Rawatan

Jangkitan Yis Pada Faraj: Punca, Tanda-tanda Dan Rawatan

Pinterest LinkedIn Tumblr

Jangkitan yis pada faraj ialah jangkitan kulat atau fungus yang biasa berlaku di bahagian kemaluan. Jangkitan ini menyebabkan kegatalan, radang, iritasi dan lelehan faraj.

Jangkitan yis (kulat) pada faraj turut dipanggil vaginal Candidiasis atau vulvovaginal Candidiasis (VVC). Jangkitan ini kebiasaan berlaku kepada wanita tetapi boleh juga berlaku kepada zakar lelaki.

jangkitan yis pada faraj
Candida albicans
Kredit penulis: Vader1941 melalui English Wikipedia

Punca jangkitan yis pada faraj

Punca jangkitan yis pada faraj adalah dari kulat atau fungus jenis candida albicans.

Faraj wanita secara semulajadinya mempunyai campuran kandungan yis yang seimbang termasuklah candida dan bakteria. Bakteria seperti lactobacillus bertindak sebagai pencegah kepada pertumbuhan terlampau yis.

Namun, keseimbangan ini boleh terganggu dan menyebabkan pertumbuhan terlampau fungus candida atau penembusan fungus ke dalam lapisan-lapisan sel-sel faraj.

Pertumbuhan terlampau yis ini boleh berpunca daripada:

  • Mengandung
  • Penggunaan antibiotik
  • Kencing manis yang tidak terkawal
  • Sistem imunisasi yang terjejas
  • Terapi hormon yang menyebabkan peningkatan paras hormon estrogen

Tanda atau gejala jangkitan

Beberapa tanda atau gejala boleh dirasai sekiranya berlaku jangkitan ini. Antaranya ialah:

  • Kegatalan pada faraj
  • Kemerahan
  • Ruam
  • Bengkak disekeliling faraj
  • Sakit ketika melakukan hubungan seks
  • Rasa sakit
  • Rasa sakit ketika kencing atau seks
  • Lelehan berair dari faraj

Lelehan faraj yang berwarna putih yang kelihatan seperti cottage cheese adalah antara tanda lain yang boleh dikenalpasti.

Kebiasaannya, jangkitan ini akan bertambah teruk sekiranya di biarkan tidak dirawat dengan segera.

Rawatan

Rawatan kepada jangkitan ini bergantung kepada tahap kerumitannya.

Bagi jangkitan yang biasa hingga sederhana, rawatan yang biasa diberikan terbahagi kepada dua iaitu terapi faraj atau ubat-ubatan.

  • Terapi faraj jangka pendek: Pengambilan ubat antifungus selama 3 hingga 7 hari biasanya boleh menyembuhkan jangkitan ini. Antara ubatan yang biasanya digunakan ialah miconazole (Monistat 3) dan terconazole.
  • Ubat makan satu dos: Kebiasaannya, doktor akan menetapkan satu dos ubat fluconazole (Diflucan) untuk satu kali penggunaan. Ubat makan tidak digalakkan sekiranya anda mengandung.

Bagi kes yang lebih teruk atau anda kerap mendapat jangkitan ini, rawatan yang mungkin disarankan oleh doktor adalah seperti berikut:

  • Terapi faraj jangka panjang: Doktor mungkin akan menetapkan ubat antifungus untuk diambil secara harian selama 2 minggu, diikuti sekali seminggu selama 6 bulan.
  • Ubat makan pelbagai dos: Doktor mungkin akan menetapkan 2 atau 3 dos ubat antifungus untuk diambil secara makan.
  • Terapi kerintangan azole: Kapsul yang terdiri daripada asid borik mungkin disarankan. Kapsul ini dimasukkan ke dalam faraj untuk merawat kulat candida. Ubat boleh menyebabkan kematian sekiranya dimakan.

Rawatan Dirumah

Terdapat juga rawatan alternatif yang kadangkala boleh digunakan untuk merawat jangkitan yis ini.

Yogurt

Yogurt terutamanya yang asli dan kosong (tanpa campuran) yang mengandungi bakteria baik Lactobacillus boleh digunakan untuk merawat jangkitan pada faraj ini.

Yogurt ini boleh disapukan pada permukaan luar faraj atau di dalam faraj. Yogurt ini juga boleh diambil secara makan.

Satu kajian terhadap 129 orang pesakit jangkitan ini mendapati penggunaan madu lebah dan yogurt adalah rawatan yang berkesan untuk merawat jangkitan fungus ini (1).

Kajian lain turut menunjukkan kesan yang sama di mana yogurt dan madu lebah digunakan untuk merawat jangkitan yis ini. Campuran yogurt dan madu lebah ini menunjukkan kesan penyembuhan yang sama dengan ubat clotrimazole (2).

Adalah penting untuk pastikan yogurt yang digunakan adalah yogurt asli dimana tiada campuran bahan asing seperti gula. Gula boleh memburukkan keadaan kerana gula boleh menyebabkan yis (kulat) bertambah.

Pastikan juga tangan yang hendak digunakan untuk menyapu yogurt itu bersih.

Bila perlu berjumpa doktor?

Jangkitan yis pada faraj adalah masalah biasa dan boleh dirawat. Walau bagaimanapun, kemungkinan sukar untuk mengenal pasti masalah ini terutamanya pertama kali menghidapnya.

Oleh itu, adalah terbaik untuk berjumpa doktor dan mendapatkan nasihat dan rawatan daripada doktor.

Write A Comment