Mengambil maklum mengenai simptom COVID-19 adalah langkah bijak yang harus diambil oleh setiap individu di Malaysia malahan di seluruh dunia.

Penyakit yang dikelaskan sebagai pandemik ini telah merebak ke 118 buah negara dan wilayah yang melibatkan 125 000 kes setakat 13 Mac 2020 (1).

COVID-19 atau penyakit Coronavirus 2019 adalah penyakit pernafasan yang boleh merebak daripada seorang individu kepada individu yang lain.

COVID-19 ialah virus dan penyakit yang baru yang bermula dari wilayah Wuhan, China pada Disember 2019.

Tempoh inkubasi atau jarak masa antara pertama kali dijangkiti virus sehingga penampakan simptom-simptom adalah dianggarkan antara 1 hingga 14 hari. Kebanyakkannya menunjukkan simptom seawal 5 hari (berdasarkan maklumat dari WHO).

simptom covid-19

Simptom-simptom COVID-19

Setakat ini, beberapa simptom atau gejala COVID-19 yang diketahui adalah seperti berikut (2, 3, 4):

  • Demam
  • Kesukaran bernafas
  • Batuk (kering)
  • Kepenatan
  • Hidung tersumbat
  • Hidung berair
  • Sakit tekak
  • Cirit-birit

Simptom-simptom ini boleh kelihatan selepas 1 hingga 14 hari selepas terdedah kepada virus ini.

Kebanyakkan simptom ini bermula dengan ringan dan bertambah teruk secara beransur-ansur.

Terdapat juga individu yang dijangkiti tetapi tidak menunjukkan sebarang simptom dan rasa tidak sihat.

Siapakah Berisiko Tinggi?

Orang tua dan golongan yang tersedia mempunyai masalah kesihatan seperti tekanan darah tinggi, penyakit jantung atau kencing manis berisiko tinggi untuk mendapat sakit yang serius jika dijangkiti.

Langkah-langkah Pencegahan COVID-19

Mencegah lebih baik daripada mengubati. Beberapa langkah-langkah pencegahan atau perlindungan boleh dilakukan bagi mengelak daripada virus ini terus merebak antaranya adalah:

1. Selalu mengamalkan tahap kebersihan diri yang tinggi

Kerap mencuci tangan dengan menggunakan air dan sabun atau menggunakan pencuci tangan (hand sanitizer). Sentiasa menjaga kebersihan diri.

2. Elak bersalaman atau bersentuhan

Tangan yang tidak dibasuh dengan kerap dan betul penuh dengan kuman.

3. Tutup mulut dan hidung

Tutup mulut dan hidung menggunakan tisu apabila batuk dan bersin. Buang tisu yang telah digunakan ke dalam tong sampah.

4. Pakai penutup hidung dan mulut

Pakai penutup hidung dan mulut (mask) jika bergejala.

Langkah Pencegahan COVID-19 Dalam Tempoh Lawatan Ke Tempat-tempat Yang Berlaku Wabak

Sekiranya perjalanan atau lawatan yang dirancang tidak dapat dielakkan. Maka, beberapa langkah pencegahan berikut haruslah diambil:

1. Sentiasa membawa mask dan hand sanitizer

Sentiasa membawa dan memakai penutup mulut (mask) dan bahan pencuci tangan (hand sanitizer) semasa lawatan.

2. Elakkan melawat ke tempat berikut

Elakkan melawat ke pasar yang menjual haiwan hidup, ladang haiwan, tempat penyembelihan haiwan atau menyentuh sebarang jenis haiwan.

3. Elakkan daripada makan makanan berasaskan haiwan yang mentah

Elakkan daripada makan makanan yang berasaskan haiwan yang mentah atau tidak dimasak dengan sempurna.

4. Elakkan dari mengunjungi tempat orang ramai

Elakkan dari mengunjungi tempat tumpuan ramai seperti pusat membeli belah, konsert dan sebarang perhimpunan. Elakkan juga dari bergaul rapat dengan mana-mana individu bergejala.

5. Dapatkan rawatan segera jika mempunyai simptom

Segera dapatkan rawatan perubatan sekiranya jatuh sakit yang melibatkan jangkitan saluran pernafasan seperti demam, batuk atau kesukaran bernafas dalam tempoh 14 hari selepas pulang dari lawatan tersebut.

Langkah Pencegahan Penularan COVID-19 Bagi Barangan Dari China

Walaupun ketika ini tiada bukti yang menunjukkan sama ada virus ini masih boleh hidup di permukaan luar barangan dalam tempoh yang lama.

Namun, langkah-langkah pencegahan boleh diambil bagi mengurangkan risiko penyebaran.

1. Lap barangan yang baru sampai

Lap barangan yang baru ampai dari negara China menggunakan tisu yang dibasahkan dengan pencuci tangan (hand sanitizer) atau sabun.

Langkah Pencegahan COVID-19 di Kenderaan Awam

Pengusaha atau pemilik kenderaan awam perlu sentiasa menjalankan pembersihan dan nyahkuman (disinfeksi) secara kerap pada kawasan-kawasan berikut:

  • Pintu
  • Tempat pemegang
  • Kerusi

Bagi pengguna atau penumpang pula, langkah pencegahan yang boleh diambil adalah:

1. Membasuh tangan

kerap membasuh atau membersihkan tangan menggunakan sabun atau pencuci tangan (hand sanitizer).

2. Menjarakkan diri 1 meter

Sekiranya anda bergejala seperti batuk dan bersin atau nampak orang lain yang bergejala, jarakkan diri anda sejauh 1 meter.

Ini kerana percikan partikel kuman atau virus boleh tersebar sejauh 1 meter ketika batuk atau bersin.

3. Memakai mask

Pakai penutup mulut dan hidung (mask) sekiranya anda bergejala seperti batuk dan bersin.

Langkah Pencegahan COVID-19 di Sekolah

Pihak pengurusan atau pentadbir sekolah harus melakukan nyahkuman (disinfeksi) permukaan-permukaan yang mudah dicemari kuman seperti berikut:

  • Meja
  • kerusi
  • Tombol pintu
  • Papan kekunci komputer
  • Tetikus komputer

Menurut Kementerian Kesihatan Malaysia, sekiranya terdapat warga sekolah yang disahkan positif, sekolah tidak perlu ditutup. Memadai kerap melakukan nyahkuman atau disinfeksi.

Langkah-langkah pencegahan yang lain yang boleh diambil adalah:

1. Membasuh tangan

Kerap membasuh tangan menggunakan sabun dan pencuci tangan (hand sanitizer).

2. Pakai penutup mulut dan hidung

Sekiranya bergejala seperti batuk dan selsema, pakai penutup hidung dan mulut.

3. Jarakkan diri 1 meter

Jarakkan diri sejauh 1 meter sekiranya bergejala atau nampak orang yang bergejala.

Langkah Pencegahan COVID-19 di Tempat Kerja

Majikan dan pekerja harus kerap melakukan kerja-kerja nyahkuman atau disinfeksi pada permukaan atau barangan yang mudah dicemari kuman seperti:

  • Ruang kerja
  • Kaunter perkhidmatan
  • Tombol pintu
  • Papan kekunci komputer
  • Tetikus komputer

Seperti mana sekolah, pejabat juga tidak perlu ditutup sekiranya terdapat pekerja yang disahkan positif COVID-19. Memadai kerap melakukan nyahkuman atau disinfeksi.

Langkah-langkah pencegahan yang lain yang boleh diambil adalah:

1. Membasuh tangan

Kerap membasuh tangan menggunakan sabun dan pencuci tangan (hand sanitizer).

2. Pakai penutup mulut dan hidung

Sekiranya bergejala seperti batuk dan selsema, pakai penutup hidung dan mulut.

3. Jarakkan diri 1 meter

Jarakkan diri sejauh 1 meter sekiranya bergejala atau nampak orang yang bergejala.

Apakah yang Perlu Dilakukan Jika Anda Mempunyai Simptom COVID-19?

Sekiranya anda atau orang terdekat dengan anda seperti ahli keluarga menunjukkan simptom COVID-19, segeralah mendapatkan rawatan di hospital-hospital berdekatan dan amalkan langkah-langkah pencegahan.

Simptom hanyalah tanda dan tidak semestinya anda positif COVID-19. Oleh itu,jangan takut untuk mendapatkan rawatan perubatan di hospital.

Write A Comment