Rawatan

Bayi Selesema: Apa yang Perlu Dilakukan

Pinterest LinkedIn Tumblr

Sudah tentu sekiranya bayi selesema akan meresahkan anda. Bayi anda sememang mudah terdedah kepada jangkitan virus kerana sistem imun badan mereka masih tidak matang.

Sebelum berumur 2 tahun, bayi anda boleh terkena sebanyak 8 hingga 10 kali selesema dalam setahun (1).

Adalah penting untuk membawa bayi anda berjumpa doktor sekiranya menunjukkan tanda-tanda selesema.

Ini untuk memastikan sakit tersebut tidak membawa kepada masalah yang lebih serius seperti pneumonia (radang paru-paru) dan croup (jangkitan yang menyebabkan bengkak di peti suara).

Gejala atau Simptom

Gejala atau simptom selesema terhadap bayi boleh dilihat selepas 1 hingga 3 hari mereka dijangkiti. Antaranya ialah:

  • Hidung tersumbat
  • Hidung berair
  • Batuk (terutamanya pada waktu malam)
  • Demam
  • Hilang selera makan
  • Bersin
  • Sukar untuk menyusu kerana hidung tersumbat
  • Sukar untuk tidur
bayi selesema

Punca

Selesema adalah jangkitan pada hidung dan kerongkong yang disebabkan oleh satu atau lebih 200 virus (2).

Rhinovirus adalah yang paling biasa menyebabkan selesema kepada bayi.

Apabila dijangkiti oleh virus, bayi anda akan menjadi imun terhadap virus tersebut. Tetapi disebabkan terlalu banyak virus yang menyebabkan selesema, bayi anda akan mengalami selesema beberapa kali dalam setahun atau sepanjang hidup mereka.

Bayi anda mungkin dijangkiti virus melalui udara, sentuhan dan permukaan yang kotor.

  • Udara: Apabila seseorang yang batuk,demam selesema atau bersin, mereka boleh menyebarkan virus kepada bayi anda. Contohnya jangkitan daripada adik beradik terdekat atau dari tempat penjagaan kanak-kanak.
  • Sentuhan: Apabila seseorang itu menghidap selesema dan menyentuh bayi anda, virus ini akan tersebar kepada bayi anda.
  • Permukaan yang kotor: Virus boleh hidup pada permukaan selama 2 jam atau lebih. Oleh itu, bayi anda boleh dijangkiti virus jika menyentuh permukaan yang kotor.

Rawatan

Kebiasaannya, selesema tidak perlu dirawat kerana ia akan sembuh dengan sendirinya. Antibiotik tidak berkesan untuk selesema kerana antibiotik adalah untuk membunuh bakteria bukan untuk virus.

Antara langkah yang boleh diambil ialah dengan cuba berikan keselesaan kepada bayi anda dengan menyedut hingus yang terkumpul dan kekalkan pengudaraan yang lembap.

Elakkan ubat belian kaunter untuk bayi kerana ubat-ubat ini tidak berkesan untuk kanak-kanak dibawah umur 6 tahun dan boleh memberikan kesan sampingan yang berbahaya.

Sekiranya selesama ini disertai demam, anda boleh dapatkan ubat demam untuk melegakan demam tetapi ubat ini tidak membunuh virus selesema. Sila berjumpa doktor untuk mendapatkan dos yang sesuai untuk bayi anda.

Bila Perlu Berjumpa Doktor?

Sekiranya bayi menghidap selesema tanpa komplikasi, kebiasaannya bayi anda akan sembuh sekitar 10 hingga 14 hari.

Sekiranya bayi anda berusia kurang 3 bulan, dapatkan rawatan doktor sekiranya bayi anda menghidap selesema terutamanya jika disertai demam.

Jika bayi anda berusia 3 bulan atau lebih, dapatkan rawatan daripada doktor sekiranya bayi anda menunjukkan gejala-gejala seperti:

  • Suhu badan melebihi 38 darjah celcius
  • Mata merah atau mengeluarkan cecair kuning atau kuning kehijauan di mata
  • Tidak kencing sekerap yang biasa
  • Sukar bernafas
  • Batuk yang berterusan
  • Keluar hingus berwarna hijau dan pekat selama beberapa hari
  • Menunjukkan simptom-simptom yang membimbangkan anda

Write A Comment