Adakah anda berpotensi untuk menghidap batu karang? atau didiagnos menghidap batu karang? Di sini kami kongsikan cara mencegah batu karang yang boleh diamalkan dirumah.

Batu karang adalah masalah kesihatan yang sering berlaku dalam kalangan orang lelaki. Batu karang ini boleh terbentuk dalam buah pinggang dan harus melalui salur kencing untuk keluar dari badan. Keadaan ini amat menyakitkan.

Apa itu batu karang?

Batu karang atau turut dipanggil kalkuli adalah mineral dan garam yang menghablur dalam buah pinggang dan membentuk ketulan keras.

Walaupun terbentuk di buah pinggang, batu karang boleh berada dimana-mana dalam saluran kencing.

Terdapat 4 jenis batu karang, namun selalunya 80% daripada batu karang adalah terdiri daripada kalsium oksalat (calcium oxalate). Jarang-jarang batu ini terbentuk daripada struvit (struvite), asid urik (uric acid) dan sisteina (cysteine) (1).

Semasa kecil, batu karang ini selalunya tidak membawa masalah. Namun apabila batu ini membesar, ia boleh menyebabkan saluran kencing tersumbat.

mencegah batu karang

Berikut ialah 7 cara yang boleh diamalkan bagi mencegah pembentukan batu karang:

1. Banyakkan minum air

Kekal terhidrat adalah salah satu cara untuk mencegah batu karang.

Minuman seperti air kosong, kopi, teh, dan jus oren dikaitkan dengan merendahkan risiko terbentuknya batu karang ini (2, 3, 4).

Sebaliknya, minuman bergas (berkarbonat) pula menyumbang kepada pembentukan batu karang. Termasuklah yang mengandungi gula dan gula tiruan (3).

Minuman ringan ini mengandungi fruktosa, gula yang diketahui meningkatkan pengumuhan kalsium, oksalat, dan asid urik. Ini akan meningkatkan risiko pembentukan batu karang (5 , 6).

2. Buah lemon dan limau nipis

Lemon dan limau nipis adalah sumber kepada asid organik iaitu asid sitrik (7).

Asid sitrik boleh mencegah batu karang akibat kalsium oksalat dalam dua cara iaitu:

  • Mencegah pembentukan batu: Asid ini akan mengikat kalsium dalam air kencing. Seterusnya mengurangkan risiko pembentukan batu karang yang baru (8).
  • Mencegah pembesaran batu: Asid ini juga boleh mengikat dengan kristal kalsium oksalat dan mencegah batu itu dari terus membesar (9).

Antara cara untuk dapatkan asid sitrik daripada buah ini ialah dengan mengambilnya secara segar atau ditambah dalam air tanpa gula.

3. Hadkan makanan tinggi oksalat

Oksalat atau asid oksalik ialah antinutrien yang boleh dijumpai dalam banyak sayur-sayuran hijau, buah-buahan dan koko (10).

Oksalat ini apabila bergabung dengan mineral lain seperti kalsium boleh membawa kepada pembentukan batu karang (11).

Walau bagaimanapun, makanan yang tinggi oksalat juga merupakan makanan yang berkhasiat. Oleh itu, diet yang rendah dengan sayur-sayuran berkhasiat ini adalah tidak disarankan.

Sebaliknya, hanya mereka yang didiagnos tinggi oksalat dalam air kencing mereka disarankan untuk mengamalkan diet rendah oksalat.

Dapatkan nasihat dari doktor sebelum berubah kepada diet rendah oksalat.

4. Dapatkan kalsium secukupnya

Terdapat salah yang beranggapan mengurangkan pengambilan kalsium boleh mengurangkan risiko pembentukan batu karang.

Namun sebenarnya, diet yang rendah kalsium meningkatkan risiko pembentukan batu karang (12, 13).

Kalsium daripada diet harian akan mengikat dengan oksalat, seterusnya mencegahnya daripada diserap. Maka, buah pinggang tidak perlu menyalurkan oksalat ini ke saluran kencing.

Kalsium boleh didapati daripada makanan seperti susu, keju, yogurt dan produk yang diperkaya dengan kalsium.

5. Jangan ambil vitamin C berlebihan

Makanan tambahan, vitamin C yang melebihi dos boleh meningkatkan kepekatan oksalat dalam air kencing kerana asid askorbik (vitamin C) juga boleh bertukar kepada oksalat dalam tubuh (14).

Oleh itu, pengambilan vitamin C daripada sumber makanan tambahan (suplemen) haruslah dibawah 1000mg sehari (16).

Harus diberi perhatian, vitamin C daripada sumber makanan seperti buah lemon atau oren tidak meningkatkan risiko pembentukan batu karang (15).

6. Tingkatkan pengambilan magnesium

Magnesium ialah mineral yang penting kepada tubuh badan yang sering tidak mencukupi dalam diet harian.

Terdapat juga kajian-kajian menunjukkan magnesium boleh membantu mencegah pembentukan batu karang (17, 18, 19).

Bagaimana ia bertindak tidak difahami sepenuhnya, namun terdapat cadangan yang menyatakan magnesium boleh mengurangkan penyerapan oksalat dalam usus (20, 21, 22).

Antara sumber yang baik kepada magnesium adalah avokado, mentega kacang, kacang gajus dan lain-lain lagi.

7. Kurangkan garam

Diet yang tinggi dengan garam juga meningkatkan risiko batu karang dalam sesetengah orang (23).

Pengambilan garam yang tinggi boleh meningkatkan pengumuhan kalsium melalui air kencing. Ini akan meningkatkan risiko pembentukan batu karang (24).

Rakyat Malaysia (orang dewasa) disarankan agar menghadkan pengambilan garam (sodium) sebanyak 2300 mg sehari sahaja.

Kesimpulan

Sekiranya anda mempunyai masalah batu karang atau berpotensi untuk mendapat masalah ini di hadapan bolehlah mengambil langkah pencegahan untuk mengurangkan risiko pembentukan batu karang.

Semoga senarai ini dapat membantu mereka yang mempunyai masalah atau berisiko menghidap batu karang.

Write A Comment