Rawatan

Cara Untuk Hilangkan Sakit Tekak Ketika Menelan

Pinterest LinkedIn Tumblr

Sakit tekak ketika menelan adalah salah satu daripada tanda kepada keadaan perubatan yang dikenali sebagai odynophagia. Ia akan menyebabkan anda berasa sakit pada bahagian mulut, kerongkong (tekak) atau saluran makanan (esofagus) ketika hendak menelan makanan, minum air atau menelan air liur.

Sakit tekak ketika menelan kebiasaannya berlaku ketika seseorang itu demam selesema. Tetapi sakit ini boleh juga disebabkan masalah kesihatan lain yang bergantung kepada lokasi dan tahap kesakitan.

Dalam sesetengah kes, sakit tekak ini boleh sembuh dengan cepat dan ada juga berlanjutan pada satu jangka masa yang agak lama. Sakit tekak ini juga boleh menjadi petanda kepada masalah kesihatan yang lain.

sakit tekak ketika menelan

Gejala atau Simptom-simptom

Gejala atau simptom sakit ketika menelan boleh terjadi pada jangka masa yang pendek atau lebih lama bergantung kepada puncanya.

Antara gejala atau simptom-simptom sakit ketika menelan ialah:

  • Rasa membakar atau tajam dalam mulut, tekak dan esofagus ketika hendak menelan.
  • Rasa sakit yang lebih kuat ketika menelan makanan kering malah sesetengah kes minuman atau makanan pepejal turut menyebabkan kesakitan yang sama.
  • Hilang berat badan akibat kurang makan.
  • Dehidrasi akibat kurang minum.

Sekiranya sakit tekak ini disebabkan oleh jangkitan, simptom-simptom lain juga akan turut terjadi seperti demam, keletihan atau rasa tidak sihat.

Punca yang Menyebabkan Sakit Tekak Ketika Menelan

Jika sakit tekak ketika menelan ini disebabkan oleh demam selesema, kebiasaannya ia akan sembuh dengan sendirinya.

Namun, sekiranya sakit ini berpanjangan dan kronik, ia mungkin berkait dengan masalah kesihatan yang lain. Antara keadaan perubatan yang boleh menyebabkan sakit ketika menelan adalah:

  • Jangkitan. Jangkitan pada gigi, gusi, tonsilitis atau faringitis.
  • Ulser. Ulser adalah luka-luka yang boleh terjadi di dalam mulut, tekak, esofagus atau perut anda.
  • Kanser. Sakti kerongkong dan sakit ketika menelan juga boleh menjadi tanda kepada kanser peti suara. Selain itu, sakit ini juga boleh menjadi petanda awal kepada kanser esofagus.
  • Jangkitan kulat. Jangkitan kulat (yis) spesies Candida boleh berlaku di dalam mulut dan merebak ke bahagian kerongkong dan esofagus.
  • Penyakit refluks gastroesofagus (GERD). Penyakit ini juga turut boleh menyebabkan sakit ketika menelan disamping rasa sakit dada dan pedih hulu hati.
  • HIV. Penghidap HIV atau AIDS yang menjalani rawatan radioterapi atau kanser berpotensi tinggi untuk mengalami sakit ketika menelan ini.

Mungkin jarang-jarang berlaku, tetapi terlekat tulang ikan juga boleh menjadi penyebab untuk sakit tekak ketika menelan.

Rawatan Sakit Tekak Ketika Menelan

Rawatan untuk sakit ini bergantung kepada puncanya. Antara pilihan rawatan yang ada ialah:

Ubat-ubatan

  1. Antibiotik: Untuk merawat sakit yang disebabkan oleh jangkitan.
  2. Antasid: Untuk merawat asid refluks.
  3. Ubat antiradang: Untuk merawat atau melegakan keradangan seperti tonsilitis.

Pembedahan

Bagi kes-kes yang teruk seperti kanser (tumor), tonsilitis yang berulang-ulang atau GERD mungkin memerlukan pembedahan.

Selain itu, pesakit juga digalakkan untuk bertukar kepada makanan yang lembut dan mengunyah makanan dengan lebih lama bagi mengurangkan kesakitan.

Pencegahan

Bagi mencegah daripada sakit mulut, tekak atau esofagus ketika menelan, jauhi perkara-perkara berikut:

  • Minum minuman keras (arak).
  • Merokok.
  • Mengurangkan makan makanan pedas.
  • Menjaga kebersihan mulut bagi mengelakkan jangkitan pada gusi dan gigi.
  • Makan secara perlahan dan mengunyah makanan dengan lebih lama untuk mengelakkan terlekat benda asing.

Bila Perlu Berjumpa Doktor?

Kebiasaannya sakit ini boleh pulih dengan sendirinya dalam masa seminggu tanpa rawatan sekiranya berpunca daripada demam selesema atau selesema.

Namun begitu, sekiranya sakit tekak ini menyebabkan anda sukar untuk makan, minum atau bernafas, sila dapatkan rawatan daripada doktor dengan segera.

Dapatkan rawatan daripada doktor juga sekiranya sakit ini berpanjangan melebihi seminggu serta menyebabkan anda kehilangan berat badan dan dehidrasi.

Rujukan

Write A Comment