Rawatan

Cara Hilangkan Kulit Berminyak (Rawatan Dirumah)

Pinterest LinkedIn Tumblr

Masalah kulit berminyak atau kulit muka berminyak sering kali menghantui kebanyakan daripada kita. Masalah ini boleh berlaku kepada lelaki dan wanita. Artikel kali ini kami kongsikan cara hilangkan kulit berminyak menggunakan kaedah perawatan yang boleh dilakukan dirumah.

Kulit berminyak ini berlaku apabila penghasilan sebum secara berlebihan oleh kelenjar-kelenjar sebum. Kelenjar ini terletak dibawah permukaan kulit.

Sebum ini adalah bahan berminyak yang terdiri daripada lemak. Sebum ini sebenarnya berfungsi sebagai pelembap dan pelindung kulit daripada bakteria atau keradangan. Sebum juga membantu rambut kita kekal sihat dan berkilat.

Kesan daripada kulit yang berminyak membawa kepada pori-pori tersumbat dan membentuk jerawat.

Beberapa faktor yang meningkatkan penghasilan sebum adalah seperti berikut:

  • Perubahan hormon
  • Genetik
  • Tekanan (stress)
  • Kelembapan
cara hilangkan kulit berminyak

Terdapat beberapa petua atau rawatan dirumah yang boleh dilakukan untuk mengurangkan atau mengatasi masalah kulit berminyak.

1. Kerap Membersihkan Muka

Bagi mereka yang berhadapan dengan masalah ini, membasuh muka sekurang-kurangnya 2 kali sehari adalah perlu.

Bagi yang beragama Islam, berwuduk sebanyak 5 kali sehari itu juga adalah salah satu rawatan kepada kulit berminyak.

Walau bagaimanapun, elakkan menggunakan sabun atau pencuci yang kasar yang boleh menyebabkan kulit menjadi kering.

Begitu juga dengan kaedah mengelap muka, elakkan menggunakan kain yang kasar dan menggosok muka kerana geseran yang berlaku akan merangsang penghasilan sebum.

Sebaliknya, keringkan muka dengan menepuk-nepuk dengan lembut menggunakan kain yang lembut.

2. Menggunakan Kertas Lap

Kertas lap (blotting paper) juga boleh digunakan untuk mengurangkan minyak di bahagian muka.

Kertas ini tidak bertindak sebagai ubat yang boleh merawat kelenjar sebum daripada menghasilkan sebum secara berlebihan. Ia hanya membantu menyerap lebihan minyak dimuka seterusnya mengurangkan kilauan atau rasa melekit pada kulit muka.

Gunakan kertas ini dengan cara melekatkan pada kulit muka dan biarkan beberapa saat untuk kertas ini menyerap minyak yang berlebihan. Jangan mengosok muka dengan kertas ini kerana ia boleh menyebarkan minyak pada bahagian lain.

3. Menggunakan Produk Penjagaan Kulit yang “Oil Free” dan “Non-comodogenic

Pastikan anda menggunakan produk penjagaan kulit seperti pembersih (cleanser), pelembap (moisturizer) atau mekap yang mempunyai label bebas minyak (oil free) dan bukan komedogenik (non-comedogenic).

Ini kerana, produk penjagaan kulit yang bebas minyak dan bukan komedogenik tidak akan menyumbat liang-liang pori pada muka dan tidak menyebabkan jerawat.

4. Menggunakan Madu

Madu tidak asing lagi dalam dunia perubatan termasuklah dalam perubatan kulit dan kosmetik.

Madu asli mempunyai ciri-ciri antibakteria dan antiseptik yang mungkin berguna untuk kulit berminyak dan berjerawat.

Madu juga bersifat pelembap dan melegakan. Ini membolehkan kulit muka sentiasa lembap dan tidak berminyak.

Untuk menggunakannya, sapukan satu lapisan nipis madu asli di muka dan biarkan kering kira-kira 10 minit. Kemudian, bilas dengan air suam.

5. Menggunakan Aloe Vera

Aloe Vera juga boleh digunakan untuk merawat masalah kulit berminyak. Selain boleh melindungi kulit daripada sinaran UV, Aloe Vera juga bersifat pelembap, antiseptik dan antijerawat.

Gel Aloe Vera mudah untuk diserap membuatkan ia sesuai untuk kulit berminyak. Selain itu, Aloe Vera juga boleh membantu merawat kulit kering.

Untuk menggunakan Aloe Vera ini, sapukan satu lapisan nipis dimuka sebelum tidur dan bilas keesokkan paginya.

Harus diingat juga, Aloe Vera mempunyai tindak balas alahan terhadap mereka yang mempunyai kulit sensitif. Oleh itu, sebelum menggunakannya, cuba sedikit di bahagian lengan. Sekiranya tiada tindak balas dalam 24 hingga 48 jam, maka ia sepatutnya selamat digunakan.

6. Lempung Kosmetik (Cosmetic Clay)

Lempung kosmetik juga dikenali sebagai lempung penyembuh boleh digunakan untuk menyerap minyak pada kulit dan merawat masalah kulit yang lain. French green clay adalah produk yang popular digunakan untuk merawat kulit berminyak dan jerawat.

Cara untuk menggunakan lempung ini adalah seperti berikut:

  • Campurkan lempung (clay) kira-kira sebanyak sesudu teh bersama-sama air ditapis atau air mawar sehingga sebati (seperti tekstur puding).
  • Sapukan pada muka dan biarkan sehingga kering.
  • Tanggalkan lempung ini dengan air suam dan keringkan muka.

7. Tomato

Tomato juga sinonim dengan perawatan kulit muka. Tomato mengandungi asid salisilik yang berguna untuk merawat jerawat. Sifat astringen dalam tomato ini juga boleh membantu mengurangkan lebihan minyak pada kulit, membersihkan pori-pori yang tersumbat dan mengecutkan pori-pori.

Anda boleh menggunakan pulpa tomato,hirisan tomato atau scrub tomato pada kulit muka.

Cara membuat scrub tomato:

  • Campurkan pulpa tomato yang diambil daripada sebiji tomato dengan 1 sudu teh gula.
  • Sapukan pada muka dengan pergerakan membulat.
  • Biarkan lapisan topeng ini sekitar 5 minit.
  • Kemudian, bilas dengan air suam dan keringkan muka.

8. Petua-petua Lain

  • Gunakan pembersih muka berasaskan air. Jangan gunakan pembersih berasaskan minyak atau alkohol.
  • Pakai pelembap muka. Walaupun kulit muka anda berminyak, adalah masih penting untuk memakai pelembap muka bagi mengelakkan kulit kering.
  • Jangan tidur dengan mekap. Pastikan anda membersihkan mekap sebelum tidur.
  • Jangan sentuh muka dengan tangan yang kotor. Menyentuh muka dengan tangan yang kotor boleh menyebarkan kotoran, minyak dan bakteria daripada tangan ke muka.

Cara Pencegahan Kulit Berminyak

Beberapa langkah pencegahan atau amalan boleh dilakukan bagi mencegah dan mengurangkan kulit berminyak.

Kulit berminyak yang disebabkan oleh genetik dan hormon agak sukar untuk dicegah. Amalan penggunaan produk penjagaan kulit dan diet yang sihat mungkin boleh membantu. Elakkan makanan yang bergoreng, tinggi dengan gula dan makanan yang diproses.

Penggunaan produk solekan atau solekan yang tebal untuk menutup kulit yang berminyak adalah satu pilihan yang salah. Malah ia boleh memburukkan lagi keadaan. Cara yang betul adalah dengan mengurangkan penggunaan mekap terutamanya foundation. Bertukar kepada produk yang berasaskan air dan bukan komedogenik.

Rawatan dirumah ini mungkin mempunyai kesan berbeza-beza bagi setiap individu. Ada yang berjaya dan ada yang sebaliknya, bergantung kepada kulit masing-masing. Sekiranya, rawatan dirumah ini menyebabkan alahan atau kesan sampingan, hentikan penggunaannya.

Sekiranya anda mengalami masalah kulit berminyak yang teruk, langkah terbaik adalah berjumpa dengan pakar kulit untuk mendapatkan rawatan yang sesuai dengan kulit anda.

Rujukan

Write A Comment