Prostat bengkak boleh menjadi petanda kepada 3 masalah iaitu prostatitis, hiperplasia prostat benigna dan kanser prostat. Kali ini kita akan membicarakan mengenai radang prostat iaitu prostatitis termasuklah punca, simptom dan rawatannya.
Prostat ialah kelenjar bersaiz kacang walnut yang terletak di bawah pundi kencing lelaki. Kelenjar prostat ini bertanggungjawab menghasilkan air mani.
Prostatitis merujuk kepada prostat yang bengkak dan mengalami keradangan. Keradangan ini boleh terjadi akibat jangkitan atau punca-punca lain.
Keadaan ini menyebabkan penghidapnya berasa sakit dan sukar untuk kencing.
Prostatitis ini boleh berlaku kepada lelaki pada semua peringkat umur tetapi lebih kerap terjadi kepada golongan lelaki yang berusia 50-an.
Jenis-jenis Prostatitis
Terdapat 4 jenis Prostatitis dan simptom kepada jenis-jenis Prostatitis ini juga berbeza-beza mengikut jenisnya.
1. Prostatitis bakteria akut
Prostatitis bakteria akut adalah disebabkan oleh jangkitan bakteria. Biasanya ia terjadi secara tiba-tiba dan boleh juga menyebabkan simptom-simptom seperti demam selesema.
2. Prostatitis bakteria kronik
Prostatitis bakteria kronik pula disebabkan oleh jangkitan bakteria yang berulang-ulang di kelenjar prostat. Jangkitan ini berlaku berbulan-bulan lamanya.
Sesetengah lelaki mendapat jangkitan selepas jangkitan saluran kencing atau prostatitis bakteria kaut.
3. Prostatitis kronik / Sindrom kesakitan pelvis kronik
Prostatitis kronik adalah jenis radang prostat yang sering terjadi. Prostatitis jenis ini mirip seperti prostatitis akibat jangkitan bakteria. Namun, apabila dilakukan pemeriksaan, tiada jangkitan bakteria yang berlaku.
Selalunya tiada punca yang khusus ditemui bagi Prostatitis jenis ini.
4. Prostatitis asimptomatik
Prostatitis jenis ini tidak menunjukkan sebarang simptom atau menyebabkan ketidakselesaan. Selalunya ia dikenalpasti secara tidak sengaja semasa diagnosa terhadap kesuburan atau kanser prostat.
Simptom-simptom Prostatitis
Bergantung kepada puncanya, radang prostat ini boleh berlaku secara tiba-tiba atau secara beransur-ansur.
Simptom atau gejala kepada radang prostat (Prostatitis) ini bergantung kepada punca yang menyebabkan ia berlaku.
Beberapa simptom Prostatitis yang boleh berlaku mengikut jenisnya adalah seperti berikut:
a) Prostatitis bakteria akut
- Gesaan untuk kencing tetapi hanya sedikit air kencing yang keluar semasa kencing.
- Air kencing keruh
- Demam panas
- Mengigil
- Sukar untuk kencing
b) Prostatitis bakteria kronik
- Kerap kencing terutamanya pada waktu malam
- Sakit semasa kencing
- Sakit semasa ejakulasi
- Sakit pinggang
- Sakit dibahagian skrotum (buah zakar)
c) Prostatitis kronik / Sindrom kesakitan pelvis kronik
- Sakit pada bahagian perut, selangkang (groin) dan pinggang.
- Sakit dibahagian antara skrotum (buah zakar) dan rektum (dubur).
- Sakit dibahagian zakar dan testis.
Punca Prostatitis
Prostatitis boleh berlaku disebabkan oleh:
a) Jangkitan bakteria
Jangkitan boleh berlaku apabila bakteria dalam air kencing bocor ke dalam kelenjar prostat.
Sekiranya tidak dirawat, jangkitan ini boleh menjadi lebih teruk dan sukar untuk dirawat (prostatitis bakteria kronik).
Jangkitan juga boleh berlaku akibat daripada virus atau bakteria yang tersebar melalui hubungan seks seperti HIV, chlamydia dan gonorrhea.
b) Kerosakan saraf
Pembedahan atau trauma pada bahagian saluran kencing bawah boleh menyebabkan kerosakan saraf. Keadaan ini boleh menyumbang kepada Prostatitis yang bukan jenis jangkitan bakteria.
Siapa yang Berisiko?
Beberapa golongan yang berisiko adalah:
- Pernah menghidap prostatitis sebelum ini.
- Mempunyai kabnormalan pada saluran kencing.
- Pernah berlaku jangkitan pada pundi kencing atau saluran uretra.
- Mengidap HIV atau AIDS.
- Pernah menghadapi kecederaan pada pelvis.
- Pernah melakukan biopsi prostat.
- Pernah menggunakan kateter urinari dalam masa terdekat.
Rawatan Perubatan Moden Radang Prostat
Rawatan perubatan moden untuk radang prostat (Prostatitis) bergantung kepada punca yang menyebabkan ia berlaku.
Antara rawatan yang boleh didapati adalah:
Antibiotik
Ubat antibiotik adalah rawatan yang biasa ditentukan oleh doktor untuk merawat Prostatitis akibat jangkitan bakteria.
Alpha blocker
Ubat jenis ini akan membantu mengendurkan leher pundi kencing dan otot dimana prostat bertemu dengan pundi kencing.
Ubat ini boleh mengurangkan simptom sakit ketika kencing.
Ubat antiradang
Ubat ini boleh mengurangkan keradangan dan sakit yang anda hadapi.
Rawatan Tradisional Radang Prostat (Prostatitis)
Mungkin ada antara kita yang lebih memilih untuk mendapatkan rawatan tradisional atau alternatif berbanding rawatan perubatan moden untuk merawat radang prostat ini.
Walau bagaimanapun, pesakit disarankan untuk mendapatkan rawatan di klinik atau hospital terlebih dahulu untuk mengesahkan sama ada adakah benar mereka menghidap radang prostat (Prostatitis) atau penyakit lain.
Dapatkan juga nasihat doktor sebelum anda beralih kepada rawatan tradisional.
Sekiranya prostat bengkak itu disebabkan oleh jangkitan bakteria, ubat antibiotik adalah rawatan terbaik.
Berikut adalah beberapa rawatan tradisional untuk radang prostat yang mempunyai kajian keberkesanannya dalam mengurangkan simptom-simptom radang prostat terutamanya yang tidak berkaitan dengan jangkitan bakteria.
1. Akupunktur
Akupunktur ialah rawatan alternatif yang melibatkan cucukan jarum halus ke dalam kulit pesakit di bahagian badan yang tertentu. Berbeza dengan berbekam, akupunktur tidak melibatkan pengeluaran darah.
Satu kajian yang dijalankan selama 32 minggu terhadap 68 pesakit prostatitis kronik atau sindrom kesakitan pelvis kronik mendapati kaedah akupunktur boleh mengurangkan simptom penyakit ini [1].
Satu kajian klinikal yang diterbitkan pada tahun 2015 mendapati rawatan menggunakan kaedah akupunktur terhadap 100 orang pesakit prostatitis kronik menunjukkan pengurangan kepada simptom penyakit ini [2].
2. Rawatan herba
Rawatan menggunakan herba atau makanan tambahan (supplement) menggunakan herba tertentu boleh digunakan untuk mengurangkan simptom-simptom radang prostat atau jangkitan saluran kencing. Antaranya:
- Saw palmetto
Saw palmetto ialah tumbuhan herba yang didapati mempunyai khasiat dalam perawatan hiperplasia prostat benigna dan jangkitan saluran kencing.
Kajian-kajian terkini mendapati ekstrak Saw palmetto ini juga turut mempunyai kesan terapeutik terhadap radang prostat (Prostatitis) [3, 4].
- Kulit pokok Pygeum
Ekstrak kulit pokok Pygeum africana juga digunakan untuk merawat dan mengurangkan simptom-simptom prostat bengkak dan jangkitan saluran kencing.
Walaupun kajian lebih banyak menjurus ke arah merawat simptom Hiperplasia Prostat Benigna (BPH), namun ekstrak tumbuhan ini mungkin juga berkesan untuk Prostatitis kerana sesetengah simptom BPH adalah sama dengan Prostatitis [5].
- Stinging Nettle
Stinging Nettle atau nama saintifiknya, Urtica dioica juga adalah tumbuhan herba yang digunakan untuk merawat simptom BPH [6].
Stinging Nettle ini juga mungkin berkesan untuk merawat simptom berkaitan Prostatitis yang tidak disebabkan oleh jangkitan bakteria [7].
3. Berendam dalam mandian suam
Berendam dalam tub mandian dengan air suam (sitz bath) atau menggunakan pad panas boleh mengurangkan simptom-simptom yang berlaku.
4. Jauhi arak dan kafein
Jauhi atau hadkan minuman arak dan minuman berkafein dapat mengurangkan simptom radang prostat ini.
Selain itu, makanan pedas dan berasid juga tidak sesuai bagi pesakit Prostatitis kerana makanan ini boleh merengsakan pundi kencing.
5. Urutan prostat
Urutan prostat mungkin boleh mengurangkan simptom-simptom berkaitan Prostatitis kronik yang tidak disebabkan bakteria berdasarkan kajian [8, 9].
Bila Perlu Berjumpa Doktor?
Masalah radang prostat akut boleh membawa kepada radang prostat yang kronik. Malah, radang prostat (Prostatitis) ini boleh membawa kepada komplikasi berkaitan kesuburan, jangkitan bakteria dalam darah atau pundi kencing terhalang.
Oleh itu, sekiranya anda mengalami simptom-simptom berkaitan radang prostat ini. Sila dapatkan rawatan daripada doktor di hospital pada kadar yang segera.