Rawatan

Probiotik Untuk Mencegah dan Merawat Cirit-birit

Pinterest LinkedIn Tumblr

Cirit-birit atau diarea menjadi satu masalah yang sinonim dalam kehidupan harian kita. Kita akan mencari-cari ubat yang terbaik untuk merawat cirit-birit ini. Probiotik ada penyelesaiannya.

Cirit-birit adalah masalah sistem pencernaan yang disebabkan oleh (1):

  • jangkitan kuman
  • alahan makanan
  • ubat-ubatan
  • pengawet makanan
  • pemakanan kimia

Probiotik ialah mikroorganisma baik yang mempunyai banyak manfaat kesihatan.

merawat cirit-birit

Bagaimana probiotik boleh mencegah dan merawat cirit-birit?

Sebenarnya dalam usus kita telah ada bakteria yang dikategorikan sebagai probiotik ini. Bakteria ini memainkan peranan penting seperti mengekalkan kesihatan sistem penghadaman sertamelindungi badan daripada jangkitan dan penyakit (2).

Bakteria dalam usus ini (atau dikenali sebagai mikrobiota) boleh terkesan oleh pelbagai faktor. Contohnya, akibat diet pemakanan, stres dan ubat-ubatan.

Kesannya, berlaku ketidakseimbangan jumlah atau populasi bakteria ini dan membawa kepada risiko sindrom usus rengsa dan masalah penghadaman seperti cirit-birit (3, 4)

Mengambil makanan tambahan mengandungi probiotik boleh mengembalikan keseimbangan populasi mikrobiota ini dan dapat mencegah berlakunya cirit-birit.

Cirit-birit akut kebiasaannya berlaku dibawah 14 hari manakala cirit-birit yang berulang-ulang boleh berlaku lebih daripada 14 hari (5).

Jenis-jenis cirit-birit yang boleh dirawat dengan probiotik

Cirit-birit boleh disebabkan oleh banyak faktor. Kebanyakan cirit-birit memberikan tindak balas yang baik terhadap pengambilan probiotik. Antaranya ialah

a) Cirit-birit akibat jangkitan kuman

Cirit-birit jenis ini kebiasaannya disebabkan oleh jangkitan seperti bakteria, parasit atau virus. E.coli, Rotavirus dan Salmonella adalah antara ejen jangkitan yang selalu menyebabkan cirit-birit (5).

b) Cirit-birit akibat antibiotik

Salah satu kesan sampingan pengambilan antibiotik ialah cirit-birit. Ini disebabkan oleh berlakunya gangguan populasi bakteria dalam usus yang disebabkan oleh ubat antibiotik ini.

Kajian mendapati pengambilan probiotik untuk merawat cirit-birit akibat antibiotik ini menunjukkan keberkesanannya (6).

c) Cirit-birit dalam kalangan kanak-kanak dan bayi

Dalam satu ulasan kajian terhadap lebih 5000 bayi dibawah usia 37 minggu mendapati pengambilan probiotik boleh mengurangkan penyakit NEC dan mengurangkan kadar kematian bayi akibatnya (7).

NEC (necrotizing enterocolitis) ialah satu penyakit pada usus yang menyebabkan keradangan yang merosakkan sel-sel usus dan kolon (8).

Kajian terhadap kanak-kanak berumur 1 hingga 18 tahun pula menunjukkan probiotik dapat mengurangkan cirit-birit berkaitan antibiotik (9).

Probiotik yang sesuai untuk merawat cirit-birit

Terdapat beratus-ratus jenis probiotik, namun kajian menunjukkan pengambilan probiotik daripada jenis-jenis ini lebih bermanfaat untuk merawat cirit-birit.

  1. Lactobacillus rhamnosus GG: Kajian menunjukkan probiotik ini antara yang paling efektif untuk merawat cirit-birit terhadap kanak-kanak dan orang dewasa (10, 11).
  2. Saccharomyces boulardii: S.boulardii ialah probiotik dari jenis yis yang digunakan dalam makanan tambahan probiotik. Ia didapati boleh merawat cirit-birit yang disebabkan oleh jangkitan atau yang berkaitan dengan antibiotik (10, 12).
  3. Bifidobacterium lactis: Probiotik ini boleh melindungi usus dan mengurangkan kekerapan cirit-birit dalam kalangan kanak-kanak (13).
  4. Lactobacillus casei: Probiotik ini juga didapati baik untuk merawat cirit-birit akibat antibiotik dan jangkitan dalam kalangan kanak-kanak dan orang dewasa (14).

Walaupun banyak lagi probiotik yang lain, namun senarai ini adalah antara jenis-jenis probiotik yang banyak disokong oleh kajian.

Peringatan

Secara umumnya, probiotik adalah selamat untuk diminum atau dimakan dalam kalangan kanak-kanak dan juga orang dewasa.

Terdapat juga segelintir individu yang mendapat kesan sampingan dari pengambilan probiotik ini.

Kesimpulan

Kajian telah menunjukkan probiotik berkesan dalam merawat cirit-birit yang disebabkan beberapa jenis punca.

Probiotik seperti Lactobacillus rhamnosus GG, Saccharomyces boulardii, Bifidobacterium lactis dan Lactobacillus casei didapati berkesan merawat masalah ini.

Selain suplemen atau makanan tambahan, probiotik ini juga mudah untuk didapati dalam minuman yogurt di pasaran.

Write A Comment