Rawatan

Cara Hilangkan Parut Jerawat (Rawatan Dirumah)

Pinterest LinkedIn Tumblr

Bagaimana nak hilangkan parut jerawat? Jom baca cara rawatan dirumah atau petua yang boleh dicuba untuk hilangkan parut jerawat. Parut jerawat adalah satu masalah yang boleh memberi impak kepada keyakinan diri seseorang. Oleh itu, kita akan cuba sedaya upaya untuk menghilangkannya.

Parut vs Bintik Hitam

Sebelum kita terus ke bahagian rawatan, harus difahami dahulu perbezaan antara parut jerawat dan bintik hitam akibat jerawat.

Parut jerawat tidak berlaku kepada semua orang. Parut jerawat kebiasaannya lebih dalam dan mengakibatkan kerosakan tisu kulit. Memicit jerawat boleh menyebabkan parut. Jadi, jangan picit jerawat!

Jerawat yang sederhana dan teruk juga boleh merosakkan kolagen dan lapisan elastin dalam lapisan kulit. Keadaan ini akan meninggalkan lekuk atau benjolan parut yang memerlukan rawatan khusus oleh pakar kulit.

Bintik hitam akibat jerawat pula ialah kesan yang ditinggalkan selepas proses penyembuhan akibat radang pada kulit seperti jerawat. Bintik hitam ini rata dan tidak lekuk atau timbul seperti parut jerawat.

Keradangan meningkatkan penghasilan pigmen seterusnya meninggalkan bintik hitam ini semasa proses pemulihan. Bintik hitam ini akan pudar atau hilang selari dengan masa. Kebiasaannya, bintik ini boleh hilang antara 3 bulan hingga 2 tahun (1).

Rawatan di rumah untuk parut jerawat

Terdapat banyak ubat yang boleh didapati dari farmasi, Watson atau Guardian yang boleh digunakan untuk merawat jerawat dan mencegah berlakunya parut jerawat.

Terdapat juga rawatan untuk hilangkan parut jerawat menggunakan bahan semula jadi. Antaranya ialah:

1. Aloe Vera

Aloe Vera sememangnya terkenal dalam merawat parut jerawat.

Selain melembap dan menenangkan, kandungan sebatian yang dikenali sebagai “aloesin” dapat mengurangkan hiperpigmentasi pada parut jerawat.

Selain itu, Aloe Vera juga boleh meningkatkan penghasilan kolagen dan serat elastin. Serat ini bertanggungjawab untuk membaiki kawasan parut (2).

Aloe Vera juga boleh mengurangkan radang yang boleh membawa kepada parut jerawat (3).

Aloe Vera ini boleh digunakan secara segar (gel yang diambil daripada patahan daun) atau yang telah dijadikan gel atau krim (pastikan produk aloe ini asli tanpa campuran bahan lain).

Cara penggunaan:

  1. Kikis gel daripada daun Aloe Vera menggunakan sudu atau secara patahan daun.
  2. Boleh juga menggunakan produk gel Aloe Vera yang dijual di pasaran.
  3. Sapukan gel tersebut terus ke kulit sebagai pelembap.
  4. Amalkan sebanyak 1-2 kali sehari atau mengikut keperluan.

2. Minyak kelapa

Minyak kelapa bermanfaat untuk merawat jerawat dan mencegah berlakunya parut jerawat.

Minyak kelapa terdiri daripada asid lemak rantaian sederhana (MCFAs). 50% asid lemak dalam minyak kelapa ialah asid laurik.

Asid laurik boleh membunuh bakteria berbahaya, virus dan kulat dalam badan kita. Asid ini didapati boleh membunuh bakteria jerawat, P. acnes (4).

Kajian juga menunjukkan minyak kelapa berkesan sebagai pelembap dan dapat merawat kulit serta mencegah daripada berlakunya parut (5, 6).

Walau bagaimanapun, penggunaan minyak kelapa tidak disarankan kepada mereka yang mempunyai masalah kulit berminyak kerana boleh menyebabkan jerawat makin teruk.

Cara penggunaan:

  1. Bersih dan keringkan muka.
  2. Sapukan satu lapisan nipis minyak kelapa pada kulit atau jerawat dan biarkan semalaman.
  3. Amalkan seminggu sekali atau mengikut keperluan.
  4. Atau ikuti arahan yang disediakan bersama-sama produk minyak kelapa ini.

*Pastikan produk minyak kelapa yang organik atau gunakan minyak kelapa dara.

3. Madu Asli

Madu asli juga boleh membantu hilangkan parut jerawat.

Madu asli sangat bermanfaat untuk masalah kulit seperti jerawat atau masalah autoimun seperti ekzema dan psoriasis.

Madu asli dapat membantu mengimbangi bakteria pada kulit. Madu manuka telah didapati boleh merawat jerawat kerana sifat-sifat antiradang, antibiotik dan penyembuh luka.

Bagi di Malaysia, madu tualang merupakan madu yang mempunyai ciri-ciri yang hampir sama dengan madu manuka malahan lebih baik dalam mengubati luka terbakar (7).

Cara penggunaan:

  1. Sapu madu asli ini dikawasan jerawat atau parut jerawat dan biarkan sehingga kering.
  2. Amalkan setiap hari.

*Peringatan: Sekiranya anda mempunyai alahan kepada debunga, saderi atau bisa lebah, anda tidak disarankan menggunakan madu lebah ini.

4. Cuka epal

Cuka epal ialah antara bahan yang terkenal dengan kebolehannya untuk melawan kulat dan bakteria (8, 9).

Cuka ini mengandungi asid organik yang dikenali sebagai asid succinic yang boleh mengurangkan radang akibat daripada P.acnes. Seterusnya mencegah terjadinya parut (10).

Cara penggunaan:

  1. Cairkan satu bahagian cuka epal dengan 3 bahagian air (bagi kulit sensitif).
  2. Selepas membersihkan muka, sapu campuran ini pada muka menggunakan kapas.
  3. Biarkan selama 5-20 saat dan bilas dengan air.
  4. Amalkan sebanyak 1-2 kali sehari.

5. Serbuk kayu manis

Kayu manis juga adalah salah satu bahan semulajadi yang popular dalam merawat jerawat dan hilangkan parut jerawat.

Kayu manis mempunyai ciri-ciri antibiotik atau antimikrob yang boleh mencegah dan membunuh bakteria penyebab jerawat iaitu Propionibacterium acnes dan Staphylococcus epidermidis. Keberkesanan kayu manis ini meningkat sekiranya digabungkan dengan madu (11).

Cara penggunaan:

  1. Campurkan 1 bahagian serbuk kayu manis dengan 2-3 bahagian madu untuk dijadikan pes.
  2. Sapukan dibahagian jerawat atau parut jerawat.
  3. Biarkan selama 10-15 minit.
  4. Kemudian, bilas dengan air suam (suam-suam kuku) dan keringkan muka dengan kain bersih.
hilangkan parut jerawat
Jerawat dan kulit berminyak
Kredit Penulis: Roshu Bangal melalui Wikimedia

Selain itu, terdapat juga ubat-ubat jerawat yang boleh merawat jerawat dan mengurangkan kesan parut jerawat.

6. Asid salisilik (Salicylic acid)

Asid salisilik ialah bahan semulajadi yang banyak digunakan dalam produk merawat jerawat.

Asid ini boleh membantu membersihkan kotoran, sel kulit, dan sebarang kotoran yang membawa kepada terjadinya jerawat (12).

Asid ini juga turut membantu mengurangkan bengkak dan kemerahan pada kawasan jerawat yang dapat mengurangkan kesan parut.

*Peringatan: mereka yang mempunyai kulit sensitif harus mencuba sedikit dahulu produk yang mengandungi asid ini sebelum menggunakan sepenuhnya kerana asid ini boleh menyebabkan kekeringan dan iritasi.

7. Retinoid

Retinoid topikal (sapuan) ialah krim, losyen atau gel yang mengandungi ubat yang dihasilkan daripada vitamin A.

Retinoid tropika ini dikatakan boleh menghalang keradangan, mengurangkan lesi jerawat, dan mempercepatkan penjanaan semula sel (13).

Retinoid juga boleh membantu mengurangkan atau memudarkan kesan bintik hitam akibat jerawat.

8. Alpha hydroxy acids

Alpha hydroxy acids seperti asid laktik boleh membantu menghilangkan sel kulit mati dan mencegah daripada liang roma tersumbat.

AHAs ialah bahan yang dapat menyingkirkan lapisan atas kulit untuk mendedahkan kulit yang baru dibawahnya. Proses ini boleh membantu mengurangkan parut yang berbeza warna (14).

Asid ini boleh merawat jerawat dan mengurangkan parut jerawat yang kelihatan.

Rawatan dirumah untuk bintik hitam

Walaupun bintik hitam boleh hilang dengan sendirinya, namun sesetengah orang mungkin tidak selesa dengan kehadiran bintik hitam diwajah mereka.

Berikut adalah beberapa rawatan atau bahan yang boleh digunakan untuk merawat bintik hitam:

1. Ekstrak Biji Anggur (Grapeseed extract)

Produk ekstrak biji anggur boleh dimanfaat untuk mencerah atau mengurangkan bintik hitam.

Walaupun tiada kajian khusus terhadap peranan ekstrak biji anggur ini. Satu kajian mendapati, pengambilan ekstrak biji anggur ini selama 6 bulan secara makan boleh memanfaatkan mereka yang mempunyai masalah kulit melasma yang sama seperti bintik hitam (15).

Ekstrak biji anggur ini boleh didapati dalam bentuk makanan tambahan (suplemen).

2. Aloe Vera

Aloe Vera sememangnya telah terkenal dalam masyarakat kita menjaga kulit dan mengurangkan parut. Aloe Vera juga turut dipercayai boleh mengurangkan kesan bintik hitam (hiperpigmentasi) akibat jerawat ini.

Kajian terhadap haiwan mendapati, penggunaan Aloe Vera yang konsisten dapat menstabilkan tahap melanin dalam sel (16).

3. Vitamin C

Buah oren atau lemon merupakan sumber yang baik untuk mendapatkan vitamin C.

Kajian menunjukkan vitamin C ialah ejen pembuang pigmentasi yang dapat mengurangkan penghasilan melanin (17).

Bila Perlu Berjumpa Doktor?

Sekiranya anda dapati kulit muka anda kerap kali membentuk parut jerawat atau bintik hitam, atau parut dan bintik hitam ini menganggu aktiviti harian. Tiba masanya untuk anda dapatkan nasihat atau rawatan daripada doktor atau pakar kulit.

Berjumpa dengan pakar kulit dapat memberikan rawatan yang bersesuaian dengan pH dan kesensitifan kulit anda.

1 Comment

Write A Comment