Serat diet adalah istilah yang merujuk kepada karbohidrat yang berasal daripada tumbuhan yang tidak dapat dihadam oleh usus kecil. Berbeza dengan komponen makanan yang lain seperti protein, lemak, gula di mana badan boleh mencerna dan menyerapnya, serat diet tidak dapat dihadam.
Sebaliknya, serat ini melewati perut, usus kecil, usus besar dan keluar daripada badan anda sebagai najis.
Terdapat dua istilah yang digunakan untuk menerangkan mengenai jenis-jenis serat diet dalam makanan kita iaitu serat larut dan serat tidak larut.
Artikel ini akan menjelaskan mengenai perbezaan antara serat larut dengan serat tidak larut serta kebaikan-kebaikan serat-serat ini.

Serat Larut vs. Serat Tidak Larut
Serat larut: Serat ini larut di dalam air dan berasal daripada bahagian dalam isi tumbuhan seperti pektin, gam dan musilaj. Serat ini akan membentuk gel likat dan turut difermentasi oleh bakteria baik dalam usus menjadi gas dan asid lemak rantaian pendek.
Serat larut boleh mengubah kepekatan gula darah dan kolesterol dalam darah.
Serat Tidak Larut: Serat ini tidak larut dalam air dan tidak difermentasikan oleh bakteria dalam usus. Serat ini berasal dari kulit luar tumbuhan. Lazimnya, serat tidak larut akan membentuk sebahagian besar najis dan memudahkan pembuangan air besar.
Selulosa, hemiselulosa dan lignin adalah serat tidak larut.
Kebaikan Serat Larut dan Serat Tidak Larut
Secara amnya, kedua-dua jenis serat ini baik dan mempunyai peranan yang penting terhadap sistem pencernaan dan kesihatan badan secara keseluruhannya.
Pemakanan yang tinggi dengan serat mempunyai pelbagai kebaikan seperti:
1. Melancarkan pembuangan air besar
Serat tidak larut boleh menyerap air dan melembutkan najis. Najis yang lembut lebih senang untuk disingkirkan. Keadaan ini boleh mencegah daripada terjadinya sembelit.
2. Mencegah buasir atau penyakit divertikular
Serat diet juga boleh mencegah atau memburukkan lagi keadaan buasir atau penyakit divertikular iaitu penyakit yang menyebabkan terbentuknya kantung atau benjolan pada dinding usus besar.
3. Mengurangkan risiko kanser usus
Terdapat kajian-kajian yang mendapati diet yang tinggi dengan serat boleh mengurangkan risiko kanser usus [1].
4. Membantu merendahkan paras kolesterol
Serat larut boleh mengikat dengan molekul kolesterol dalam usus kecil dan mencegah daripada kolesterol ini diserap. Ciri-ciri serat larut yang boleh merendahkan paras kolesterol ini boleh mengurangkan risiko penyakit jantung koronari [2].
5. Membantu mengawal paras gula darah
Serat larut boleh memperlahankan penyerapan dan penghadaman karbohidrat. Keadaan ini boleh menstabilkan paras gula darah selepas makan [3].
6. Mengenyangkan dan membantu mengurangkan berat badan
Makanan yang tinggi dengan serat diet juga lebih mengenyangkan berbanding makanan yang rendah serat diet.
Terdapat juga kajian yang melaporkan bahawa serat diet boleh mencegah obesiti. Pengambilan serat diet dikatakan boleh mengurangkan kenaikan berat badan dan lemak badan [4].
Pengambilan Serat yang Disarankan Sehari
Menurut Recommended Nutrient Intake (RNI) Malaysia 2017 yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia, rakyat Malaysia disarankan untuk mengambil serat diet sebanyak 20 - 30 gram sehari.
Sumber Serat Larut
Antara beberapa jenis makanan yang kaya dengan serat larut adalah seperti berikut:
- Oat
- Kacang pea
- Barli
- Buah epal
- Buah tembikai
- Lobak merah
- Brokoli
- Psilium
Sumber Serat Tidak Larut
Antara sumber makanan yang tinggi dengan serat tidak larut pula adalah seperti berikut:
- Bijian penuh
- Kekacang
- Kubis bunga
- Kentang
- Avokado
- Kulit buah epal
- Tomato
- Kiwi
Rumusan
Serat diet adalah salah satu nutrien yang mempunyai peranan yang cukup besar dalam penjagaan kesihatan badan manusia. Serat diet terbahagi kepada dua iaitu serat larut dan serat tidak larut.
Serat larut adalah serat yang larut didalam air dan dicerna menjadi gel likat atau membentuk asid lemak rantaian pendek. Serat tidak larut pula adalah serat yang tidak larut dalam air dan tidak dapat dicernakan. Serat jenis ini boleh membantu melancarkan pembuangan air besar.
Pemakanan yang tinggi dengan serat diet mempunyai pelbagai khasiat dan kebaikan termasuklah mengurangkan risiko penyakit jantung dan kanser usus.
Justeru itu, tingkatkan pengambilan serat diet dalam pemakanan harian melalui pengambilan sayur-sayuran, buah-buahan dan biji-bijian.
Rujukan
- Masrul, M., & Nindrea, R. D. (2019). Dietary Fibre Protective against Colorectal Cancer Patients in Asia: A Meta-Analysis. Open access Macedonian journal of medical sciences.
- Brown, L. et al. (1999). Cholesterol-lowering effects of dietary fiber: a meta-analysis. The American journal of clinical nutrition.
- de Carvalho, C. M. et al. (2017). Plasma glucose and insulin responses after consumption of breakfasts with different sources of soluble fiber in type 2 diabetes patients: a randomized crossover clinical trial. The American journal of clinical nutrition.
- Slavin J. L. (2005). Dietary fiber and body weight. Nutrition.