Rawatan

Kanser Prostat: Gejala, Punca, Rawatan dan Pencegahan

Pinterest LinkedIn Tumblr

Kanser prostat ialah kanser atau ketumbuhan yang bermula dari dalam prostat. Prostat ialah kelenjar sebesar kacang “walnut” yang terletak di belakang dasar penis, di depan rektum dan dibawah pundi kencing.

Kelenjar ini dikelilingi oleh uretra iaitu saluran yang membawa air kencing dan air mani melalui zakar. Kanser ini adalah kanser yang paling kerap berlaku kepada kaum lelaki.

Terdapat situasi yang mana kanser ini tumbuh dengan perlahan dan mungkin memerlukan rawatan minima atau tidak memerlukan rawatan.

Terdapat juga situasi yang mana kanser ini tumbuh dan merebak dengan cepat.

Sekiranya kanser ini dapat dikenalpasti pada peringkat awal, peluang untuk sembuh melalui rawatan adalah tinggi.

Gejala atau Simptom Kanser Prostat

Pada peringkat awal, kanser prostat tidak menunjukkan sebarang gejala atau simptom.

Tetapi, apabila kanser ini sudah sedikit merebak, beberapa gejala boleh dikesan atau dirasai. Antaranya ialah (1, 2, 3):

  • Sukar untuk kencing
  • Darah dalam air mani atau air kencing
  • Kekuatan pancutan air kencing berkurangan
  • Ketidakselesaan di kawasan pelvik
  • Sakit tulang
  • Mati pucuk
  • Hilang kawalan terhadap pembuangan air kecil
  • Sakit atau tidak selesa semasa duduk
  • Kerap kencing terutamanya pada waktu malam
  • Sakit semasa ejakulasi

Tanda-tanda Awal

Gejala-gejala di atas boleh menjadi petanda pertama kepada kanser ini. Namun, gejala yang melibatkan air kencing adalah antara yang paling biasa terjadi pada peringkat awal.

Tidak dinafikan juga, gejala-gejala ini boleh juga disebabkan oleh keadaan lain yang bukannya kanser. Keadaan ini dikenali sebagai benign prostatic hyperplasia (BPH) (4).

BPH ialah keadaan pembesaran kelenjar prostat yang boleh mengganggu pengaliran air kencing akibat sekatan pada uretra.

Pengesanan Peringkat Awal

Pemeriksaan pada peringkat awal tanpa kewujudan sebarang simptom boleh dilakukan. Lelaki yang berumur 55 tahun ke atas disarankan menjalani ujian saringan atau pemeriksaan.

Beberapa kaedah ujian saringan yang boleh didapati adalah:

  1. Digital rectal exam (DRE) : Doktor akan memakai sarung tangan getah dan memasukkan jari ke dalam dubur (rektum) anda untuk memeriksa prostat, yang terletak bersebelahan dengan rektum. Sekiranya ada masalah atau keabnormalan, ujian lanjut harus dijalankan.
  2. Ujian Prostate-specific antigen (PSA): Darah diambil dan diuji untuk mengetahui kandungan PSA dalam darah. PSA ialah bahan yang dihasilkan oleh kelenjar prostat dan kebiasaannya sejumlah kecil PSA berada dalam salur darah. Sekiranya jumlah PSA ini terlalu banyak berbanding normal, ia menunjukkan kemungkinan berlaku jangkitan, keradangan, pembesaran atau kanser pada prostat.

Gabungan dua kaedah ini boleh membantu mengenalpasti kanser prostat pada peringkat awal. Namun, masih ada perdebatan mengenainya.

kanser prostat
Sumber imej: Centers for Disease Control and Prevention (cdc.gov)

Punca-punca Kanser Prostat

Secara jelasnya, punca sebenar yang menyebabkan kanser ini tidak diketahui.

Apa yang diketahui adalah kanser prostat ini bermula dengan sesetengah sel dalam prostat menjadi tidak normal.

Kesannya, sel-sel ini bermutasi dan membesar dengan cepat berbanding kadar biasa. Sel-sel yang abnormal ini akan berkumpul membentuk tumor yang seterusnya menjangkiti tisu-tisu terdekat.

Terdapat beberapa faktor yang meningkatkan risiko untuk seseorang itu menghidap kanser ini. Antaranya ialah:

Faktor risiko

Beberapa faktor yang boleh meningkatkan risiko mendapat kanser ini ialah:

  • Usia: risiko kanser ini meningkat dengan peningkatan usia terutamanya selepas umur 50 tahun.
  • Sejarah keluarga (keturunan): risiko adalah lebih tinggi jika ahli keluarga lelaki ada yang pernah mendapat kanser ini.
  • Hormon: Hormon testosteron yang tinggi mungkin mempercepatkan pembentukan kanser ini.
  • Obesiti: Lelaki yang obes dan menghidap kanser ini lebih terdedah untuk menghidap penyakit lain yang sukar untuk dirawat.

Diagnosis (Mengenal pasti Penyakit)

Sekiranya ujian saringan menunjukkan keganjilan atau keabnormalan, doktor akan menyerankan ujian seterusnya ujian memastikan sama ada anda betul-betul mempunyai kanser prostat atau tidak.

Beberapa ujian yang mungkin dijalankan adalah:

  1. Transrectal Ultrasound (TRUS): Doktor memasukkan alat gelombang bunyi ke dalam dubur dan gambar diambil.
  2. Biopsy: Biopsi ialah pengambilan sedikit tisu prostat untuk pemeriksaan di bawah mikroskop.
  3. Computed Tomography (CT atau CAT) Scan: Imbasan ini akan membentuk imej 3 dimensi (3D) badan dengan menggunakan sinar-X.
  4. Magnetic Resonance Imaging (MRI): MRI menggunakan medan magnet untuk menghasilkan imej lengkap badan.

Berdasarkan dapatan terbaru National Institutes of Health, gabungan ujian biopsy sistematik dan biopsy-MRI bersasar boleh meningkatkan keberkesanan diagnosis kepada kanser ini.

Tahap kanser prostat

Tahap atau peringkat kanser prostat terbahagi kepada 4 iaitu (3):

  • Tahap 1: Kanser yang melibatkan kurang 5% kelenjar prostat
  • Tahap 2: Kanser yang melibatkan lebih 5% kelenjar prostat
  • Tahap 3: Kanser yang melibatkan sarung prostat
  • Tahap 4: Kanser yang melibatkan organ sekeliling seperti pundi kencing atau dubur, nodus limfa pelvik dan bahagian tulang.

Rawatan Kanser Prostat

Rawatan kanser prostat akan bergantung kepada beberapa perkara seperti sebanyak mana kanser ini telah merebak, sepantas mana kanser ini merebak, kesihatan keseluruhan pesakit dan juga potensi kesan sampingan rawatan tersebut.

1. Pembedahan membuang prostat

Pembedahan membuang prostat melibatkan pembuangan kelenjar prostat, tisu-tisu disekelilingnya dan beberapa kelenjar limfa.

Pembedahan ini boleh dijalankan menggunakan kaedah pembedahan dengan bantuan robot atau pembedahan melalui kaedah potongan di bahagian abdomen (perut).

2. Terapi radiasi

Terapi jenis ini menggunakan sinaran bertenaga tinggi (seperti sinar-X) untuk membunuh sel-sel kanser.

Rawatan ini terbahagi kepada dua iaitu:

  • Terapi radiasi luaran: Terapi menggunakan sinaran atau radiasi daripada mesin.
  • Terapi radiasi dalaman (brachytherapy): Terapi yang menggunakan benih radioaktif yang diletakkan dalam tisu prostat. Benih ini akan menghasilkan radiasi pada dos yang rendah dalam jangka masa yang lama.

3. Terapi hormon

Terapi hormon ialah rawatan yang menghentikan penghasilan hormon testosteron (hormon lelaki) dalam badan. Sel-sel kanser prostat bergantung kepada hormon ini untuk membesar.

Oleh itu, dengan menghentikan bekalan hormon ini sel-sel kanser akan mati atau tumbuh dengan lebih perlahan.

4. Kemoterapi

Kemoterapi menggunakan ubat untuk membunuh sel-sel yang membesar dengan cepat termasukah sel-sel kanser.

Kemoterapi boleh menjadi pilihan rawatan kepada pesakit kanser prostat yang telah merebak ke bahagian badan yang lain.

5. Menyejukbeku tisu prostat

Kaedah ini dikenali sebagai Crysurgery atau Cryoablation.

Kaedah rawatan ini akan menyejukbeku tisu untuk membunuh sel-sel kanser.

6. Terapi biologi

Kaedah rawatan ini pula menggunakan sistem imun dalam badan untuk melawan sel-sel kanser.

Salah satu terapi biologi ini dipanggil Sipuleucel-T. Rawatan ini sangat mahal dan memerlukan beberapa kali rawatan.

Cara Mencegah Kanser Prostat

“Mencegah lebih baik dari mengubati.”

Kaum lelaki boleh mengurangkan risiko mendapat kanser ini melalui amalan dan gaya hidup yang sihat.

  • Amalkan pemakanan yang tinggi sayur-sayuran dan buah-buahan. Hindari makanan yang tinggi kandungan lemak. Banyakkan makan sayuran hijau, buah-buahan dan bijirin penuh.
  • Pilih makanan yang sihat berbanding makanan tambahan (suplemen). Tiada bukti yang menunjukkan makanan tambahan boleh mengurangkan risiko kanser prostat. Oleh itu, makan makanan yang sihat lebih baik dan dapat membekalkan keperluan nutrien-nutrien penting dalam badan.
  • Selalu bersenam. Bersenam dapat menyihatkan tubuh badan secara keseluruhannya.
  • Kekalkan berat badan yang sihat.

Bila Perlu Berjumpa Doktor

Dapatkan rawatan dan nasihat daripada doktor sekiranya anda mempunyai simptom atau gejala-gejala yang disebutkan di atas.

Risiko kanser ini meningkat selari dengan peningkatan usia. Oleh itu, sentiasa terbuka untuk menceritakan permasalah atau gejala-gejala yang anda hadapi dengan doktor anda.

Write A Comment