Rawatan

Rawatan Untuk Kembung Perut Semasa Mengandung

Pinterest LinkedIn Tumblr

Kembung perut semasa mengandung? Anda tidak keseorangan. Kembung perut adalah gejala biasa ketika mengandung. Kembung perut atau angin ini boleh menyebabkan ketidakselesaan dan kesakitan.

Masalah ini boleh disebabkan oleh beberapa faktor termasuklah disebabkan oleh hormon dan diet.

Progesteron ialah hormon yang menyumbang kepada kembung perut semasa mengandung. Hormon ini membuatkan otot badan kita mengendur. Otot usus juga turut mengendur yang seterusnya menyebabkan penghadaman turut menjadi perlahan. Keadaan ini membenarkan penghasilan gas atau angin.

Manakala dari segi diet, ibu mengandung boleh cuba mengelak makanan yang menyebabkan kembung perut.

Berikut merupakan beberapa rawatan atau langkah pencegahan bagi masalah kembung perut semasa mengandung:

1. Minum Banyak Air

Ibu mengandung disarankan untuk minum air sebanyak 10 gelas sehari iaitu kira-kira 2.3 liter sehari (IOM).

Minum air sebelum dan selepas makan dapat membantu penghadaman makanan dalam perut. Makanan yang tidak dihadam yang melalui usus kecil akan menghasilkan gas atau angin semasa bakteria mencernanya. Oleh itu, kekal terhidrat dapat mengurangkan penghasilan angin atau gas.

Kekal terhidrat juga dapat mencegah sembelit, yang turut menjadi punca kepada angin. Sekiranya seseorang itu dehidrasi, najis mereka akan menjadi kering dan keras.

2. Hindari Minuman Berkarbonat

air berkarbonat menyebabkan kembung perut semasa mengandung

Minuman berkarbonat atau bergas juga boleh menjadi punca kepada kembung perut semasa mengandung.

Gas karbon dioksida yang terdapat dalam minuman berkarbonat seperti cola atau soda, minuman tenaga berkarbonat dan minuman tonik boleh menyebabkan kembung perut.

Kebiasaannya, gas ini disingkirkan melalui sendawa, namun ada juga yang masih terperangkap dan menyebabkan kembung perut.

3. Elakkan Minuman atau Makanan Yang Mempunyai Gula Ini

Fruktosa

Fruktosa ialah gula semulajadi yang boleh dijumpai dalam kebanyakan buah-buahan. Kebanyakan pengilang menambah fruktosa dalam minuman dan pemanis mulut.

Namun, sesetengah orang tidak boleh mencerna gula ini. Hal ini akan menyebabkan gula tersebut terfermentasi dalam usus besar dan menyebabkan angin dan kembung.

Sorbitol

Sorbitol ialah pengganti gula rendah kalori. Badan kita tidak boleh mencerna gula ini. Sesetengah orang akan mengalami kembung, angin dan sakit perut.

Erythritol

Erythritol juga adalah pengganti gula yang rendah kalori. Gula ini turut boleh menyebabkan angin atau kembung kerana badan tidak dapat menghadamnya.

Cara mencegah daripada masalah ini ialah jangan mengambil gula ini secara berlebihan.

4. Banyakkan Makan Makanan Berserat

Makanan berserat membawa air ke dalam usus, melembutkan najis dan memudahkan pembuangan air besar.

Tambahkan makanan yang tinggi serat dalam diet harian anda secara beransur-ansur bagi mengurangkan masalah kembung atau angin ini.

5. Buat Catatan Tentang Makanan

Membuat catatan mengenai makanan yang boleh dimakan dan sepatutnya dielakkan juga adalah satu langkah yang baik.

Ketika mengandung, si ibu harus menfokuskan kepada makanan yang berkhasiat bagi memastikan dirinya dan bayi dalam kandungan mendapat serat yang mencukupi.

Namun, sesetengah makanan yang berkhasiat juga turut mempunyai sejenis karbohidrat kompleks yang dikenali sebagai FODMAP (fermentable oligo-, di-, mono-saccharides and polyols).

FODMAP ini boleh menyebabkan masalah kembung perut dan masalah penghadaman. Walau bagaimanapun, tidak semua orang sensitif kepada FODMAP ini.

Antara makanan FODMAP ialah:

  • Susu
  • Kebanyakan kekacang
  • Gandum
  • Barli
  • Xylitol
  • Sayur kubis
  • Asparagus

Membuat catatan atau diari tentang makanan yang menyumbang kepada kembung perut dapat membantu anda mengatasi dan mencari alternatif lain untuk kekal sihat.

6. Bersenam

Kajian terhadap 49 individu dewasa yang sihat mendapati aktiviti fizikal yang sederhana dan tinggi dapat menambahbaik masa transit kolon dalam kalangan wanita.

Masa transit kolon ialah masa yang diambil oleh najis melalui usus besar.

7. Pakai Pakaian Yang Longgar

Pakaian seperti seluar yang ketat dibahagian pinggang boleh menyebabkan tekanan di bahagian perut.

Keadaan ini boleh meningkatkan penghasilan angin yang menyebabkan kembung perut.

Kesimpulan

Secara ringkasnya, terdapat beberapa faktor yang boleh menyumbang kepada masalah kembung perut semasa mengandung. Minuman dan makanan adalah dua faktor utama yang harus diberi perhatian untuk mengelakkan masalah ini.

Gaya hidup yang aktif dan pemakaian yang sesuai turut boleh membantu mengurangkan risiko mendapat masalah kembung perut ini.

Write A Comment