Kolesterol ialah sejenis lipid iaitu bahan seperti lemak dan berlilin yang boleh dijumpai dalam darah kita. Kolesterol tinggi pula merujuk kepada tahap kolesterol dalam darah yang berlebihan.

Badan kita memerlukan kolesterol untuk membina sel-sel yang sihat tetapi kadar kolesterol yang tinggi boleh meningkatkan risiko penyakit jantung.

Kolesterol yang tinggi akan menyebabkan pengumpulan lemak dalam saluran darah. Sekiranya longgokan lemak ini semakin banyak, ia akan menyukarkan aliran darah yang mencukupi melalui arteri anda.

Kadang kala, longgokan ini boleh menyumbat arteri seterusnya membawa kepada serangan jantung dan strok.

Kolesterol ialah sebatian yang tidak larut dalam air, maka kolesterol tidak dapat bergerak dengan sendirinya di dalam darah.

Oleh itu, hati akan menghasilkan protein yang melekat bersama-sama kolesterol untuk bergerak dalam darah. Gabungan protein dan kolesterol ini dikenali sebagai lipoprotein.

Terdapat dua jenis lipoprotein yang utama iaitu low density lipoprotein (LDL) dan high density lipoprotein (HDL).

kolesterol tinggi
Kredit imej: health.clevelandclinic.org

Kolsterol LDL atau Kolesterol Jahat

Low-density lipoprotein (LDL) turut dipanggil “kolesterol jahat.” Sekiranya kolesterol LDL ini terlalu tinggi, ia boleh menyebabkan arteri kita sempit dan mengehadkan pengaliran darah dan boleh meningkatkan risiko darah beku.

Sekiranya darah beku menyumbat arteri-arteri di jantung dan otak, ia boleh menyebabkan serangan jantung dan strok.

Kolesterol HDL atau Kolesterol Baik

Kolesterol HDL turut dipanggil “kolesterol baik.” Kolesterol ini menolong membalikkan lebihan kolesterol kembali ke hati untuk disingkirkan dari badan.

Trigliserida

Trigliserida ialah sejenis lipid yang lain. Trigliserida berbeza daripada kolesterol. Trigliserida digunakan oleh badan sebagai sumber tenaga.

Lebihan makanan (kalori) yang dimakan yang tidak digunakan oleh badan akan ditukar menjadi trigliserida. Trigliserida ini akan disimpan dalam sel-sel lemak.

Lipoprotein turut digunakan untuk mengangkut trigliserida melalui saluran darah.

Sekiranya anda kerap makan secara berlebihan, kadar trigliserida ini juga akan truut tinggi. Ini akan meningkatkan risiko strok dan sakit jantung.

Tanda atau Simptom Kolesterol Tinggi

Kolesterol tinggi tidak mempunyai tanda atau simptom.

Ujian darah ialah satu-satunya cara untuk mengetahui sama ada anda mempunyai kolesterol tinggi atau tidak.

Faktor Menyumbang Kepada Kolesterol Tinggi

Terdapat beberapa faktor yang menyumbang kepada peningkatan kolesterol jahat. Antaranya ialah (1):

  • Pemakanan yang buruk
  • Obesiti (kegemukan)
  • Kurang bersenam
  • Merokok
  • Penyakit kencing manis
  • Umur tua

Komplikasi

Kolesterol tinggi boleh menyebabkan longgokan kolesterol atau longgokan lain pada dinding arteri. Longgokan (plak) ini akan mengurangkan aliran darah melalui arteri seterusnya menyebabkan komplikasi seperti berikut (1):

  • Sakit dada: Sekiranya arteri-arteri yang membekalkan darah ke jantung terkesan, anda mungkin akan mengalami simptom seperti sakit dada atau simptom penyakit koronari arteri.
  • Serangan jantung: Sekiranya darah beku berlaku di kawasan longgokan (plak), ia akan menyebabkan aliran darah terhalang dan aliran darah akan berhenti ke jantung. Ini akan menyebabkan serangan jantung.
  • Strok: Sama seperti serangan jantung, strok terjadi apabila darah beku menghalang aliran darah ke otak.

Rawatan

Rawatan bagi mereka yang menghidap kolesterol tinggi ialah ubat yang dikenali sebagai statins.

Statins akan menghalang hati daripada menghasilkan kolesterol yang lebih.

Selain itu, doktor mungkin akan memberikan ubat lain seperti:

  • Niacin
  • Ubat penghalang penyerapan kolesterol
  • Bile acid resins

Langkah Pencegahan

Beberapa langkh pencegahan boleh diambil melalui perubahan terhadap gaya hidup kita. Untuk mencegah kolesterol tinggi, anda boleh melakukan aktiviti atau langkah seperti berikut:

  • Kurangkan makan makanan masin atau tinggi kandungan garam
  • Banyakkan makan sayur-sayuran dan bijirin
  • Hadkan pengambilan lemak daripada haiwan
  • Guna lemak sihat pada kadar sederhana
  • Kurangkan berat badan
  • Berhenti merokok
  • Bersenam
  • Berhenti minum arak atau minuman keras
  • Uruskan stres (tekanan)

Write A Comment