Penyakit Tibi (TB) atau nama penuhnya Tuberkulosis ialah penyakit berjangkit yang menyerang paru-paru manusia. Penyakit ini menjadi pembunuh kepada 1.5 juta penduduk dunia pada tahun 2018 (WHO).

Di Malaysia, penyakit ini merekodkan kedua tertinggi bagi penyakit berjangkit.

Penyakit TB turut dikenali sebagai batuk kering. Penyakit ini boleh membawa maut sekiranya tidak dirawat. Namun, sekiranya dirawat penyakit ini boleh disembuhkan.

Apakah Punca Penyakit TB?

Penyakit Tuberkulosis (TB) adalah disebabkan oleh bakteria Mycobacterium tuberculosis.

Jangkitan kuman TB berlaku apabila seseorang itu tersedut udara yang mengandungi kuman TB apabila seseorang pesakit TB menghembus keluar titisan air (bersin atau bercakap) yang mengandungi kuman TB.

Mereka yang menghidap TB boleh menjangkiti orang lain melalui (1):

  • bersin
  • batuk
  • bercakap
  • menyanyi

Bagi individu yang mempunyai sistem imun yang berfungsi dengan baik, kemungkinan besar mereka tidak akan mengalami gejala TB walaupun mereka dijangkiti dengan bakteria ini.

Keadaan ini dikenali sebagai jangkitan TB tidak aktif atau terpendam.

Apakah Tanda-tanda Jangkitan TB?

Bagi sesetengah jangkitan bakteria TB yang tidak aktif dan terpendam, TB jenis ini akan kekal tidak aktif untuk beberapa tahun sebelum membentuk penyakit TB yang aktif.

Penyakit tibi yang aktif akan menunjukkan beberapa tanda atau gejala yang kebiasaannya melibatkan sistem pernafasan.

Tanda-tanda atau gejala penyakit tibi adalah (2):

  • Demam
  • Batuk melebihi 2 minggu
  • Berpeluh pada waktu malam
  • Kahak berdarah
  • Sakit dada apabila batuk atau tarik nafas panjang
  • Cepat letih atau lemah badan
  • Hilang selera makan
  • Turun berat badan

Selain menjangkiti paru-paru, penyakit ini turut boleh menjangkiti organ-organ lain seperti buah pinggang, tulang belakang, tulang sum-sum dan otak.

Tanda dan gejala akan berbeza-beza mengikut bahagian organ mana yang dijangkiti. Sebagai contoh, tuberkulosis pada buah pinggang akan menyebabkan kencing berdarah.

Penyakit ini boleh membawa kematian sekiranya pesakit yang dijangkiti tidak mengambil serius akan penyakit ini dan tidak menjalani rawatan yang ditetapkan.

penyakit tb
Sumber: Kementerian Kesihatan Malaysia.

Rawatan Penyakit TB

Pesakit yang dipercayai mempunyai tanda-tanda jangkitan TB akan didiagnosa melalui beberapa kaedah seperti ujian kulit, ujian darah, sinaran x-ray pada dada dan beberapa ujian lain.

Rawatan untuk penyakit ini adalah selama 6 bulan (minimum). Pada 2 bulan pertama adalah fasa intensif dan 4 bulan berikutnya adalah fasa sambungan.

Kedua-dua fasa ini memerlukan rawatan dibawah pengawasan dimana setiap pengambilan ubat TB adalah dibawah penyeliaan dan perlu direkodkan.

Bagi tempoh rawatan TB pada tulang pula memerlukan tempoh rawatan dari 8 bulan sehingga 9 bulan. Manakala TB pada otak pula memerlukan tempoh rawatan sehingga setahun.

Pesakit mesti menjalani rawatan sehingga sempurna atau selesai. Sekiranya pesakit mengingkari jadual atau rejim rawatan yang telah ditetapkan, besar kemungkinan kuman TB ini akan menghasilkan daya tahan terhadap ubat yang diberikan.

Maka, pesakit memerlukan ubat yang lebih kuat dan masa rawatan yang lebih lama untuk pulih.

Sekiranya pesakit terus ingkar dan mengelak dari jadual rawatan, pesakit mungkin akan mati akibat penyakit TB ini atau menjadi sumber jangkitan kuman Tuberkulosis ini dalam kalangan ahli keluarga.

Kebiasaanya doktor akan menetapkan beberapa jenis ubat untuk pesakit TB yang aktif, antaranya ialah (3):

  • isoniazid
  • ethambutol
  • pyrazinamide
  • rifampicin
  • rifapentine

Ubat-ubatan ini mempunyai kesan sampingan kepada pemakannya, jadi bagi pesakit yang mengambil ubat TB ini harus peka terhadap gejala kecederaan hati seperti (4):

  • hilang selera makan
  • air kencing berwarna kuning gelap
  • demam lebih tiga hari
  • muntah atau loya yang teruk
  • kulit dan mata menjadi kuning
  • sakit perut yang teruk
  • mengantuk
  • keliru
  • sakit di bahagian atas kanan perut

Maklumkan segera kepada doktor sekiranya anda mengalami mana-mana gejala di atas.

Write A Comment