Rawatan

Punca Tangan Kebas dan Bagaimana Merawatnya?

Pinterest LinkedIn Tumblr

Tangan kebas merupakan keadaan di mana tangan kita berasa seolah dicucuk-cucuk. Kebas juga turut boleh menyebabkan rasa semut-semut (sesemut).Terdapat beberapa punca yang menyebabkan tangan kebas. Artikel ini membolehkan anda mengetahui punca tangan kebas secara lebih lanjut.

Tangan kebas ini boleh terjadi di sebelah kiri, sebelah kanan, ketika tidur atau bangun tidur. Keadaan tidak selalunya menyebabkan perkara yang serius. Ia mungkin disebabkan oleh sindrom terowong karpus atau kesan sampingan ubat-ubatan.

Sekiranya kebas ini disebabkan perkara yang lebih serius, kebiasaannya ia akan melibatkan gejala atau simptom yang lain bersama-samanya.

Punca-punca Tangan Kebas

Berikut adalah beberapa punca yang mungkin menyebabkan sebelah atau kedua-dua tangan anda kebas.

1. Sindrom terowong karpus (carpal tunnel syndrome)

Terowong karpus ialah terowong sempit yang melalui bahagian tengah pergelangan tangan anda. Ditengah-tengah terowong ini terdapat saraf median dan tendon.

Aktiviti seperti menaip atau kerja yang menggunakan tangan dan jari secara berulang-ulang boleh menyebabkan masalah ini.

Tangan akan berasa kebas, kesemutan, sakit atau lemah.

2. Kesan sampingan ubat-ubatan

Terdapat juga kesan sampingan ubat-ubatan yang boleh menyebabkan tangan kebas. Ini disebabkan oleh kerosakan saraf.

Berikut adalah beberapa ubat-ubatan yang boleh menyebabkan kebas:

  • Ubat antikanser seperti cisplatin dan vincrisine.
  • Ubat antibiotik seperti metronidazole, nitrofurantoin dan fluroquinolones.
  • Ubat antisawan seperti phenytoin.
  • Ubat darah tinggi atau jantung seperti amiodarone dan hydralazine.
  • Kemoterapi

Gejala lain yang turut boleh dirasai akibat kesan sampingan ubat ini adalah seperti:

  • semut-semut (sesemut).
  • rasa yang pelik (tidak normal) pada tangan.
  • rasa lemah.

3. Kekurangan vitamin atau mineral

Kekurangan vitamin B-12 boleh menyebabkan kebas atau sesemut pada bahagian tangan dan kaki. Vitamin B-12 ini penting untuk mengekalkan kesihatan saraf.

Selain itu, kekurangan mineral seperti kalium (potassium) dan magnesium juga boleh menyebabkan kebas.

Gejala lain akibat kekurangan vitamin B-12 adalah:

  • keletihan
  • penyakit kuning
  • halusinasi
  • susah untuk mengekalkan keseimbangan
kekurangan vitamin punca tangan kebas

4. Radikulopati servikal

Sekiranya rawan, otot atau tendon meletakkan terlampau banyak tekanan pada saraf ia akan menyebabkan saraf ini tidak boleh berfungsi dengan betul. Ini boleh menyebabkan kebas. Keadaan ini dipanggil radikulopati servikal atau saraf tercubit.

Kecederaan, penggunaan yang kerap dan artritis juga boleh menyebabkan keadaan ini.

Gejala lain yang mungkin turut dirasai adalah:

  • Rasa semut-semut atau cucuk-cucuk
  • Otot lengan menjadi lemah
  • Sakit yang tajam atau rasa perit

5. Kencing Manis (Diabetes)

Keadaan yang dipanggil ‘neuropati diabetes’ boleh menyebabkan kebas di tangan dan kaki. Kebiasaannya ia bermula di kaki terlebih dahulu.

Keadaan ini boleh menyebabkan kerosakan saraf di tangan dan kaki.

Simptom lain yang boleh dirasai adalah:

  • otot menjadi lemah
  • hilang keseimbangan
  • rasa seperti dicucuk-cucuk
  • rasa sesemut
  • rasa sakit yang kuat atau kejang

6. Penyakit Raynaud

Penyakit Raynaud ini berlaku apabila salur darah menyempit, menghalang darah yang mencukupi sampai ke kaki atau tangan. Akibatnya, jari tangan dan jari kaki akan menjadi kebas, sejuk, pucat dan sakit.

Gejala ini biasanya terjadi sekiranya anda terdedah kepada suhu sejuk atau anda berasa tertekan (stres).

7. Spondilosis servikal (Carvical spondylosis)

Spondilosis servikal ini adalah keadaan pakai dan koyak (wear and tear) berkaitan usia yang memberi kesan terhadap cakra spina (tulang belakang) di leher.

Tulang belakang yang rosak ini boleh menekan saraf terdekat yang menyebabkan kebas di tangan, jari dan lengan.

Kebanyakan individu yang mengalami masalah ini adalah berusia 60 tahun ke atas.

Gejala lain yang mungkin berlaku kepada penghidap Spondilosis servikal ini termasuklah:

  • Sesemut dan lemah di lengan, tangan dan kaki.
  • Sukar untuk berjalan dan mengimbangkan badan.
  • Tidak dapat mengawal pembuangan air kecil dan besar.

8. Strok

Kebas di tangan juga mungkin salah satu tanda strok. Dapatkan rawatan segera sekiranya mengalami gejala-gejala berikut:

  • Kebas secara tiba-tiba diikuti lemah otot atau lumpuh di muka, tangan atau kaki. Selalunya ia berlaku di sebelah badan sahaja.
  • Sukar untuk bercakap dan sukar untuk memahami percakapan orang lain.
  • Sukar untuk melihat secara tiba-tiba di sebelah atau kedua-dua belah mata.
  • Sukar untuk berjalan dan mengekalkan keseimbangan badan.
  • Sakit kepala yang teruk dan boleh disertai oleh muntah dan pening.

9. Sindrom Terowong Kubital

Sindrom terowong kubital melibat saraf ulnar yang bersambung dari leher hingga ke tangan di bahagian jari kelingking. Saraf ini boleh terhimpit atau terlebih regang. Keadaan ini dikenali sebagai sindrom terowong kubital.

Sindrom ini boleh menyebabkan gejala seperti tangan kebas dan semut-semut terutamanya di bahagian jari kelingking dan jari manis.

Selain itu, pesakit juga mungkin turut berasa sakit di bahagian bawah tangan dan kelemahan di tangan terutamanya ketika membengkokkan siku.

Rawatan Tangan Kebas

Rawatan untuk tangan kebas ini bergantung kepada punca atau penyebabnya. Sekiranya kebas itu berlaku jarang-jarang dan hilang maka anda mungkin tidak memerlukan rawatan.

Sekiranya, tangan kebas selepas bangun dari tidur, mengubah posisi tidur mungkin boleh membantu. Ikutlah panduan sunnah dalam posisi tidur iaitu mengiring ke kanan.

1. Senaman

Bagi kebas yang berpunca daripada sindrom terowong karpus, senaman pergelangan tangan boleh membantu mengurangkan gejala ini. Senaman seperti mengoncangkan tangan, regangan armstrong dan spider doing pushups on a mirror boleh membantu.

Bagitu juga bagi mengurangkan gejala spondilosis servikal, senaman regangan, postur dan penguatan boleh membantu.

2. Memakai “wrist guard

Memakai “wrist guard” ini boleh menegakkan pergelangan tangan dan melegakan saraf median. Ini secara tidak langsung boleh mengelakkan kebas akibat daripada sindrom terowong karpus.

3. Ubat belian kaunter

Ubat belian kaunter seperti ubat tahan sakit boleh membantu bagi sakit-sakit ringan di bahagian tangan, leher dan bahagian lain.

4. Suplemen vitamin B-12

Sekiranya kebas ini berpunca daripada kekurangan vitamin B-12, suplemen atau makanan tambahan vitamin B-12 boleh diambil untuk mengatasi masalah ini.

Selain itu, makan makanan yang tinggi dengan vitamin B-12 seperti kerang, hati lembu atau ikan kembung juga boleh membantu.

5. Pembedahan

Pembedahan adalah pilihan terakhir sekiranya rawatan menggunakan kaedah lain tidak berjaya.

Bila Perlu Berjumpa Doktor?

Dapatkan diagnosa dan rawatan daripada doktor sekiranya kebas ini tidak hilang dalam beberapa hari atau melarat ke bahagian badan yang lain.

Dapatkan rawatan juga sekiranya kebas ini bermula setelah kecederaan atau penyakit.

Dapatkan rawatan pantas sekiranya kebas tangan bersama-sama gejala lain seperti:

  • otot menjadi lemah
  • sukar menggerakkan anggota badan
  • sukar bercakap
  • penglihatan menjadi kabur
  • pening
  • sakit kepala yang teruk secara tiba-tiba
  • hilang keseimbangan badan
  • menjadi keliru

Write A Comment