Kesihatan

Rawatan Gusi Bengkak: Punca dan Pilihan Rawatan

Pinterest LinkedIn Tumblr

Gusi bengkak boleh terjadi kepada sesiapa sahaja. Masalah gusi bengkak mempunyai banyak puncanya. Oleh itu, rawatan gusi bengkak yang tepat diperlukan untuk merawat masalah gusi ini.

Artikel ini akan menerangkan punca-punca yang menyebabkan gusi bengkak dan pilihan rawatan mengikut situasi gusi bengkak itu.

Gusi ialah tisu pejal yang berwarna merah jambu yang menutup tulang rahang. Apabila bengkak, gusi ini menonjol atau menjulur keluar. Bengkak ini selalunya bermula pada bahagian pertemuan gusi dan gigi.

Sekiranya bengkak itu teruk, gusi ini akan mula menutup sebahagian daripada gigi anda. Gusi yang bengkak akan berubah warna daripada merah jambu kepada merah.

Gusi bengkak turut dikenali sebagai pembengkak gingiva dalam bahasa perubatan.

merawat gusi bengkak - gingivitis
Gingivitis
Onetimeuseaccount, CC0, via Wikimedia Commons

Punca Gusi Bengkak

Gusi bengkak boleh disebabkan oleh beberapa punca. Punca ini mungkin berbeza-beza bagi setiap individu. Antara punca-punca gusi bengkak adalah:

1. Gingivitis

Gingivitis ialah salah satu penyakit gusi yang boleh menyebabkan gusi bengkak dan rengsa. Selalunya, ramai tidak menyedari bahawa mereka menghidap gingivitis kerana simptom-simptomnya adalah ringan.

Namun, jika tidak dirawat gingivitis boleh menjadi lebih parah dan boleh menyebabkan kehilangan gigi.

Gingivitis selalu berlaku akibat penjagaan kebersihan mulut yang lemah. Kesannya, berlakunya pembentukan plak di gigi dan gusi. Plak ialah lapisan dipermukaan gigi yang terdiri daripada sisa makanan dan bakteria.

Jika plak ini kekal di gigi dalam beberapa hari, ia akan bertukar menjadi tartar. Pembentukan tartar ini menyebabkan berlakunya gingivitis.

2. Jangkitan

Jangkitan bakteria, fungi dan virus juga boleh menyebabkan gusi bengkak.

Jangkitan bakteria akan menyebabkan berlakunya abses gigi. Terdapat 2 jenis abses gigi iaitu:

  • Abses periapeks : Abses yang berlaku akibat pereputan atau rekahan gigi.
  • Abses periodontium : Abses yang menjejaskan gusi.

Kedua-dua jenis abses ini boleh menyebabkan gusi bengkak dan kemerahan.

Sekiranya berlaku jangkitan virus seperti herpes, ia juga boleh menyebabkan gusi bengkak.

Sekiranya berlaku jangkitan yis dalam mulut, ia juga boleh menyebabkan gusi bengkak.

3. Kekurangan nutrisi

Kekurangan vitamin seperti vitamin C boleh menyebabkan gusi bengkak. Vitamin C memainkan peranan penting dalam penyelenggaraan gigi dan gusi.

Vitamin C yang terlalu rendah dalam badan boleh menyebabkan keradangan pada gusi.

Sekiranya pemakanan harian anda tidak mengandungi sayur atau buah, mungkin anda harus berubah kepada diet yang lebih seimbang.

Banyakkan makan sayur-sayuran dan buah-buahan untuk mendapatkan vitamin C yang mencukupi.

4. Mengandung

Gusi bengkak, radang atau sensitif adalah kelaziman yang berlaku ketika mengandung. Semasa mengandung, perubahan hormon mengubah bagaimana badan bertindak balas terhadap bakteria menyebabkan jangkitan pada gusi mudah untuk berlaku.

Pilihan Rawatan Bagi Beberapa Jenis Gusi Bengkak

Sekiranya anda mengalami gusi bengkak lebih daripada 2 minggu, anda disarankan berjumpa dengan doktor gigi.

Secara umumnya, sekiranya anda mengalami gusi bengkak, doktor gigi mungkin akan menetapkan ubat kumur untuk mencegah daripada berlakunya gingivitis dan mengurangkan plak.

Sekiranya ada jangkitan bakteria, ubat antibiotik juga mungkin diberikan.

1. Rawatan gusi bengkak dan bernanah

Gusi bengkak dan bernanah adalah tanda kepada abses gusi yang disebabkan oleh jangkitan bakteria. Nama lainnya ialah abses periodontium.

Rawatan bagi masalah gusi bengkak ini adalah:

  • Ubat antibiotik: Ubat antibiotik diperlukan untuk membunuh bakteria yang menyebabkan jangkitan.
  • Pembersihan plak dan tartar: Pembersihan yang mendalam diperlukan untuk membuang plak atau tartar yang terbentuk di gigi. Prosedur seperti penskalaan (scaling) dan pengetaman akar (root planing) diperlukan untuk membersihkan plak dan tartar ini.
  • Penyaliran: Doktor gigi akan mengalir keluar nanah yang terbentuk di gusi yang bengkak. Ini dapat melegakan kesakitan dan mempercepatkan penyembuhan.
  • Pembedahan: Pembedahan mungkin diperlukan sekiranya gusi bengkak ini disebabkan oleh abses periapeks.
  • Pembetulan gigi palsu: Abses gusi ini juga boleh terjadi akibat gigi palsu yang kurang sesuai. Pembetulan gigi palsu ini boleh memulihkan masalah gusi ini.

2. Rawatan gusi belakang bengkak

Gusi belakang bengkak mungkin disebabkan oleh tisu gusi (flap) yang melitupi bahagian korona (puncak) gigi yang sedang meletus, terutamanya gigi bongsu. Keadaan ini dikenali sebagai perikoronitis.

Rawatan bagi gusi belakang bengkak ini adalah:

  • Ubat tahan sakit: Sekiranya doktor gigi mendapati gigi yang sedang meletus itu boleh meletus sepenuhnya dengan sendiri. Doktor mungkin akan membantu anda menguruskan kesakitan tanpa membuang flap atau mencabut gigi. Ubat tahan sakit seperti ibuprofen dan paracetamol boleh membantu.
  • Antibiotik: Sekiranya gigi, rahang dan pipi anda bengkak dan sakit, ia mungkin petanda kepada jangkitan bakteria. Ubat antibiotik boleh membantu melawan jangkitan bakteria ini.
  • Pembedahan: Sekiranya flap atau gigi harus dibuang, anda mungkin perlu melalui prosedur pembedahan.

3. Rawatan gusi bengkak pakai braces

Gusi bengkak juga boleh berlaku kepada mereka yang memakai alat pendakap gigi tetap atau braces. Gusi bengkak yang berlaku terhadap pemakai pendakap gigi boleh berpunca daripada masalah kebersihan mulut, pergerakan gigi, gingivitis atau akibat masalah kesihatan.

Rawatan bagi gusi bengkak akibat pemakaian braces adalah:

  • Berkumur dengan air garam: Air garam boleh membantu menyingkirkan bakteria dalam mulut.
  • Ubat bengkak: Ubat bengkak belian kaunter yang boleh didapati di farmasi boleh membantu mengurangkan bengkak dan keradangan.
  • Ubat tahan sakit: Ubat tahan sakit seperti ibuprofen dan paracetamol juga boleh didapati secara belian kaunter di farmasi untuk mengurangkan kesakitan akibat gusi bengkak ini.
  • Pembersihan plak dan tartar: Sekiranya bengkak itu disebabkan oleh gingivitis, pembersihan yang mendalam diperlukan untuk membuang plak atau tartar yang terbentuk di gigi. Prosedur seperti penskalaan (scaling) dan pengetaman akar (root planing) diperlukan untuk membersihkan plak dan tartar ini.
  • Flos gigi: Flos di antara gigi juga dapat mengurangkan keradangan yang berlaku di gusi anda.

Langkah Pencegahan

Beberapa langkah pencegahan boleh diamalkan bagi mengelakkan berlakunya radang, bengkak atau gusi berdarah. Antaranya ialah:

  1. Berus gigi sekurang-kurangnya 2 kali sehari.
  2. Berkumur dengan pembersih mulut antiseptik atau air garam.
  3. Minum banyak air.
  4. Amalkan diet sihat yang seimbang. Vitamin C dan kalsium adalah nutrien yang penting untuk gigi anda.
  5. Flos gigi anda.
  6. Jangan merokok atau berhenti merokok.
  7. Minum air suam atau sejuk jika anda mengalami bengkak gusi.
  8. Kurangkan stres. Stres boleh meningkatkan keradangan dalam badan anda.

Rumusan

Gusi bengkak boleh disebabkan oleh beberapa punca seperti gingivitis, jangkitan bakteria, virus atau fungi, kekurangan nutrisi dan juga mengandung.

Gusi bengkak ini boleh dirawat mengikut punca yang menyebabkan bengkak dan radang itu. Gusi bengkak yang ringan mungkin boleh dirawat menggunakan ubat belian kaunter atau rawatan dirumah.

Namun, jika gusi bengkak itu adalah serius dan teruk. Anda harus mendapatkan rawatan daripada doktor gigi.

Rujukan