Rawatan

10 Cara Merawat Telinga Berdesing (Tinitus)

Pinterest LinkedIn Tumblr

Telinga anda selalu berbunyi berdesing atau berdengung? Mungkin keadaan ini menganggu kehidupan harian anda. Kali ini kami kongsikan beberapa cara untuk merawat telinga berdesing.

Telinga berdesing atau dalam bahasa perubatannya dikenali sebagai tinitus. Mereka yang mengalami tinitus akan mendengar bunyi berdesing, berdengung, berdesir, klik dan mengaum.

Tinitus bukanlah penyakit. Tinitus adalah simptom yang memberitahu terdapat masalah berkaitan sistem pendengaran anda.

Tinitus dirawat dengan cara membetulkan persepsi bunyi dalam kepala. Tinitus boleh bersifat sementara atau kekal, tidak teruk atau teruk dan boleh berlaku secara beransur-ansur atau tiba-tiba.

Merawat telinga berdesing atau tinitus ini akan menghentikan persepsi bunyi dalam kepala dan menambah baik kualiti hidup.

Rawatan Telinga Berdesing

1. Alat bantu dengar

Telinga berdesing boleh menjadi salah satu petanda kepada hilang pendengaran atau pekak.

Apabila hilang pendengaran, otak akan mengalami perubahan dalam memproses frekuensi bunyi.

Oleh itu, alat bantu dengar ini akan membantu memulihkan perubahan neuroplastik dalam otak untuk memproses bunyi.

merawat telinga berdesing menggunakan alat bantu dengar

2. Peranti samaran bunyi

Peranti ini dipakaikan di telinga dan menyediakan bunyi yang menenangkan yang dapat melemahkan atau menindih bunyi akibat tinitus .

Peranti ini boleh memainkan bunyi putih, bunyi merah jambu, bunyi alam semulajadi, muzik dan bunyi ambien.

Dalam satu kajian oleh University of Auckland, New Zealand mendapati samaran bunyi ini paling berkesan apabila menggunakan bunyi gelombang luas seperti bunyi putih dan bunyi merah jambu.

3. Mesin bunyi khas

Mesin bunyi khas ini direka khusus untuk menangani tinitus individu tersebut. Mesin ini selalunya dipakai berselang seli dan anda akan merasakan kesan yang lebih baik dan berpanjangan terhadap kekuatan bunyi berdesing dan sebagainya itu.

Kajian pada 2017 mendapati mesin bunyi khas ini dapat mengurangkan bunyi akibat tinitus ini berbanding mesin yang tidak direka khas.

4. Ubat antidepresi

Ubat antidepresi atau kemurungan seperti amitriptyline dan nortriptyline kadang kala diberikan oleh doktor untuk merawat tinitus yang teruk.

Walaupun ubat ini mempunyai kesan positif terhadap tinitus, penggunaannya mempunyai kesan sampingan yang agak teruk seperti kering mulut, sembelit, masalah hati dan kabur penglihatan.

5. Terapi kelakuan

Tinitus juga boleh berlaku akibat tekanan emosi seperti kemurungan, keresahan dan insomnia.

Terapi kelakuan ialah sejenis terapi yang melibatkan perbualan yang membantu penghidap tinitus untuk belajar hidup dengan keadaan mereka ini. Matlamat terapi ini adalah untuk meningkatkan kualiti hidup penghidap tinitus.

6. Rawat punca sebenar

Walaupun kebanyakkan telinga berdesing ini disebabkan oleh kehilangan pendengaran. Namun, ia juga boleh disebabkan faktor-faktor lain.

Tinitus boleh menjadi gejala kepada masalah sendi temporomandibel. Tinitus yang disebabkan oleh masalah sendi ini, anda mungkin perlu menjalani prosedur untuk penjajaran semula rahang anda.

Tahi telinga juga boleh menjadi penyebab kepada tinitus (bagi kes yang ringan). Membuang tahi telinga boleh mengurangkan atau menghilangkan masalah ini.

Rawatan Dirumah atau Cara Hidup

7. Hindari makanan dan minuman tertentu

Sesetengah orang yang mengalami tinitus mendapati makanan dan minuman seperti garam, arak, aspirin dan minuman berkafein memburukkan lagi keadaan.

8. Berhenti merokok

Merokok boleh memburukkan lagi tinitus dalam dua cara.

Pertama, merokok akan merosakkan aliran darah ke sel-sel sensitif yang mengawal pendengaran anda.

Kedua, rokok akan bertindak sebagai perangsang dalam badan anda. Ini akan membuatkan deringan di telinga anda kedengaran lebih kuat.

9. Bersenam

Bersenam 3 atau 5 kali seminggu dapat mengurangkan masalah seperti tinitus.

Bersenam dapat mengurangkan tekanan, meningkatkan kualiti dan masa tidur dan mengelakkan tekanan.

10. Lindungi telinga

Bunyi yang kuat dan bising adalah antara penyebab kepada tinitus. Ia juga boleh memburukkan lagi gejala ini.

Lindungi telinga anda ketika berada di tempat-tempat yang bising boleh melindungi diri anda.

Pakai pelindung telinga ketika melakukan kerja-kerja yang menggunakan alatan berenjin seperti mesin pemotong rumput, mesin peniup daun atau berada di bilik enjin.

Kurangkan kelantangan suara atau bunyi (kepada kurang dari 60%) ketika menggunakan fon kepala atau fon telinga.

Pakai pelindung telinga ketika berada di konsert atau acara yang mempunyai bunyi yang kuat.

Rawatan alternatif

Terdapat beberapa rawatan alternatif untuk merawat telinga berdesing. Antaranya ialah:

  • Makanan tambahan (suplemen) zink
  • Vitamin B
  • Akupunktur
  • Ginko biloba
  • Melatonin
  • Hipnosis

Write A Comment