Rawatan

Perbezaan Antara Kolesterol HDL dan LDL

Pinterest LinkedIn Tumblr

Kolesterol sering kali dianggap tidak baik oleh kita. Namun, sebenarnya kolesterol masih diperlukan oleh badan untuk menghasilkan hormon, vitamin D dan juga membantu dalam penghadaman. Terdapat 2 jenis kolesterol yang utama iaitu kolesterol HDL dan LDL.

Kolesterol HDL ialah ringkasan daripada High Density Lipoprotein (HDL) manakala kolesterol LDL pula merujuk kepada Low Density Lipoprotein (LDL). Lipoprotein adalah gabungan antara lemak (lipid) dan protein.

Lipoprotein ini yang bertanggungjawab membawa kolesterol ke seluruh badan kita melalui saluran darah.

Kolesterol HDL vs Kolesterol LDL

Kolesterol HDL juga dikenali sebagai kolesterol ‘baik’. Ini kerana kolesterol jenis ini membawa kolesterol ke hati untuk disingkirkan. Dengan kata lain, kolesterol HDL ini membantu menyingkirkan lebihan kolesterol yang tidak diperlukan oleh badan.

Kolesterol LDL pula dikenali sebagai kolesterol ‘jahat’. Ini kerana kolesterol jenis ini membawa kolesterol ke arteri (salur darah yang membawa darah keluar dari jantung ke seluruh badan). Keadaan ini boleh menyebabkan kolesterol yang dibawa ini terkumpul di dinding arteri. Apabila terlalu banyak kolesterol terkumpul di dinding arteri, akhirnya ia menyebabkan plak yang dikenali sebagai aterosklerosis.

Aterosklerosis ini boleh menyebabkan darah tersumbat di arteri, akibatnya ia boleh membawa kepada serangan jantung dan strok.

Plak yang terbentuk ini juga boleh mengurangkan pengaliran darah dan oksigen ke organ-organ penting dalam badan kita. Kekurangan oksigen ke organ-organ penting ini akan menyebabkan penyakit buah pinggang atau penyakit.

Berapa Nilai atau Bacaan Kolesterol Yang Baik?

Untuk mengetahui sama ada seseorang itu mempunyai paras kolesterol yang baik atau tinggi, ujian darah harus dijalankan. Ujian ini akan mengukur kolesterol dalam unit miligram per deciliter darah (mg/dL).

Terdapat beberapa parameter yang diuji dan kebiasaannya keputusan ujian akan mengandungi bacaan atau nilai bagi:

  • Jumlah Kolesterol (Total Cholesterol): Ini termasuklah nilai bagi HDL, LDL dan 20% daripada jumlah trigliserida (triglycerides).
  • Trigliserida: Nilai ini harus berada di bawah 150 mg/dL. Trigliserida ialah sejenis lemak, sekiranya trigliserida dan kolesterol LDL tinggi serta kolesterol HDL rendah, maka anda mempunyai risiko yang tinggi untuk menghidap aterosklerosis.
  • Kolesterol HDL: Semakin tinggi nilai HDL ini adalah semakin baik. HDL sepatutnya sekurang-kurangnya 55 mg/dL bagi wanita dan 45 mg/dL bagi lelaki.
  • Kolesterol LDL: Semakin rendah nilai ini semakin baik. Nilai bagi LDL ini tidak seharusnya melebihi 130 mg/dL sekiranya anda tidak mempunyai sebarang penyakit seperti penyakit jantung, diabetes dan juga penyakit salur darah. Sekiranya anda menghidap penyakit-penyakit ini dan mempunyai kolesterol yang tinggi, nilai LDL harus berada di bawah 100 mg/dL.
kolesterol HDL dan LDL
Jadual pengelasan paras kolesterol HDL dan LDL

Penyebab Kolesterol LDL Tinggi

Terdapat beberapa punca dan sebab yang menyebabkan paras kolesterol tinggi. Antaranya adalah disebabkan oleh:

  • Kegemukan (obesiti).
  • Pemakanan yang tinggi lemak seperti lemak tepu (saturated fat), lemak trans (trans fat), makanan diproses, daging merah atau produk tenusu penuh lemak (full-fat dairy).
  • Kurang bersenam.
  • Genetik (keturunan).
  • Peminum arak tegar.
  • Merokok.
  • Mempunyai penyakit diabetes.
  • Mempunyai penyakit hati.

Bagaimana Merendahkan Kolesterol yang Tinggi?

Pemakanan dan cara hidup memainkan peranan penting untuk merendahkan kolesterol LDL yang tinggi.

Amalkan pemakanan yang rendah lemak dan tinggi dengan serat. Lakukan senaman atau aktiviti fizikal sekerap yang mungkin disamping mengawal berat badan yang ideal.

Jangan merokok kerana merokok boleh menurunkan paras kolesterol HDL.

Sekiranya kolesterol LDL ini tinggi disebabkan faktor genetik, rawatan perubatan mungkin diperlukan.

Rawatan melalui ubat kolesterol juga mungkin diperlukan bagi sesetengah golongan untuk merendahkan paras kolesterol.

Makanan yang boleh membantu mengurangkan kolesterol LDL dan meningkatkan kolesterol HDL

Makanan yang tingi serat dan berfokuskan sayur-sayuran boleh membantu merendahkan kadar kolesterol LDL dan jumlah kolesterol serta meningkatkan kolesterol HDL.

Beberapa cadangan makanan yang boleh diamalkan adalah seperti berikut:

  1. Sayur-sayuran berdaun hijau seperti bayam, kubis, kailan, dan salad.
  2. Kekacang yang tidak diletakkan garam.
  3. Oatmil.
  4. Avokado.
  5. Terung.
  6. Ikan yang dibakar atau digril.
  7. Makanan yang mengandungi bijiran penuh.
  8. Daging merah pejal (tidak mempunyai lemak atau peratusan lemak yang sedikit).
  9. Minyak zaitun.

Kesimpulan

Secara ringkasnya, kolesterol LDL ialah kolesterol jahat yang harus diperangi bagi mengelakkan sebarang implikasi kesihatan kepada kita.

Manakala, kita harus sentiasa mencuba meningkatkan kadar kolesterol HDL bagi menjamin kesihatan diri.

Gaya hidup dan pemakanan sihat memberi impak yang besar untuk mencegah dan mengubati masalah kolesterol tinggi.

Rujukan

1 Comment

Write A Comment