Mata merah dan gatal boleh dikatakan pernah dialami oleh kebanyakan orang dalam dunia ini. Mata merah berlaku apabila salur-salur darah dipermukaan mata berkembang dan menyebabkan bahagian putih mata menjadi kemerahan atau merah jambu.

Keadaan mata merah dan gatal ini boleh disebabkan oleh banyak perkara. Contohnya seperti tercucuk mata, selalu bersengkang mata atau memandu terlalu lama. Faktor-faktor ini adalah perkara biasa dan tidak perlu dibimbangkan kerana ia akan pulih dengan sendirinya.

Walau bagaimanapun, terdapat faktor lain yang boleh menyebabkan mata merah ini. Ada yang berkaitan dengan kesihatan mata anda.

Di sini kami kongsikan beberapa faktor yang menyebabkan masalah ini.

mata merah dan gatal

Punca & Simptom Mata Merah dan Gatal

Mata merah dan gatal boleh disebabkan oleh beberapa punca. Mengetahui punca sebenar atau yang tepat adalah penting bagi mendapatkan rawatan yang betul. Beberapa punca yang boleh menyebabkan mata merah adalah seperti berikut:

1. Alahan mata

Alahan mata turut dikenali sebagai “alahan konjunktivitis.” Seperti alahan yang lain, alahan ini disebabkan tindak balas sistem imun badan terhadap alergen seperti debunga, hama habuk, kulat, minyak wangi atau kelemumur haiwan peliharaan.

Simptom: Beberapa simptom yang boleh dilihat sebaik mata kita bersentuh dengan alergen atau selepas beberapa hari (1):

  • Mata merah
  • Gatal
  • Hidung berair
  • Sensitif kepada cahaya
  • Kelopak mata bengkak

2. Jangkitan mata & konjunktivitis

Jangkitan mata boleh disebabkan oleh banyak faktor. Contohnya seperti jangkitan virus, bakteria atapun fungus.

Simptom: Terdapat beberapa simptom yang boleh dikaitkan dengan mata merah dan gatal akibat jangkitan. Antaranya ialah (2):

  • Mata merah
  • Gatal pada mata
  • Mata berair
  • Rasa berpasir dalam mata
  • Sensitif kepada cahaya
  • Lelehan tebal atau pekat (jangkitan bakteria)
  • Lelahan seperti mukus (jangkitan virus)

Konjunktivitis atau turut dipanggil “pink eye” adalah keradangan pada membran halus yang menutupi bola mata dan lapisan kelopak mata. Konjunktivitis boleh disebabkan virus, bakteria atau alahan.

Konjunktivitis akibat virus dan bakteria boleh berjangkit. Manakala konjunktivitis akibat bakteria pula boleh menyebabkan kerosakan serius kepada mata sekiranya tidak dirawat.

Simptom:

  • Mata berair dan gatal (konjunktivitis akibat virus).
  • Sensitif kepada cahaya (konjunktivitis akibat virus).
  • Lelehan melekit berwarna kuning, kuning kehijauan keluar dari hujung mata (konjunktivitis akibat bakteria).
  • Mata berair, gatal-gatal dan rasa terbakar (konjunktivitis alahan)
  • Hidung berair dan tersumbat (konjunktivitis alahan ).
  • Sensitif kepada cahaya (konjunktivitis alahan ).

3. Mata kering

Air mata berperanan mengekalkan mata agar terus lembap dan segar. Namun, dalam sesetengah kes mata berhenti menghasilkan air mata yang mencukupi menyebabkan mata kering dan gatal.

Keadaan ini boleh disebabkan faktor usia dan boleh juga disebabkan kesan sampingan oleh ubat-ubatan seperti ubat antikemurungan, ubat untuk merendahkan tekanan darah, pil perancang dan dekongestan.

Faktor cuaca seperti cuaca berangin dan kering boleh menyebabkan mata mudah kering dan gatal.

Simptom:

  • Mata kering dan gatal.
  • Rasa berpasir dalam mata.
  • Mata keletihan.
  • Penglihatan kabur sekali-sekala.

4. Blefaritis

Blefaritis (blepharitis) adalah keradangan yang berlaku di kelopak mata. Keradangan ini boleh menyebabkan mata merah dan gatal. Keradangan ini berlaku apabila pundi minyak di dasar bulu mata tersumbat.

Simptom: Mata merah, gatal-gatal, mata berair dan bengkak.

5. Pemakaian kanta lekap

Memakai kanta lekap (contact lens) terlalu lama atau gagal untuk mengantikannya secara kerap boleh menyebabkan mata merah dan gatal.

Sekiranya anda memakai kanta lekap, pastikan membukanya pada waktu tidur dan amalkan langkah-langkah penjagaannya.

Rawatan Mata Merah dan Gatal

Mata merah dan gatal boleh disebabkan oleh banyak punca. Bagi mereka yang mengalami masalah ini, mereka perlu jumpa doktor untuk tahu punca sebenar yang menyebabkan masalah tersebut.

Setelah punca sebenar diketahui, barulah rawatan yang sesuai boleh disarankan oleh doktor.

1. Merawat alahan mata

Beberapa ubat-ubatan yang digunakan untuk alahan hidung boleh digunakan untuk merawat alahan mata. Selain itu, pil antihistamin dan ubat titis mata juga boleh digunakan untuk merawat alahan ini.

Kebanyakan ubat untuk alahan mata ini memerlukan ubat yang dipreskripsi. Oleh itu, anda harus mendapatkan rawatan daripada doktor terlebih dahulu.

2. Rawatan jangkitan mata & konjunktivitis

Jangkitan akibat virus kebiasaannya boleh hilang dengan sendirinya. Tetapi, menekap dengan kain sejuk dan melembapkan mata boleh membantu mengurangkan gejala-gejala.

Jangkitan disebabkan oleh fungus atau parasit pula memerlukan rawatan khusus mengikut penyebab jangkitan. Dapatkan rawatan daripada doktor untuk mendapat rawatan yang betul.

Rawatan untuk jangkitan akibat bakteria boleh menggunakan ubat titis mata jenis antibiotik.

3. Rawatan mata kering

Rawatan mata kering boleh menggunakan ubat air mata tiruan belian kaunter. Sekiranya anda mengalami mata kering yang kronik atau serius, sila dapatkan rawatan daripada doktor.

4. Blefaritis

Blefaritis yang serius boleh membawa kepada masalah konjunktivitis atau komplikasi yang lain.

Bagi kes-kes biasa, blefaritis boleh dirawat menggunakan ubat antiradang dan antibiotik.

Dapatkan rawatan daripada doktor bertauliah sekiranya sakit mata merah anda serius dan berulang-ulang.

Write A Comment