Buasir ialah keadaan dimana salur darah vena membengkak dan mengalami keradangan di bawah rektum dan sekitar dubur. Dalam bahasa Inggeris ia dipanggil hemorrhoids atau piles.

Sekiranya anda menghidap penyakit ini, jangan khuatir kerana banyak rawatan atau perubahan cara hidup boleh menghilangkan buasir ini.

Secara ringkasnya terdapat 2 jenis buasir, iaitu:

  • Buasir dalaman
  • Buasir luaran

Punca-punca

Buasir berpunca akibat daripada regangan dan tekanan pada urat-urat di sekitar dubur yang seterusnya menyebabkan ia bengkak dan membonjol.

Buasir juga boleh terbentuk di bahagian bawah rektum akibat peningkatan tekanan.

Beberapa punca yang boleh menyebabkan penyakit ini adalah (1, 2, 3):

  • Mengandung
  • Penuaan
  • Cirit-birit
  • Sembelit kronik
  • Duduk terlalu lama di dalam tandas / mangkuk tandas
  • Selalu mengangkat benda atau barang berat
  • Obesiti
  • Genetik (Keturunan)
  • Melakukan seks melalui dubur (anal sex)
  • Pemakanan yang kurang serat
  • Meneran semasa membuang air besar

Simptom-simptom

Simptom atau gejala bagi penyakit ini bergantung kepada jenis buasir yang dialami (4).

buasir dalaman dan luaran

1. Buasir luaran

Bagi buasir jenis luaran, ia terbentuk di sekitar dubur dan simptom-simptom yang boleh dilihat adalah seperti berikut:

  • Bengkak di sekitar dubur
  • Berdarah
  • Sakit atau tidak selesa di kawasan itu
  • Gatal atau iritasi di kawasan dubur

2. Buasir dalaman

Bagi buasir dalaman pula, ia terletak di dalam rektum. Kebiasaannya, kita tidak dapat melihat atau memegangnya. Buasir jenis ini jarang menyebabkan ketidakselesaan atau sakit. Antara simptom-simptom yang boleh dikenalpasti adalah:

  • Pendarahan selepas membuang najis tanpa kesakitan
  • Terasa seperti unjuran terkeluar dari dubur selepas membuang air

3. Buasir thrombus

Sekiranya darah berkumpul di dalam buasir luaran dan membeku (thrombus), ia boleh menyebabkan:

  • Keradangan
  • Bengkak
  • Sakit yang teruk
  • Ketulan keras berdekatan dengan dubur

Rawatan

Doktor akan mendiagnosis pesakit berdasarkan sejarah perubatan dan pemeriksaan fizikal.

Sekiranya buasir itu adalah jenis dalaman (yang mana tidak dapat dilihat seperti jenis luaran), doktor akan melakukan pemeriksaan saluran dubur dan rektum.

Terdapat beberapa jenis dan peringkat pemeriksaan, antaranya ialah:

  • Pemeriksaan fizikal : doktor akan melihat pada dubur untuk mengenalpasti ketulan atau bengkak.
  • Pemeriksaan digital: doktor akan melakukan pemeriksaan saluran dubur dan rektum dengan memasukkan jari dengan memakai sarung tangan dan pelincir.
  • Pemeriksaan visual: doktor akan memasukkan bahagian rektum dan saluran usus besar dengan alat anoscope, proctoscope atau sigmoidoscope untuk melihat bahagian dalaman.

Sekiranya doktor mendapati ada tanda-tanda lain yang menunjukkan potensi penyakit lain atau kanser, doktor akan memeriksa keseluruhan usus besar menggunakan colonoscopy.

Rawatan dirumah

Sekiranya penyakit ini masih baru atau tidak teruk. Anda boleh menghilangkan atau melegakannya melalui rawatan dirumah.

1. Makan makanan tinggi serat.

Makanan seperti sayur-sayuran, buah-buahan dan bijiran penuh dapat melembutkan dan menambah kegempalan pada najis. Ini dapat membantu anda agar tidak meneran semasa membuang air besar.

2. Gunakan krim atau minyak sapuan.

Krim atau minyak sapuan buasir boleh didapati secara belian kaunter atau atas talian. Selain itu, ubat yang mengandungi hydrocortisone boleh digunakan untuk melegakan kesakitan.

3. Rendam bahagian dubur dalam air suam.

Rendam bahagian dubur ke dalam air suam selama 10 hingga 15 minit sebanyak 2 atau 3 kali sehari.

4. Pek ais

Pek ais juga boleh digunakan untuk mengurangkan bengkak dibahagian yang sakit.

5. Makan ubat pelega kesakitan.

Ubat pelega kesakitan seperti acetaminophen, aspirin atau ibuprofen boleh membantu melegakan kesakitan.

Sekiranya rawatan dirumah ini tidak menghilangkan simptrom-simptom buasir dalam seminggu, dapatkan rawatan daripada doktor.

Sekiranya anda mengalami sakit yang teruk dan pendarahan, sila segera dapatkan rawatan daripada doktor.

Rawatan di klinik

Terdapat beberapa prosedur ringkas yang boleh dijalankan di klinik. Antaranya (5):

  • Rubber band ligation : Kaedah rawatan ini boleh dilakukan bagi rawatan buasir dalaman. Rawatan ini adalah ringkas dimana gelung getah yang kecil dipasang dipangkal buasir menyebabkan aliran darah ke kawasan tersebut terhenti dan buasir tersebut mengecut.
  • Sclerotherapy: Kaedah rawatan ini memerlukan doktor untuk menyuntik sejenis cecair (seperti Phenol) ke dalam buasir tersebut menyebabkan dinding saluran vena (urat) tersebut mengecut.

Prosedur rawatan di hospital:

Rawatan di hospital melibatkan pembedahan dan keadaan buasir yang lebih serius. Biasanya, hanya segelintir pesakit yang memerlukan pembedahan (5).

  • Pembuangan buasir (Hemorrhoidectomy): Pembedahan dilakukan untuk mengeluarkan buasir tersebut. Pesakit yang menjalani prosedur ini mengambil masa 2-4 minggu untuk pulih. Kaedah ini adalah efektif untuk merawat buasir yang teruk serta berulang-ulang.
  • Doppler guided transanal hemorrhoidal dearterialization: Kaedah rawatan di mana mesin ultrabunyi (ultrasound) digunakan untuk mengenalpasti aliran darah arteri yang terbabit dan kemudiannya disekat.
  • Stappler hemmorhoidectomy: Kaedah pembedahan untuk membuang bahagian tisu yang longgar yang menyebabkan buasir keluar dari dubur.

Langkah Pencegahan

Potensi untuk berlakunya buasir dapat dikurangkan sekiranya beberapa perkara ini sentiasa diberi perhatian.

1. Pemakanan

Amalkan gaya pemakanan yang sihat dan kaya dengan kandungan serat. Buah, sayur dan bijirin penuh adalah antara makanan yang kaya dengan serat. Serat dapat mengelakkan sembelit serta boleh melembutkan najis.

2. Mengurangkan atau mengelak daripada meneran.

Ketika menggunakan tandas, kurangkan meneran dengan kuat kerana ia akan memberi tekanan pada urat dibahagian bawah rektum.

Tandas duduk adalah antara penyebab buasir kerana individu itu perlu meneran dengan kuat untuk mengeluarkan najis.

3. Kekalkan berat badan yang ideal

Obesiti atau berat badan berlebihan boleh meningkatkan risiko mendapat buasir.

4. Aktiviti fizikal

Duduk terlalu lama juga tidak elok untuk urat dibahagian dubur kerana ia memberi tekanan pada urat-urat (vena) ini.

Aktivit fizikal juga turut membantu pergerakan usus dan seterusnya melancarkan pembuangan air besar.

5. Jangan bertangguh atau menahan diri daripada membuang air besar

Jangan bertangguh atau menahan diri daripada membuang air besar kerana semakin lama ditangguh, najis akan menjadi semakin kering.

6. Minum air secukupnya

Kekal terhidrat penting untuk mengelakkan sembelit dan najis menjadi keras.

Write A Comment