Rawatan

Cara Hilangkan Batuk (Rawatan Dirumah)

Pinterest LinkedIn Tumblr

Batuk ialah tidakbalas normal yang membantu membersihkan saluran pernafasan daripada kahak dan iritasi. Namun begitu, kadang kala ia mewujudkan rasa tidak selesa dan menyebabkan masalah kesihatan yang lain.

Secara umumnya, batuk boleh berpunca daripada alahan, bahan iritasi atau jangkitan kuman (virus dan bakteria). Selain itu, asid refluks juga boleh menyebabkan batuk.

Buat masa ini, batuk boleh menjadi tanda-tanda kepada jangkitan virus COVID-19. Oleh itu, dapatkan saringan atau rawatan segera.

Bagi kes-kes batuk yang ringan, terdapat banyak ubat belian kaunter yang boleh didapati untuk menghilangkan batuk.

Namun, sekiranya anda memilih untuk menghilangkan batuk dengan kaedah alami, berikut adalah beberapa petua yang boleh diamalkan.

1. Madu

Madu sememangnya mempunyai banyak khasiat. Selain boleh mengubat sakit tekak, madu juga boleh melegakan batuk, malahan lebih berkesan daripada ubat belian kaunter (1).

Madu juga boleh menghentikan penghasilan mukus dan membunuh kuman.

Cara rawatan:

Rawatan menggunakan madu ini boleh menggunakan 2 sudu teh madu dicampur ke dalam secawan air suam atau teh herba. Boleh juga dicampur perahan lemon kerana lemon boleh membantu melegakan saluran pernafasan yang tersumbat.

Selain itu, madu ini juga boleh terus dimakan tanpa dicampur air.

2. Jus Nanas

nanas boleh hilangkan batuk

Mungkin tidak ramai yang mengetahui sebenarnya buah nanas boleh membantu mengubati batuk. Enzim dalam buah dan batang nanas yang dikenali sebagai Bromelain boleh mengurangkan batuk dan mencairkan kahak di kerongkong (2).

Selain itu, Bromelain ini juga boleh meningkatkan sistem imuniti (sistem pertahanan badan) dan mengurangkan keradangan.

Cara rawatan:

Makan sehiris nanas atau minum 100 mililiter jus nanas segar (tanpa campuran gula) sebanyak 3 kali sehari.

3. Daun Pudina

Daun pudina juga terkenal dengan khasiatnya. Daun ini juga boleh ditanam di Malaysia dan produk yang mengandungi daun ini juga mudah diperolehi. Mentol dalam daun pudina boleh melegakan kerongkong dan bertindak sebagai dekongestan dengan menipiskan kahak (3).

Cara rawatan:

1. Minum secawan teh daun pudina sebanyak 1 hingga 5 kali sehari atau

2. Sedut wap daun pudina.

Caranya, campurkan 3 atau 4 titis minyak pati daun pudina ke dalam 150 mililiter air panas. Tutup kepala dengan kain tuala dan bernafas terus di atas air panas tersebut.

4. Berkumur dengan Air Garam

Kaedah berkumur dengan air garam ini adalah mudah dan senang dilakukan. Campuran garam dan air suam dapat melegakan tekak yang gatal yang menyebabkan batuk.

Cara rawatan:

Campurkan kira-kira setengah sudu teh garam ke dalam 200 mililiter air suam, kemudian berkumurlah dengan air ini.

5. Teh Halia

Selain digunakan dalam masakan, halia juga mempunyai banyak manfaat dalam perubatan. Kajian mendapati kandungan sebatian antiradang dalam halia boleh menenangkan membran dalam salur pernafasan. Seterusnya mengurangkan batuk (4).

Cara rawatan:

Hasilkan teh halia dengan mencampurkan kira-kira 20 hingga 40 gram hirisan halia segar ke dalam secawan air panas. Biarkan selama beberapa minit sebelum meminumnya.

Campurkan madu untuk menambah rasa supaya lebih mudah diminum.

Beberapa Cara Lain untuk Mencegah dan Mengurangkan Batuk

  • Banyakkan minum air: Kajian mendapati dengan meminum minuman panas boleh mengurangkan batuk, hidung berair dan bersin (5). Selain itu, minum air kosong yang banyak juga boleh menipiskan kahak.
  • Jangan merokok dan menjadi perokok pasif.
  • Cuka epal: Cuka epal yang dicairkan atau dicampur dengan madu boleh menipiskan kahak.
  • Jauhi debu, minyak wangi dan bahan pencemar.
  • Gula-gula lozeng: Gula-gula lozeng boleh melegakan kerongkong.

Bila Perlu Berjumpa Doktor?

Sekiranya anda mengalami simptom-simptom berikut bersama-sama dengan batuk, sila dapatkan rawatan daripada doktor dengan segera:

  • Kahak yang berwarna kuning atau hijau dengan bau busuk
  • Mengigil
  • Dehidrasi
  • Demam melebihi 39 darjah celcius
  • Demam yang tidak kebah lebih dari 3 hari
  • Rasa lemah atau keletihan
  • Batuk berdarah
  • Sukar bernafas
  • Hilang selera makan
  • Sukar untuk menelan
  • Berpeluh pada waktu malam
  • Pengurangan berat badan
  • Nafas pendek

Simptom atau gejala tambahan ini mungkin mempunyai kaitan dengan masalah kesihatan yang lebih serius yang memerlukan rawatan daripada doktor.

Write A Comment