesukaran bernafas
  • Gatal-gatal pada kulit
  • Ekzema (radang pada kulit yang menampakkan kemunculan lelehan,sisik atau keruping dan menyebabkan pesakit gatal dan resah)
  • Bengkak pada muka, bibir, lidah, kerongkong,telinga, jari atau tangan
  • Pening atau pitam

Tidak balas alahan atau alergi yang teruk dikenali sebagai anafilaksis. Tindak balas ini boleh membawa kepada kematian . Tindak balas anafilaksis ini memerlukan rawatan kecemasan dan diagnosa oleh doktor.

Antara tanda-tanda dan gejala anafilaksis adalah:

  • Bengkak di mulut dan kerongkong yang menyebabkan kesukaran bernafas
  • Denyutan nadi menjadi laju
  • Pening yang teruk atau tidak sedarkan diri
  • Tekanan darah jatuh
  • Berdehit atau batuk secara berterusan
  • Pucat dan tidak bermaya bagi kanak-kanak
  • Sukar bercakap atau suara menjadi serak

Rawatan Alahan Terhadap Makanan Laut

Bagi kes yang telah dikenalpasti elakkan makan makanan laut yang boleh menyebabkan alahan tersebut. Namun, mungkin sekali-sekala kita terlepas pandang akan hal sebegini dan berlakunya alahan.

Bagi mereka yang mengalami alahan ringan seperti gatal-gatal atau ruam, bolehlah mendapatkan rawatan daripada doktor atau mengambil ubat antihistamin.

Bagi mereka yang mengalami alahan teruk (anafilaksis), mereka memerlukan suntikan kecemasan epinefrina (andrenalina).

Ramai doktor menyarankan mereka yang mempunyai alahan teruk ini membawa sendiri andrenalina atau epinefrina dalam bentuk jarum atau pen khusus jika berlaku kecemasan.

Jarum atau pen epinefrina ini sangat berguna untuk rawatan kecemasan di lapangan bagi mereka yang menghidapi alahan teruk. Golongan ini juga harus mendapatkan rawatan susulan di hospital walaupun setelah menggunakan ubat epinefrina ini.

Bagaimana Alahan Makanan Laut di Diagnosa?

Selain daripada tanda-tanda alahan makanan laut yang berlaku, beberapa ujian dan pemeriksaan fizikal akan dilakukan untuk simptom yang berlaku itu tidak melibatkan masalah kesihatan yang lain.

Beberapa ujian yang mungkin disarankan oleh doktor adalah seperti berikut:

a) Ujian kulit (Ujian Cucuk Kulit)

Ujian ini dilakukan dengan mencucuk sedikit kulit anda dan bahagian tersebut didedahkan kepada protein daripada makanan laut yang mungkin menyebabkan alahan kepada anda.

Sekiranya anda alergi terhadap makanan tersebut, bahagian yang diuji tersebut akan timbul dan gatal-gatal.

b) Ujian darah

Ujian ini akan mengukur tindak balas sistem imun anda terhadap protein makanan laut dengan mengira jumlah antibodi tertentu yang dikenali sebagai Immunoglobulin E (IgE) dalam salur darah.

Jenis Makanan Laut yang Harus Anda Hindari Jika Mempunyai Alahan

Makanan laut yang berasaskan kerang-kerangan boleh dibahagikan kepada 2 iaitu krustasia dan moluska. Terdapat juga mereka yang mempunyai alahan terhadap jenis-jenis ikan tertentu. Berikut adalah senarai makanan laut yang mungkin menjadi punca kepada alahan anda:

Kategori Ikan

  1. Ikan kod
  2. Ikan salmon
  3. Ikan tuna
  4. Ikan siakap putih
  5. Ikan sardin
  6. Ikan keli

Kategori Krustasia

  1. Udang halus
  2. Ketam
  3. Udang krai
  4. Udang
  5. Udang karang

Kategori Moluska

  1. Tiram
  2. Sotong
  3. Kupang/Siput sudu
  4. Kepah
  5. Kerang
  6. Sotong kurita
  7. Sotong katak

Kebanyakan orang yang alah terhadap sejenis makanan laut akan turut mempunyai alahan terhadap jenis makanan laut yang lain. Namun ada juga yang hanya alahan terhadap sejenis makanan laut sahaja. Contohnya seperti alergi kepada udang tetapi boleh makan sotong.

Walau bagaimanapun, selalunya doktor akan menasihatkan mereka yang mempunyai alahan ini untuk mengelakkan segala jenis makanan laut yang berasaskan kerang-kerangan.

Menurut kajian, alahan terhadap ikan lazimnya terjadi di seluruh dunia manakala alahan terhadap kerang-kerangan lebih tinggi berlaku di kawasan Asia Tenggara [2].

Langkah-langkah Pencegahan

Sebagai langkah pencegahan, sekiranya anda mempunyai alahan makanan laut cuba elakkan makanan daripada kerang-kerangan atau produk yang mengandungi kerang-kerangan.

Beberapa langkah pencegahan yang boleh dijadikan panduan ialah:

a) Berhati-hati semasa makan diluar

Sekiranya anda ingin makan di kedai makan atau restauran,pastikan anda tidak memilih kedai makanan laut atau menu yang mengandungi makanan laut.

b) Baca label makanan

Baca label bungkusan makanan yang ingin dibeli bagi memastikan tiada bahan-bahan berasaskan makanan laut yang tersembunyi dalam produk tersebut.

Selalunya label makanan akan menyatakan kemungkinan alahan bagi bahan-bahan yang digunakan.

c) Jauhi pasar basah atau kawasan menjual makanan laut

Sesetengah orang mungkin sensitif terhadap kawasan yang menjual makanan laut seperti di pasar basah. Mungkin ada yang bertindak balas dengan hanya menyentuh makanan laut yang mentah atau terkena air rendaman makanan laut ini.

Ada juga mereka yang bertindak balas terhadap asap masakan daripada makanan laut ini. ia bergantung kepada tahap alahan seseorang itu. Oleh itu, tindakan yang terbaik ialah menjauhi kawasan seperti ini.

d) Maklumkan kepada orang terdekat atau pelayan

Pastikan anda memaklumkan kepada pelayan kedai makan atau restauran atau pramugari (jika menaiki kapal terbang) bahawa anda mempunyai alahan terhadap makanan laut bagi memastikan makanan yang dihidang tidak mengandungi makanan laut.

Maklumkan juga kepada rakan sekerja bagi mengelakkan mereka berkongsi makanan yang mengandungi makanan laut.

Bagi kanak-kanak, maklumkan kepada penjaga atau guru sekolah mereka mengenai masalah alahan mereka. Ini membolehkan pihak sekolah menyediakan perancangan khusus sekiranya berlaku kecemasan.

Rumusan

Alahan makanan laut adalah antara alahan yang paling banyak terjadi dalam masyrakat kita. Simptom atau tanda-tanda alahan yang terjadi boleh dijadikan satu panduan bagi mendapatkan rawatan yang pantas dan sesuai.

Elakkan juga makanan laut terutamanya daripada kategori kerang-kerangan yang boleh mencetuskan tindak balas alahan.

Amalkan langkah-langkah pencegahan supaya masalah alahan ini dapat dihindari.

Kemaskini terakhir pada 23 Oktober 2020.

Rujukan
  1. Ruethers, T., et al. (2018). Seafood allergy: A comprehensive review of fish and shellfish allergensMolecular immunology.
  2. Moonesinghe, H., et al. (2016). Prevalence of fish and shellfish allergy: A systematic reviewAnnals of allergy, asthma & immunology : official publication of the American College of Allergy, Asthma, & Immunology.

Write A Comment