Rawatan

Cara Merawat Rambut Gugur Untuk Lelaki dan Wanita

Pinterest LinkedIn Tumblr

Rambut gugur adalah fenomena biasa yang berlaku kepada setiap individu. Dianggarkan seorang manusia keguguran rambut sebanyak 100 helai sehari.

Keadaan ini tidak akan menyebabkan botak kerana dalam masa yang sama, rambut baru akan tumbuh.

Rambut manusia tumbuh sebanyak 1cm setiap bulan dan tumbuh mengikut 3 fasa kitaran iaitu fasa pertumbuhan, fasa segenerasi separa dan fasa rehat. Fasa rehat ialah fasa terakhir dimana rambut akan gugur selepas itu.

merawat rambut gugur

Punca Rambut Gugur

Masalah rambut gugur akan mula berlaku apabila kitaran pertumbuhan rambut dan penanggalan rambut ini terganggu. Masalah ini turut boleh berlaku sekiranya folikel rambut musnah.

Beberapa faktor yang mungkin menjadi penyebab kepada masalah keguguran rambut adalah seperti berikut (1, 2):

1. Keturunan

Keturunan adalah punca utama kepada masalah botak mengikut corak bagi lelaki dan wanita (alopecia androgenik).

Masalah ini selalunya berlaku selari dengan penuaan dan dalam corak yang dapat dijangka.

Botak mengikut corak bagi lelaki boleh berlaku seawal usia 20-an. Botak mengikut corak bagi wanita pula dapat dilihat apabila rambut menjadi semakin nipis diseluruh kepala terutamanya di bahagian atas kepala.

2. Perubahan hormon

Perubahan hormon semasa mengandung, melahirkan anak, menopaus (putus haid) dan penyakit kelenjar tiroid juga boleh menyebabkan keguguran rambut sama ada kekal atau bersifat sementara.

3. Terlampau tertekan (stres)

Seseorang itu mungkin akan mengalami keguguran rambut setelah beberapa bulan mengalami kejutan emosi atau fizikal.

Rambut akan berhenti tumbuh dan memasuki fasa rehat. Namun, masalah ini bersifat sementara.

4. Kesan sampingan ubat-ubatan

Rambut gugur juga boleh disebabkan oleh kesan sampingan sesetengah ubat. Pesakit yang mengambil ubat darah tinggi, ubat kemurungan, ubat gout, ubat kanser dan ubat artritis berpotensi mendapat masalah ini.

5. Alopecia Areata

Penyakit auto imun yang menyebabkan liang rambut dimusnahkan oleh sel pesakit sendiri. Keadaan ini boleh menyebabkan tompok-tompok botak, botak diseluruh kepala atau botak diseluruh badan (bulu-bulu turut gugur).

6. Trichotillomania

Trichotillomania adalah masalah psikologi yang mendorong individu tersebut menarik rambutnya sendiri.

Masalah ini dikaitkan dengan kemurungan dan selalunya berlaku dalam kalangan remaja perempuan berbanding lelaki.

Rawatan Rambut Gugur Untuk Lelaki dan Wanita

Sesetengah individu daripada kaum lelaki mungkin tidak kisah untuk botak. Bahkan, ada yang memilih penampilan tanpa rambut ini. Oleh itu, botak mungkin bukan satu masalah yang besar bagi sesetengah lelaki.

Manakala bagi wanita, masalah rambut gugur mungkin boleh menganggu emosi serta mengurangkan keyakinan diri mereka. Oleh itu, wanita akan memandang masalah ini dengan lebih serius.

Terdapat beberapa rawatan atau ubat yang boleh digunakan untuk merawat rambut gugur untuk lelaki dan wanita. Antaranya ialah (3, 4):

1. Minoxidil

Minoxidil turut dikenali sebagai Rogaine adalah ubat belian kaunter (boleh didapati di kedai ubat atau farmasi) yang boleh digunakan untuk lelaki dan wanita untuk mengatasi masalah rambut gugur.

Ubat Minoxidil (Rogaine) untuk lelaki

Ubat Minoxidil (Rogaine) untuk wanita

Ubat ini boleh didapati dalam bentuk cecair atau buih (foam). Digunakan dengan menyapunya di kulit kepala setiap hari.

Pada mulanya ubat ini mungkin akan menyebabkan rambut gugur. Kemudian, rambut baru akan tumbuh tetapi mungkin lebih pendek dan nipis berbanding rambut sebelumnya.

Ubat ini juga harus digunakan selama 6 bulan atau lebih untuk mencegah rambut gugur dan mengalakkan pertumbuhan baru.

Kesan sampingan yang mungkin berlaku termasuklah iritasi pada kulit kepala, rambut atau bulu tumbuh di bahagian lain seperti tangan, dagu atau dahi. Kadang-kala rambut yang baru tumbuh mungkin berlainan warna dan tekstur daripada rambut asal.

2. Makanan Tambahan (Suplemen) Zat Besi

Kekurangan zat besi mungkin menjadi penyebab kepada rambut gugur bagi sesetengah wanita.

Oleh itu, dapatkan rawatan daripada doktor untuk menjalani ujian kadar zat besi dalam darah.

Sekiranya anda seorang vegetarian, pernah atau mengalami anemia atau mengalami pendarahan haid yang kuat, anda mungkin mengalami kekurangan zat besi.

Pengambilan makanan tambahan zat besi boleh menghentikan keguguran rambut.

3. Pembedahan Pemindahan Rambut

Pemindahan rambut adalah rawatan yang biasa bagi masalah rambut gugur yang kekal seperti botak mengikut corak akibat keturunan ( alopecia androgenik ).

Kaedah lama pembedahan melibatkan pengambilan satu jalur kulit kepala dan ditampal di bahagian yang botak.

Namun, pada pertengahan tahun 1990-an, kaedah baru telah digunakan yang diberi nama pemindahan unit folikel (follicular unit transplantation).

Kaedah ini melibatkan pengambilan satu jalur kulit kepala dan dibahagikan kepada ratusan cebisan kulit kecil yang setiap satunya mengandungi beberapa rambut.

Setiap cebisan ini ditanam dalam celahan kulit yang dihasilkan menggunakan pisau atau jarum di kawasan rambut yang hilang.

Rambut akan tumbuh secara semulajadi melalui kaedah ini dan akan kelihatan lebih baik.

4. Ubat atau Rawatan Lain

Terdapat juga beberapa rawatan lain seperti ubat Finasteride, Spironolactone, Tretinoin, suntikan Corticosteroid, krim Anthralin, terapi Platelet-rich plasma (PRP) dan terapi laser.

Walau bagaimanapun, rawatan-rawatan ini mempunyai kesan sampingan yang agak serius dan bergantung kepada penerimaan individu.

Petua atau Rawatan Dirumah untuk Rambut Gugur

Selain rawatan klinikal dan berasaskan ubat, terdapat juga petua-petua atau amalan yang menggunakan bahan semulajadi untuk merawat rambut gugur.

Selain kurang atau tiada kesan sampingan, petua atau rawatan dirumah ini juga mudah untuk diamalkan disamping bersifat mencegah.

Antara rawatan dirumah yang boleh diamalkan adalah:

1. Menggunakan Aloe Vera

Aloe Vera adalah antara tumbuhan yang mempunyai banyak kegunaan.

Aloe Vera boleh mengurangkan kelemumur dan membebaskan folikel rambut daripada tersumbat dengan minyak yang berlebihan.

Selain mengandungi vitamin A,C dan E yang mengalakkan pertumbuhan sel yang sihat, Aloe Vera juga mengandungi vitamin B-12 dan asid folik. Dua komponen ini boleh membantu mencegah rambut gugur (5, 6).

Anda boleh menyapu gel Aloe Vera yang asli atau produk yang hampir 100% daripada gel Aloe Vera ke kulit kepala beberapa kali seminggu.

Boleh juga menggunakan syampu yang mengandungi Aloe Vera.

aloe vera merawat rambut gugur

2. Menggunakan Minyak Kelapa

Minyak kelapa boleh digunakan untuk mengurangkan kehilangan protein pada rambut (7).

Selain itu, minyak kelapa juga berupaya menghalang kerosakan rambut akibat sinaran UV (8).

Minyak kelapa ini boleh digunakan dengan menyapu di rambut dan kulit kepala. Boleh digunakan dengan membiarkan semalaman atau membilasnya setelah beberapa jam menggunakannya.

3. Minyak Pati Rosemary

Minyak pati Rosemary mempunyai sifat antiseptik yang tinggi yang boleh merawat kulit kepala daripada jangkitan dan kelemumur.

Minyak pati Rosemary didapati mempunyai keupayaan yang sama seperti ubat Minoxodil 2% dalam merawat botak mengikut corak, bahkan dapat mengurangkan gatal kulit kepala berbanding ubat Minoxodil (9).

Gunakan kira-kira 5 titis minyak ini. Sapu dan urut di kulit kepala secara rata selepas mandi. Anda boleh memilih untuk membilas atau membiarkan minyak ini dikepala. Sekiranya anda ingin membilasnya, pastikan biarkan minyak ini dikepala sekitar 5 hingga 10 minit.

4. Makan Suplemen Ginseng

Mengambil makanan tambahan (suplemen) daripada Ginseng boleh mengalakkan pertumbuhan rambut.

Ginsenosides adalah sebatian bioaktif dalam Ginseng yang dipercayai bertanggungjawab mengalakkan pertumbuhan rambut (10, 11).

5. Jus Bawang

Sekiranya anda tahan kepada baunya, anda boleh menggunakan jus bawang untuk pertumbuhan rambut.

Jus bawang telah didapati berjaya merawat masalah Alopecia areata dalam satu kajian selama 2 bulan (12).

Jus bawang ini boleh digunakan dengan menyapunya dikulit kepala serta rambut dan biarkan selama 15 minit. Kemudian, bersihkan dengan syampu seperti biasa.

6. Suplemen Viviscal

Makanan tambahan atau suplemen seperti Viviscal juga boleh membantu pertumbuhan rambut terutamanya kepada mereka yang mengalami masalah rambut menipis (13).

Viviscal ialah makanan tambahan yang diperbuat daripada protein marin seperti campuran serbuk ikan jerung dan moluska.

7. Mengurut Kulit Kepala

Mengurut kulit kepala juga boleh membantu memulihkan pertumbuhan rambut.

Mengurut kulit kepala dikatakan dapat meningkatkan ketebalan rambut dan lapisan papila dermis (14).

Selain itu, mengurut kulit kepala juga dapat menghasilkan kesan yang menenangkan, meningkatkan pengaliran darah dan melembutkan kulit.

Bolehkah Rambut Gugur Ini Dicegah?

Pencegahan rambut gugur bergantung kepada puncanya. Sekiranya, rambut gugur atau botak akibat keturunan. Maka, masalah ini tidak boleh dicegah.

Bagi kes-kes lain, beberapa langkah yang boleh diambil untuk mencegah rambut gugur:

  • Sikat dan basuh rambut dengan lembut. Elakkan menarik dengan kasar.
  • Elakkan gaya rambut yang ketat.
  • Hindari ubat dan makanan tambahan yang boleh menyebabkan rambut gugur.
  • Hindari daripada menarik dan memintal rambut.
  • Berhenti merokok.
  • Jika anda menjalani rawatan kemoterapi, minta pemakaian ‘cooling cap‘ bagi mengurangkan rambut gugur.

Write A Comment