Kesihatan

4 Punca Jerawat Tumbuh Dibahagian Muka

Pinterest LinkedIn Tumblr

Adakah jerawat tumbuh berulangan pada tempat yang sama membawa makna sesuatu? Menurut perubatan tradisional Cina dan India, ia mungkin membawa makna tertentu, namun tidak disokong oleh kajian sains. Oleh itu, kami kongsikan punca jerawat tumbuh dibahagian muka berdasarkan sains.

Penyebab atau punca jerawat tumbuh di bahagian muka ini boleh dikelaskan mengikut peta muka berdasarkan bukti daripada kajian sains. Mengetahui penyebab jerawat tumbuh boleh membantu kita mencegah dan mengubati jerawat yang tumbuh dengan cara yang lebih tepat. Seterusnya mengelakkan muka daripada dipenuhi parut jerawat.

1. Punca Jerawat di Pipi

punca jerawat tumbuh di bahagian muka: bahagian pipi

Punca jerawat tumbuh di pipi adalah disebabkan faktor kebersihan. Telefon pintar dan sarung bantal boleh menjadi antara penyumbang utama kepada masalah jerawat ini.

Membawa telefon ke dalam tandas adalah antara amalan yang sangat tidak bersih. Mereka yang membawa telefon ke dalam tandas menyebabkan penyebaran bakteria dan kotoran pada telefon mereka.

Menurut pakar kebersihan, walaupun mereka yang memasuki tandas mengatakan bahawa mereka membasuh tangan mereka dengan sabun selepas membuang air.

Namun, 92% telefon dan 82% daripada tangan mereka mengandungi bakteria. Lebih membimbangkan, 16% daripada tangan dan telefon didapati mengandungi bakteria E.Coli yang berasal daripada najis.

Setiap kali anda menggunakan telefon anda, anda berpotensi menyebarkan bakteria ini di bahagian kulit muka anda. Seterusnya menyebabkan jerawat. Jerawat yang berulangan pada sebelah pipi anda mungkin disebabkan oleh dua faktor ini.

Begitu juga dengan sarung bantal anda. Sekiranya sebelum tidur anda tidak membersihkan muka, kotoran dan minyak dari muka akan melekat di sarung bantal anda. Lama-kelamaan, kotoran dan minyak dari muka ini akan terkumpul di fabrik sarung bantal tersebut. Kotoran ini menjadi punca berlakunya jerawat di pipi anda.

Solusi atau Rawatan

Selalu membersihkan permukaan telefon dan menukar sarung bantal sekali seminggu boleh membantu mengurang atau mencegah masalah jerawat dibahagian ini.

2. Punca Jerawat di Dagu dan Rahang

penyebab jerawat di dagu dan rahang

Punca jerawat tumbuh di dagu dan rahang mungkin disebabkan oleh hormon yang tidak stabil. Ia juga menunjukkan berlakunya gangguan pada sistem endokrin anda. Sistem endokrin ialah sistem yang terdiri daripada kelenjar-kelenjar yang menghasilkan hormon yang digunakan oleh badan.

Akibatnya, berlaku lebihan hormon androgen yang merangsang pundi minyak secara berlebihan dan menyebabkan liang-liang roma tersumbat. Akibatnya, berlakulah jerawat.

Ketidakseimbangan hormon ini juga boleh disebabkan oleh haid, menopaus dan sindrom ovari polisistik.

Selain itu, ketidakseimbangan hormon juga boleh disebabkan oleh diet. Walaupun pada awalnya kajian mendapati perkaitannya adalah lemah, tetapi kajian yang dijalankan pada tahun 2007 oleh RMIT University, Australia mendapati diet yang rendah muatan glisemik boleh mengurangkan jerawat.

Solusi atau Rawatan

Bagi jerawat yang disebabkan hormon, solusi atau rawatan yang boleh dilakukan adalah dengan mengambil ubat anti-androgen atau ubat sapuan retinoid.

Selain itu, pengamalan minum air teh hijau setiap hari juga boleh membantu kerana teh hijau boleh mengurangkan keradangan dalam badan.

Sekiranya anda penggemar makanan segera atau makan manis, sila kurangkan atau tinggalkan tabiat makan ini untuk memulihkan masalah jerawat yang berlaku.

3. Punca Jerawat di Dahi dan Hidung

penyebab jerawat tumbuh didahi dan hidung

Punca jerawat tumbuh di dahi dan hidung dipercayai akibat daripada tekanan dan kualiti tidur. Selain itu, kerap menyentuh bahagian dahi dan hidung mengguankan jari atau tangan yang kotor juga boleh menjadi penyebab jerawat di kawasan ini.

Kawasan yang turut dikenali sebagai Zon-T (T-Zone) ini mempunyai kelenjar minyak lebih tinggi berbanding kawasan muka yang lain. Oleh itu, sekiranya berlakunya perubahan hormon, kawasan ini akan lebih terkesan.

Kajian dalam kalangan remaja di Singapura mendapati tekanan (stres) tidak memberi kesan kepada penghasilan minyak tetapi boleh menyebabkan jerawat semakin serius.

Kajian lain juga turut mendapati mereka yang bangun tidur dalam keadaan letih juga adalah lebih senang mempunyai jerawat.

Maka, ia menunjukkan stres dan gangguan tidur yang berkait dengan perubahan hormon boleh menyebabkan dahi berjerawat.

Solusi atau Rawatan

Mendapatkan tidur yang berkualiti serta menguruskan tekanan dengan baik boleh mengurangkan pembentukan jerawat di dahi dan hidung.

Ubat jerawat belian kaunter yang mengandungi asid salisilik (salicylic acid) dan benzoil peroksida (benzoyl peroxide) juga boleh membantu merawat jerawat di bahagian ini.

4. Punca Jerawat di Garis Rambut

penyebab jerawat tumbuh digaris rambut

Jerawat yang tumbuh disekitar garis rambut di bahagian dahi berpunca daripada produk rambut seperti minyak rambut. Jerawat ini juga digelar sebagai “jerawat pomade“.

Minyak dalam produk rambut ini boleh masuk ke liang-liang pori. Keadaan ini akan menghalang minyak semulajadi atau sebum daripada keluar. Akibatnya ia menyebabkan liang-liang pori tersumbat dan membentuk jerawat.

Sekiranya produk rambut menjadi punca kepada jerawat di bahagian garis rambut dan dahi anda, anda akan dapat perhatikan bintik putih dan bintat kecil di bahagian ini.

Produk-produk rambut yang berpotensi untuk menyebabkan jerawat di bahagian ini termasuklah gel, wax, pomade, syampu dan perapi rambut.

Solusi atau Rawatan

Sekiranya anda mendapati, jerawat kerap tumbuh di kawasan ini, hentikan penggunaan produk rambut tersebut dan gantikan dengan produk yang lain yang tidak menyebabkan jerawat.

Pilih produk yang mengandungi perkataan berikut:

  • Tidak menyumbat liang pori.
  • Bebas minyak.
  • Tidak komedogenik.
  • Tidak aknegenik.

Rumusan

Lokasi jerawat itu tumbuh boleh menjadi petunjuk kepada punca-punca yang menyebabkan jerawat ini.

Secara ringkasnya, jerawat di pipi adalah disebabkan oleh kotoran oleh barang yang selalu digunakan kita seperti telefon dan sarung bantal.

Jerawat di dagu dan rahang pula akan adalah disebabkan oleh hormon yang tidak stabil. Manakala, jerawat yang tumbuh di dahi atau hidung pula turut berkait dengan masalah hormon, tekanan dan kualiti tidur.

Akhir sekali, jerawat di garis rambut berpunca daripada produk rambut yang tidak sesuai yang menyebabkan liang roma tersumbat.

Oleh hal yang demikian, rawatan yang lebih berkesan boleh dilakukan setelah mengetahui punca jerawat ini.

Kemaskini terakhir 18 September 2020.

Write A Comment