Mungkin ada yang tertanya-tanya kenapa telinga berdengung. Telinga berdengung ini dalam bahasa perubatannya dipanggil tinitus. Tinitus ialah keadaan dimana bunyi berdengung atau berdesing di dalam telinga tanpa ada sumber bunyi dari luar.

Malahan jika anda menghidap tinitus, anda juga mungkin akan mendengar bunyi berdesing, berdesit dan menderam selain daripada bunyi berdengung.

Tinitus ini boleh bersifat sementara dan juga kekal sekiranya gangguan ini berada pada tahap kronik. Semua peringkat umur boleh menghidapi gangguan ini namun kebiasaannya ia lebih kerap berlaku dalam kalangan mereka yang berumur.

Kadangkala, bunyi yang berdengung atau bunyi yang didengari itu boleh menganggu bunyi sebenar disekeliling anda.

Tinitus ini juga boleh berlaku bersama-sama dengan kemurungan, kebimbangan dan stres. Selain itu, tinitus juga boleh menyebabkan kesukaran untuk tidur dan memberi tumpuan (1).

Terdapat beberapa jenis tinitus seperti (2):

  1. Tinitus subjektif
  2. Tinitus objektif
  3. Tinitus pendenyut
  4. Tinitus primer
  5. Tinitus sekunder
  6. Tinitus akut
  7. Tinitus kronik
telinga berdengung

Apakah Punca Telinga Berdengung?

Punca telinga berdengung atau tinitus ini ialah disebabkan oleh kerosakan pada sel-sel bulu bahagian dalam telinga.

Keadaan ini berlaku seiring dengan peningkatan usia dan akibat terdedah terlalu lama pada bunyi bising yang kuat.

Kebiasaannya, tinitus disebabkan oleh faktor-faktor berikut (3, 4, 5):

  • Kehilangan pendengaran berkaitan usia: Kehilangan pendengaran juga boleh menyebabkan tinitus. Kebiasaanya bagi mereka yang berumur 60 tahun ke atas.
  • Terdedah kepada bunyi bising: Terdedah kepada bunyi bising seperti gergaji rantai, senjata api, peralatan berat dan alat pemain muzik yang dipasang terlalu kuat juga boleh menyebabkan tinitus. Konsert dengan sistem bunyi yang kuat juga boleh menyebabkan tinitus, walaupun kebiasaannya akan hilang.
  • Pertumbuhan tulang telinga yang tidak normal: Pengerasan tulang telinga yang tidak normal juga boleh menyebabkan tinitus.
  • Tahi telinga yang tersumbat: Tahi telinga pada asasnya melindungi saluran telinga dengan memerangkap habuk dan melambatkan tumbesaran bakteria. Tahi telinga yang terlalu banyak terkumpul dan gagal disingkirkan secara semulajadi akan menyebabkan kehilangan pendengaran dan radang kepada gegendang telinga. Seterusnya menyebabkan tinitus.

Terdapat juga faktor-faktor lain yang boleh menyebabkan tinitus ini, namun jarang-jarang berlaku. Contohnya seperti:

  • Kecederaan dikepala dan tengkuk
  • Penyakit Meniere
  • Neuroma akustik
  • Disfungsi tiub Eustachia
  • Kekejangan otot di dalam telinga sebelah dalam

Dalam kes-kes terpencil, gangguan salur darah juga turut dikaitkan dengan tinitus. Punca-puncanya termasuklah:

  • Aterosklerosis (penyakit pada arteri)
  • Tumor pada kepala dan tengkuk
  • Tekanan darah tinggi
  • Kecacatan pada kapilari
  • Pengaliran darah yang bergolak

Ubat-ubatan juga turut dikaitkan dengan tinitus. Pengambilan ubat-ubatan ini pada dos yang tinggi akan memburukkan lagi keadaan. Ubat-ubatan yang diketahui menjadi punca dan memburukkan lagi tinitus termasuklah (6):

  • Aspirin (dos tinggi)
  • Antibiotik (polymyxin B, erythromycin, vancomycin dan neomycin)
  • Ubat kanser (methotrexate dan cisplatin)
  • Ubat kemurungan
  • Ubat kuinina (Ubat antimalaria)
  • Ubat diuretik

Rawatan

Kebiasaannya, doktor akan mengenalpasti punca yang berkaitan, yang menyebabkan telinga berdengung ini. Sekiranya telinga berdengung ini disebabkan oleh faktor kesihatan, langkah seperti berikut mungkin akan diambil oleh doktor:

  • Merawat masalah saluran darah.
  • Membuang tahi telinga.
  • Mengubah atau menghentikan ubat-ubatan anda sekiranya ubat tersebut menjadi punca.

Hakikatnya, ubat tidak boleh menyembuhkan tinitus. Walau bagaimanapun, dalam sesetengah kes, ubat dapat mengurangkan tahap keterukan tinitus ini (6).

Antara ubat-ubat yang boleh mengurangkan tinitus ini adalah:

  • Ubat anti-kemurungan trisiklik seperti amitriptyline dan nortriptyline
  • Ubat Alprazolam (Xanax)

Namun, ubat-ubat ini boleh mendatangkan kesan sampingan seperti loya, keletihan, mulut kering, kabur penglihatan dan sembelit.

Rawatan menggunakan alat bantu juga mungkin berkesan untuk mengatasi masalah tinitus ini. Antaranya ialah:

  • Alat bantuan pendengaran: penguat atau pembesar bunyi boleh membantu mereka yang sukar mendengar bunyi normal akibat tinitus.
  • Implan koklea: alat ini boleh membantu otak anda melintasi bahagian telinga yang rosak bagi membolehkan anda mendengar dengan baik.

Cara Mencegah Telinga Berdengung

Lindungi telinga anda daripada bunyi yang kuat dapat mencegah daripada berlakunya tinitus atau telinga berdengung ini.

  • Jauhi kawasan pembinaan atau kawasan peralatan berat yang mempunyai bunyi yang bising.
  • Memakai pelindung telinga sekiranya memasuki kawasan yang mempunyai bunyi bising melebihi 85 decibel.
  • Memakai pelindung telinga sekiranya memasuki bilik yang mempunyai bunyi bising yang tinggi seperti bilik enjin.
  • Hindari ubat-ubatan yang boleh menyebabkan tinitus.
  • Memakai pelindung telinga sekiranya menghadiri konsert-konsert yang mempunyai bunyi yang amat kuat.
  • Kurangkan jam atau kekerapan penggunaan fon telinga (earphone) atau fon kepala (headphone) pada kelantangan yang tinggi.

Mencegah lebih baik daripada mengubati.

Telinga berdegung (tinitus) bukanlah penyakit. Ia adalah simptom yang memberitahu kita bahawa sistem pendengaran kita mempunyai masalah. Sekiranya masalah ini berulang-ulang dan berlaku pada kadar masa yang lama, sila dapatkan rawatan daripada doktor.

Write A Comment