Rawatan

Kegunaan Aloe Vera Yang Boleh Anda Manfaatkan

Pinterest LinkedIn Tumblr

Kemaskini Terakhir Pada

Aloe Vera adalah tumbuhan yang mempunyai banyak kegunaan dan khasiat. Kegunaan aloe vera sebenarnya bukan terhad kepada kesihatan dan kecantikan sahaja. Banyak lagi kegunaan dan khasiat tumbuhan ini yang mungkin kita tidak tahu. Jom kita terokai kegunaan dan khasiat Aloe Vera!

Aloe vera ini telah digunakan dalam perubatan sejak beribu tahun dahulu. Penggunaannya telah direkodkan dalam budaya India, Mesir, Greek, Rom dan China (1).

Kini tumbuhan ini telah ditanam di negara-negara tropika di seluruh dunia.

Para pengkaji mula merungkai kegunaan-kegunaan aloe vera yang lain yang boleh dimanfaatkan sepenuhnya.

Berikut adalah beberapa kegunaan dan khasiat Aloe Vera yang boleh dimanfaatkan oleh kita.

1. Penjagaan kulit

Aloe Vera boleh melembapkan kulit dan melambatkan penuaan kulit.

Dalam satu kajian terhadap 30 orang wanita yang berumur lebih daripada 45 tahun. Pengambilan Aloe Vera menunjukkan peningkatan penghasilan kolagen dan meningkatkan keanjalan kulit (2).

Satu kajian klinikal mendapati pengambilan serbuk gel Aloe Vera yang mengandungi sterol Aloe dapat mengurangkan kedutan pada muka secara signifikan berdasarkan kajian terhadap wanita Jepun yang berusia 40 tahun ke atas (13).

Dapatkan gel Aloe Vera online

kegunaan aloe vera

2. Merawat Penyakit Pencernaan

Penyakit refluks gastroesofagus ialah penyakit pencernaan kronik yang melibatkan pengaliran balik kandungan gastro ke esofagus.

Kajian pada 2010 mendapati pengambilan 28 hingga 85 gram gel Aloe Vera semasa makan boleh mengurangkan penyakit refluks gastroesofagus yang boleh mengakibatkan pedih ulu hati (3).

Satu kajian klinikal mendapati pengambilan sirap Aloe Vera sebanyak 10 mililiter sehari selama 4 minggu dapat mengurangkan gejala-gejala penyakit refluks gastroesofagus. Antaranya termasuklah pedih ulu hati, regurgitasi makanan, loya, kesukaran untuk menelan, kembung, sendawa dan regurgitasi asid (11).

3. Mempercepatkan penyembuhan luka

Aloe Vera juga popular dengan keupayaannya menyembuhkan luka.

Kajian yang dijalankan pada tahun 2018 mendapati penggunaan Aloe Vera untuk penyembuhan luka menunjukkan kesan positif. Aloe Vera mempercepatkan penyembuhan luka dengan pertambahan dan migrasi sel tisu penghubung dan keratinosit (4).

Lendir pada Aloe Vera juga mengandungi sebatian seperti vitamin E, vitamin C dan beberapa asid amino yang memainkan peranan penting dalam mempercepatkan penyembuhan luka (9).

Satu kajian klinikal mendapati penggunaan gel Aloe Vera adalah berkesan untuk pemulihan luka pembedahan Caesarean selepas 24 jam pembedahan berbanding kumpulan kawalan (12).

4. Boleh mengekalkan kesegaran makanan

Makanan segar seperti buah-buahan dan sayur-sayuran antara bahan makanan yang kesegaranya tidak bertahan lama.

Kajian yang diterbitkan oleh Cambridge University Press menunjukkan penyalutan ekstrak cecair Aloe Vera kepada tomato dapat mengekalkan kualiti tomato tersebut dan melambat masak atau matang. Ekstrak Aloe Vera ini juga menghalang tumbesaran fungus (5).

Kesan sama juga didapati terhadap kajian terhadap buah oren. Buah oren yang disalut oleh Aloe Vera boleh tahan lima minggu lebih lama (6).

5. Boleh digunakan sebagai pencuci mulut

Pereputan gigi dan jangkitan pada gusi adalah masalah kesihatan yang biasa didengar.

Salah satu cara bagi mencegah masalah ini ialah dengan mengurangkan pembentukan plak gigi.

Kajian yang dijalankan oleh pengkaji dari India mendapati ekstrak Aloe Vera adalah selamat dan berkesan digunakan sebagai pencuci mulut kerana keupayaannya untuk mengurangkan plak gigi (7).

Satu kajian lain turut mendapati keberkesanan Aloe Vera sebagai pencuci mulut atau pengkumur mulut yang boleh mengurangkan plak gigi dan gusi berdarah (10).

6. Merendahkan gula dalam darah

Masalah kandungan gula yang tinggi dalam darah sering dikaitkan dengan penyakit kencing manis atau diabetes.

Beberapa kajian mendapati Aloe Vera mempunyai kesan antidiabetes yang dapat menurunkan kadar gula dalam darah.

Menurut kajian yang dijalankan oleh Mahidol University, pesakit kencing manis yang diberikan sesudu makan jus Aloe Vera 2 kali sehari selama 2 minggu menunjukkan penurunan gula dalam darah dan trigliserida (8).

Kajian makmal yang dijalankan terhadap haiwan terubah genetik mendapati polisakarida Aloe Vera adalah sebatian yang bertanggungjawab menurunkan kadar gula dalam darah (14).

7. Berpotensi dalam perawatan kanser

Aloe Vera mengandungi sebatian aktif seperti aloesin dan aloe-emodin yang berperanan dalam memerangi kanser.

Kajian makmal terhadap sel-sel kanser payudara dan serviks mendapati bahan aktif Aloe Vera iaitu aloe-emodin berkesan sebagai agen antikanser yang menghalang perebakan tekanan pengoksidaan dan membunuh sel-sel kanser (15, 16, 17).

Selain itu, kajian lain mendapati aloesin dalam Aloe Vera juga menghalang tumbesaran tumor dalam kajian makmal terhadap kanser ovari (18).

Walau bagaimanapun, khasiat Aloe Vera dalam mencegah kanser ini memerlukan banyak lagi kajian klinikal untuk mengesahkan keberkesanannya terhadap manusia.

8. Menghalang jangkitan bakteria atau virus

Aloe Vera juga turut menunjukkan aktiviti antibakteria dan antivirus.

Beberapa kajian makmal yang dijalankan terhadap aktiviti antibakteria Aloe Vera mendapati tumbuhan ini boleh menghalang bakteria jenis Staphylococcus aureus, Actinobacillus actinomycetemcomitans, Clostridium bacilli , Streptcoccus mutans dan Pseudomonas aeruginosa (19, 20, 21).

Bakteria-bakteria ini terlibat dalam pelbagai jangkitan dan penyakit terhadap manusia seperti jangkitan pada kulit, pneumonia, periodontitis, kaviti gigi dan jangkitan pada luka.

Aloe Vera juga didapati boleh mencegah tumbesaran virus herpes simplex jenis 1 (HSV-1) dan virus influenza A berdasarkan kajian-kajian makmal (22, 23).

Kajian-kajian ini menunjukkan potensi yang besar Aloe Vera untuk digunakan dalam perubatan dalam melawan jangkitan bakteria dan serangan virus.

9. Baik untuk rambut

Aloe Vera juga berguna untuk menguatkan rambut dan membuatkan kulit kepala lebih sihat.

Asid lemak yang dijumpai dalam Aloe Vera mempunyai ciri-ciri antiradang yang dapat membantu keradangan pada kulit kepala akibat daripada masalah kelemumur (24).

Selain mengandungi vitamin A,C dan E yang mengalakkan pertumbuhan sel yang sihat, Aloe Vera juga mengandungi vitamin B-12 dan asid folik. Dua komponen ini boleh membantu mencegah rambut gugur (25).

Kesimpulan

Sebenarnya banyak khasiat dan kegunaan Aloe Vera yang boleh dimanfaatkan oleh kita. Sekarang ini juga, banyak produk-produk kesihatan seperti gel Aloe Vera yang telah memanfaatkan kelebihan yang ada pada tumbuhan ini.

Write A Comment