Rawatan

Sakit Kepala Sebelah Kiri: Punca dan Rawatan

Pinterest LinkedIn Tumblr

Sakit kepala sebelah kiri boleh menjadi petunjuk kepada permasalahan sebenar. Sememangnya sukar untuk mengetahui punca sebenar sakit kepala. Namun, lokasi sakit kepala yang berlaku boleh menjadi satu petunjuk untuk mengetahui masalah yang berlaku.

Sakit kepala adalah antara sakit yang memberi kesan kepada hampir 50 peratus orang dewasa di seluruh dunia. Sakit kepala boleh berlaku pada satu bahagian kepala atau kedua-dua bahagian kepala.

Sakit kepala boleh datang secara perlahan atau secara tiba-tiba. Rasa sakit ini boleh berdenyut-denyut, tumpul atau tajam menusuk. Kadang kala, sakit ini boleh merebak hingga ke bahagian leher, belakang mata atau gigi.

sakit kepala sebelah kiri

Apakah punca sakit kepala sebelah kiri?

Punca sakit kepala sebelah kiri mungkin disebabkan oleh gejala-gejala dan jenis sakit kepala seperti berikut:

1.Migrain

Migrain adalah penyakit atau sakit kepala yang paling kerap berlaku di dalam dunia. Migrain juga lebih 2 atau 3 kali ganda lebih senang banyak berlaku terhadap wanita berbanding lelaki.

Ciri-ciri: Anda akan rasa sakit kepala yang teruk, sakit ini akan berdenyut-denyut dan selalunya berlaku sebelah kepala.

Gejala ini selalunya akan disertai oleh rasa loya, muntah, sensitif kepada cahaya dan bunyi, dan aura (1).

Aura ialah perubahan dalam penglihatan, percakapan dan sensasi lain.

Kebiasaannya, migrain boleh berlarutan 4 hingga 72 jam.

Migrain boleh dicetuskan oleh (2):

  • stres atau tekanan
  • makanan seperti arak, keju dan coklat
  • cahaya yang terlampau terang
  • bunyi yang kuat yang lama
  • bau yang kuat seperti minyak wangi
  • prahaid atau pramenstruasi bagi wanita

2. Sakit kepala tegangan

Sakit kepala jenis tegangan atau tension headache boleh berlaku pada satu bahagian kepala. Maka, sakit kepala sebelah kiri boleh berpunca daripada sakit kepala jenis ini.

Sakit kepala tegangan tidak sekuat atau seteruk migrain tetapi masih mengakibatkan rasa sakit yang agak kuat.

Ciri-ciri: Gejala atau simptom akibat sakit kepala jenis ini ialah rasa ketat di kepala, sakit yang menekan yang bermula dari belakang mata dan merebak ke dahi atau belakang kepala.

Sakit ini juga turut menyebabkan rasa tegang pada otot leher dan bahu.

Sakit kepala jenis ini boleh disebabkan oleh:

  • stres
  • tegangan di leher dan bahu
  • posisi badan yang buruk
  • kecederaan pada leher

3. Sakit kepala kelompok

Sakit kepala kelompok ini sebenarnya jarang berlaku. Sakit kepala jenis ini amat menyakitkan dan dicirikan oleh kesakitan di satu bahagian kepala.

Ciri-ciri: Gejala yang ditunjukkan oleh sakit kepala jenis ini adalah rasa sakit yang kuat pada satu bahagian kepala, sakit ini menjadi kuat selepas 5 hingga 10 minit, sakit yang kuat berpanjangan sehingga 30 hingga 60 minit (3).

Selain itu, tanda lain seperti hidung menjadi tersumbat dan berair, mata di bahagian kepala yang sakit akan menjadi merah dan berair, dan muka akan berpeluh.

Sakit kepala jenis ini dipercayai mempunyai perkaitan dengan bahagian otak yang dipanggil hipotalamus.

Penyebab-penyebab lain kepada sakit kepala sebelah kiri

  • Kecederaan
  • Berkaitan saluran darah
  • Terlebih guna ubat
  • Keradangan
  • Sinusitis
  • Suka langkau waktu makan
  • Kurang tidur

Rawatan

Kebiasaannya, sekiranya sakit kepala ini tidak melibatkan masalah kesihatan yang tersembunyi yang lain, pesakit akan dirawat dengan ubat pelega kesakitan.

Ibuprofen dan aspirin adalah antara ubat belian kaunter atau atas talian yang turut boleh digunakan untuk melegakan kesakitan.

Sekiranya sakit kepala ini teruk, doktor mungkin akan memberikan ubat penghilang kesakitan atau ubat pengendur otot terutamanya untuk migrain dan sakit kepala tegangan. Urutan juga boleh mengurangkan kesakitan akibat sakit kepala tegangan ini (4).

Manakala, sakit kepala kelompok pula boleh dirawat dengan satu sesi rawatan oksigen.

Perubahan pada gaya hidup boleh membantu mengurangkan atau menghindari sakit kepala jenis-jenis ini:

  • Bersantai atau melakukan senaman regangan otot seperti yoga dan yang seangkatan dengannya.
  • Hindari makanan yang boleh mencetuskan sakit kepala seperti kafein, arak dan keju.

Bila perlu berjumpa doktor

Dapatkan rawatan segera sekiranya timbul gejala-gejala seperti berikut bersama-sama sakit kepala:

  • Kabur penglihatan
  • Demam
  • Sakit kepala itu terjadi pertama kali sejak 50 tahun
  • Perubahan pada corak sakit kepala
  • Sakit kepala semakin teruk
  • Perubahan pada mental dan personaliti
  • Menyebabkan aktiviti harian tidak terurus
  • Sakit kepala bermula selepas terhantuk di kepala
  • Tidak sedarkan diri
  • Sakit dan merah pada mata

Write A Comment