Kesihatan

Simptom COVID-19 Malaysia dan Langkah Pencegahan

Pinterest LinkedIn Tumblr

Mengambil maklum mengenai simptom COVID-19 adalah langkah bijak yang harus diambil oleh setiap individu di Malaysia. Berpandukan perkongsian maklumat di seluruh dunia, simptom COVID-19 di Malaysia adalah sama seperti mana di negara-negara lain.

Penyakit yang dikelaskan sebagai pandemik ini telah merebak ke 235 buah negara dan wilayah yang melibatkan 37,109,851 kes dan 1,070,355 kematian setakat 11 Oktober 2020 (1).

Di Malaysia, sehingga 11 Oktober 2020, terdapat 4587 kes aktif daripada 15,657 kes secara keseluruhan. Sehingga tarikh ini juga, seramai 157 orang telah menjadi korban bagi pandemik ini (5).

COVID-19 atau penyakit Coronavirus 2019 adalah penyakit pernafasan yang boleh merebak daripada seorang individu kepada individu yang lain.

COVID-19 ialah virus dan penyakit yang baru yang bermula dari wilayah Wuhan, China pada Disember 2019.

Tempoh inkubasi atau jarak masa antara pertama kali dijangkiti virus sehingga penampakan simptom-simptom adalah dianggarkan antara 1 hingga 14 hari.

Kebanyakkannya menunjukkan simptom seawal 5 hari (berdasarkan maklumat dari WHO).

simptom covid-19

Simptom-simptom COVID-19 Malaysia

Setakat ini, beberapa simptom atau gejala COVID-19 yang diketahui adalah seperti berikut (2, 3, 4):

Simptom-simptom yang paling kerap berlaku:

  • Demam – rasa panas didada atau belakang badan
  • Batuk (kering) – batuk yang banyak dan berterusan lebih daripada satu jam, atau 3 atau lebih episod batuk dalam 24 jam.
  • Kepenatan atau keletihan.

Simptom-simptom lain yang boleh menjadi petanda kepada jangkitan:

  • Kesukaran bernafas
  • Nafas menjadi pendek
  • Hidung tersumbat
  • Hidung berair
  • Sakit tekak
  • Cirit-birit
  • Loya atau muntah
  • Sakit-sakit otot atau badan
  • Hilang atau perubahan selera makan
  • Hilang atau perubahan deria bau

Simptom-simptom ini boleh kelihatan selepas 1 hingga 14 hari selepas terdedah kepada virus ini.

Kebanyakkan simptom ini bermula dengan ringan dan bertambah teruk secara beransur-ansur.

Terdapat juga individu yang dijangkiti tetapi tidak menunjukkan sebarang simptom dan rasa tidak sihat.

Siapakah Berisiko Tinggi?

Orang tua dan golongan yang tersedia mempunyai masalah kesihatan seperti tekanan darah tinggi, penyakit jantung atau kencing manis berisiko tinggi untuk mendapat sakit yang serius jika dijangkiti.

Setakat ini, kebanyakan pesakit COVID-19 yang meninggal dunia di Malaysia adalah mereka yang telah mempunyai penyakit kronik seperti kencing manis, darah tinggi dan penyakit jantung.

Bagaimana Virus Ini Merebak?

Virus yang menyebabkan pandemik COVID-19 ini boleh tersebar melalui titisan air akibat daripada seseorang yang batuk, bersin atau menghembus nafas. Titisan ini terlalu berat untuk terapung di udara, maka ia akan terus jatuh ke lantai atau sebarang permukaan.

Anda boleh dijangkiti sekiranya bernafas berdekatan mereka yang telah dijangkiti COVID-19 atau menyentuh permukaan yang telah tercemar oleh virus ini dan kemudiannya menyentuh mulut, hidung atau mata.

Apakah yang Perlu Dilakukan Jika Anda Mempunyai Simptom COVID-19?

Sekiranya anda atau orang terdekat dengan anda seperti ahli keluarga menunjukkan simptom COVID-19, segeralah mendapatkan rawatan di hospital-hospital berdekatan dan amalkan langkah-langkah pencegahan.

Simptom hanyalah tanda dan tidak semestinya anda positif COVID-19. Oleh itu,jangan takut untuk mendapatkan rawatan perubatan di hospital.

Langkah-langkah Pencegahan COVID-19

Mencegah lebih baik daripada mengubati. Beberapa langkah-langkah pencegahan atau perlindungan boleh dilakukan bagi mengelak daripada virus ini terus merebak antaranya adalah:

1. Selalu mengamalkan tahap kebersihan diri yang tinggi

Kerap mencuci tangan dengan menggunakan air dan sabun atau menggunakan pencuci tangan (hand sanitizer). Sentiasa menjaga kebersihan diri.

2. Elak bersalaman atau bersentuhan

Tangan yang tidak dibasuh dengan kerap dan betul penuh dengan kuman.

3. Tutup mulut dan hidung

Tutup mulut dan hidung menggunakan tisu apabila batuk dan bersin. Buang tisu yang telah digunakan ke dalam tong sampah.

4. Pakai penutup hidung dan mulut

Pakai penutup hidung dan mulut (mask) jika bergejala.

5. Berhenti merokok

Berhenti merokok jika anda seorang perokok atau jauhi asap rokok (jangan jadi perokok pasif). Golongan ini mudah untuk dijangkiti virus corona ini kerana selalu meletakkan tangan dibibir.

Selain itu, sekiranya terkena jangkitan virus ini,ia boleh membawa kepada kes yang lebih teruk kerana paru-paru perokok telah pun rosak.

6. Jauhi kawasan yang menjadi tumpuan ramai

Sekiranya tiada keperluan, elakkan daripada mengunjung ke tempat-tempat tumpuan ramai seperti pusat membeli-belah atau pasar. Jika tidak dapat dielakkan, pakai pelitup muka dan amalkan penjarakan fizikal.

Kemaskini terakhir 9 September 2020.

Write A Comment