Alahan

Rinitis Alergi: Simptom, Rawatan dan Petua

Pinterest LinkedIn Tumblr

Rinitis alergi ialah salah satu bentuk alahan yang berlaku akibat tindak balas alahan. Rinitis alergi juga sebenarnya adalah salah satu bentuk resdung selain daripada sinusitis.

Rinitis alergi boleh terjadi sekiranya anda mempunyai alahan terhadap habuk, debunga atau sisik haiwan.

debunga penyebab rinitis alergi
Debunga adalah salah satu penyebab rinitis alergi

Simptom-simptom Rinitis Alergi

Antara simptom-simptom rinitis alergi yang boleh berlaku adalah:

  • Bersin
  • Gatal hidung, lelangit mulut atau tekak.
  • Hidung berair
  • Mata berair
  • Hidung tersumbat
  • Batuk
  • Sakit tekak atau gatal tekak
  • Mata gatal
  • Sakit kepala yang kerap
  • Deria bau berkurangan
  • Rasa penat
  • Bengkak atau kulit bawah mata menjadi gelap

Simptom-simptom ini selalunya terus terjadi setelah anda terdedah kepada alergen.

Punca Rinitis Alergi

Rinitis alergi berlaku apabila badan bertindak balas dengan bahan yang menyebabkan alahan (alergen). Badan akan menghasilkan bahan kimia yang dikenali sebagai histamin. Histamin ini akan menyebabkan rinitis alergi dan gejala-gejala yang berkaitan dengannya.

Antara alergen yang biasa menyebabkan rinitis alergi ialah:

  • habuk
  • tungau habuk
  • debunga pokok
  • debunga rumput
  • sisik haiwan
  • spora daripada kulapuk
  • air liur atau air kencing haiwan peliharaan
  • spora daripada kulat

Rinitis alergi boleh berlaku secara bermusim atau sepanjang tahun. Bagi negara yang mengalami 4 musim, punca utama rinitis alergi biasanya adalah debunga.

Jika alergi ini berlaku berpanjangan sepanjang tahun, maka ia menjadi petanda bahawa anda menghidap alergi atau alahan terhadap habuk, tungau habuk, kulapok atau kulat dan juga sisik haiwan peliharaan (kulit luar haiwan peliharaan).

Faktor Risiko Bagi Rinitis Alergi

Selain alergen yang biasa menyebabkan alergi ini, terdapat juga faktor lain yang boleh meningkatkan risiko anda terkena rinitis alergi sekiranya:

  • ada ahli keluarga yang menghidap rinitis alergi ini
  • menghidap asma atau ekzema atopi

Selain itu, terdapat juga faktor luaran yang turut boleh menjadi punca atau faktor yang memburukkan lagi alergi ini. Antaranya:

  • asap rokok
  • bahan kimia
  • minyak wangi
  • pencemaran udara
  • asap pembakaran
  • kelembapan

Rawatan Perubatan

Sebaik-baiknya untuk mengelak berlakunya rinitis alergi adalah dengan menjauhkan diri daripada penyebab alergi ini.

Bagi kes alergi yang ringan, ubat belian kaunter mungkin sudah mencukupi untuk melegakan simptom-simptom yang berlaku.

Bagi kes yang teruk, anda mungkin perlu mendapatkan rawatan daripada doktor.

Antara ubat-ubatan yang boleh merawat alergi ini adalah:

1. Antihistamin

Ubat antihistamin boleh didapati dalam bentuk pil, semburan atau titis.

Ubat ini akan membantu melegakan simptom-simptom seperti gatal-gatal, bersin atau hidung berair. Ubat ini bertindak dengan menghalang histamin yang terhasil akibat tindak balas sistem imun.

Antara ubat antihistamin yang ada di pasaran ialah:

  • loratadine (Claritin, Alavert)
  • cetirizine (Zyrtec Allergy)
  • fexofenadine (Allegra Allergy)

2. Dekongestan

Ubat ini boleh didapati dalam bentuk belian kaunter atau preskripsi. Ubat ini akan mengurangkan sumbatan hidung akibat alergi.

Ubat jenis ini dapat mengurangkan pembengkakan selaput hidung dengan mengurangkan pengaliran darah pada mukosa.

Ubat dekongestan jenis semburan hidung tidak boleh digunakan lebih daripada 2 atau 3 hari pada satu-satu masa kerana boleh menyebabkan simptom-simptom yang berlaku bertambah teruk. Keadaan ini dikenali sebagai kesan lantunan.

Antara ubat dekongestan ialah:

  • pseudoephedrine (Sudafed)
  • oxymetazoline (Afrin nasal spray)
  • phenylephrine (Sudafed PE)
  • phenylephrine hydrochloride (Neo-Synephrine)

Ubat dekongestan jenis makan mungkin boleh menyebabkan kesan sampingan termasuklah meningkatkan tekanan darah, insomnia, sakit kepala dan kerengsaan.

3. Cromolyn sodium

Ubat ini biasanya dijual dalam bentuk penyembur hidung yang boleh dibeli secara belian kaunter.

Ubat ini boleh membantu melegakan simptom-simptom alergi ini dengan menghalang pembebasan histamin.

Cromolyn sodium ini tidak mendatangkan kesan sampingan yang serius.

4. Kortikosteroid

Penyembur kortikosteroid hidung (nasal corticosteroid spray) adalah antara rawatan yang berkesan untuk merawat rinitis alergi ini.

Ubat jenis ini tidak menyebabkan kesan lantunan dan selamat digunakan oleh kanak-kanak dan orang dewasa.

5. Imunoterapi

Imunoterapi atau suntikan alahan biasanya dicadangkan kepada mereka yang menghidap alahan yang teruk.

Rawatan jenis ini akan mengurangkan tindak balas sistem imun terhadap sesuatu alergen dalam satu jangka masa panjang. Rawatan ini memerlukan komitmen jangka panjang kerana ia melibatkan beberapa fasa rawatan.

6. Sublingual imunoterapi

Rawatan ini melibatkan kaedah meletakkan tablet yang mengandungi beberapa jenis alergen di bawah lidah. Ia bertindak seperti imunoterapi suntikan tetapi ia tidak melibatkan suntikan.

Rawatan ini mesti diambil dibawah penyeliaan doktor kerana kemungkinan wujudnya kesan tindak balas seperti gatal-gatal di mulut, telinga atau kerongkong. Dalam kes-kes terpencil, ia boleh menyebabkan anafilaksis.

Petua atau Rawatan Dirumah

Rawatan di rumah juga turut bergantung kepada penyebab kepada alahan anda.

Beberapa amalan ringkas yang boleh dilakukan untuk mencegah dan merawat alergi ini di rumah adalah:

  • Gunakan pendingin hawa (aircond) dan tutup tingkap bagi mengelakkan debunga masuk ke dalam rumah.
  • Gunakan alat penyahlembapan untuk mengurangkan kelembapan di dalam rumah bagi mengelakkan pertumbuhan kulapok atau kulat.
  • Gunakan pendingin hawa atau pembersih hampagas yang mengunakan penapis HEPA (high-efficiency particulate air) boleh membantu mengawal alergi ketika berada di dalam rumah.
  • Basuh cadar, selimut atau pakaian menggunakan air panas (> 54°C) untuk membunuh tungau habuk (dust mite).
  • Jauhkan haiwan peliharaan dari bilik tidur anda atau bela haiwan peliharaan ini diluar rumah anda.

Selain itu, beberapa petua atau rawatan alternatif yang boleh membantu merawat rinitis alergi ini termasuklah:

1. Akupunktur

Satu analisis terhadap 13 kajian mendapati akupunktur boleh dijadikan sebagai rawatan alternatif kepada pesakit alergi ini.

2. Probiotik

Probiotik boleh didapati daripada yogurt atau minuman yogurt.

Satu ulasan terhadap 23 kajian mendapati probiotik boleh membantu melegakan simptom-simptom alergi ini.

3. Saline nasal irrigation

Ulasan pada tahun 2012 menunjukkan saline nasal irrigation menggunakan cecair isotonik boleh digunakan sebagai rawatan alternatif untuk merawat alergi ini.

Kaedah rawatan ini mempunyai kesan positif terhadap kanak-kanak dan juga remaja.

4. Spirulina

Berdasarkan kajian, makanan tambahan (supplement) Spirulina pada dos 2,000 mg sehari menunjukkan kesan positif terhadap penghidap rinitis alergi.

Rinitis Alergi Dalam Kalangan Kanak-kanak dan Remaja

Alergi jenis ini adalah antara yang paling lazim berlaku dalam kalangan kanak-kanak dan remaja. Penyakit ini biasanya turut berkait dengan penyakit alergi lain seperti asma. Keadaan ini boleh menganggu aktiviti harian, persekolahan dan kualiti hidup kanak-kanak dan remaja.

Kanak-kanak dan remaja yang menghidap rinitis alergi turut mengalami simptom-simptom yang sama seperti orang dewasa. Contohnya seperti:

  • bersin
  • hidung tersumbat
  • gatal-gatal hidung
  • rinorea – lelehan mukus cair dari hidung (hingus)
  • nafas pendek atau lelah

Sekiranya melibatkan mata, penyakit ini dikenali sebagai rinokonjunktivitis alergi.

Simptom seperti berdehit, sesak nafas atau lelah serta simptom-simptom yang lain mungkin menjadi petanda awal kepada asma.

Oleh itu, dapatkan rawatan daripada doktor bagi memastikan anak anda mendapat diagnosa dan rawatan yang betul.

Rumusan

Rinitis alergi adalah salah satu bentuk alahan yang menglibatkan salur pernafasan. Alergi ini sebenarnya turut dipanggil resdung oleh masyarakat tempatan.

Alergi yang berlaku secara berkala biasanya tidak serius dan mudah untuk diubati. Bagi alergi yang berlaku sepanjang tahun mungkin memerlukan rawatan yang lebih lama dan berpanjangan.

Terdapat juga rawatan dirumah atau petua yang boleh diamalkan untuk membantu melegakan simptom-simptom yang berlaku. Sekiranya anda tidak pasti, dapatkan nasihat daripada doktor anda.

Rujukan
Rujukan
  • Mayo Clinic Staff. (2020). Hay fever. Mayo Clinic [diakses pada 14 Disember 2020].
  • Kristeen Moore. (2019). Allergic Rhinitis. Healthline [diakses pada 14 Disember 2020].
  • Scott Frothingham. (2018). 15 Home Remedies for Allergies. Healthline [diakses pada 14 Disember 2020].
  • Schuler Iv, C. F., & Montejo, J. M. (2019). Allergic Rhinitis in Children and AdolescentsPediatric clinics of North America.