Hidup dengan sakit urat saraf sudah pasti memberikan kesan terhadap kualiti hidup seseorang. Sesetengah sakit urat saraf mungkin boleh hilang dengan sendirinya. Manakala, sesetengah yang lain pula mungkin memerlukan rawatan untuk pulih. Justeru itu, artikel ini menyediakan petua menghilangkan sakit urat saraf yang boleh membantu anda mengatasi kesakitan tersebut.
Sakit urat saraf adalah disebabkan oleh kerosakan saraf. Lazimnya, ia disebabkan oleh masalah perubatan seperti penyakit diabetes, kesan sampingan ubat-ubatan, kemoterapi, alkoholisme dan kecederaan.
Saraf yang rosak lebih berkemungkinan tidak berfungsi, menghantar isyarat sakit apabila tiada sebab untuk sakit. Dalam perubatan, gangguan terhadap sistem saraf ini dikenali sebagai neuropati (neuropathy).

Berikut adalah beberapa petua menghilangkan sakit urat saraf yang boleh membantu anda mengurangkan gejala-gejala yang dialami.
1. Garam Epsom
Garam Epsom adalah bagus untuk melegakan sakit urat saraf apabila digunakan bersama-sama mandian panas. Garam ini tinggi dengan kandungan mineral magnesium yang mempunyai kesan menenangkan pada kesakitan.
Sekiranya anda mempunyai tub mandi, masukkan 2-3 cawan garam Epsom ke dalam tub mandian tersebut. Apabila garam tersebut telah larut, berendamlah selama 30 minit untuk melegakan kesakitan anda.
2. Cuka Epal
Cuka epal juga adalah makanan yang boleh membantu mengurangkan atau melegakan sakit urat saraf. Cuka ini mengandungi mineral-mineral yang boleh membantu menghilangkan sakit urat seperti magnesium, kalsium, fosforus dan kalium.
Amalkan meminum air suam bercampur cuka epal 2 kali sehari bagi mengurangkan kesakitan anda.
3. Tuaman Panas dan Sejuk
Tuaman panas dan sejuk adalah kaedah rawatan di rumah yang berkesan untuk mengurangkan kesakitan dan mengalakkan penyembuhan.
Tuaman panas boleh membawa lebih banyak darah ke tempat yang sakit dan mengurangkan kekakuan dan kekejangan otot.
Tuaman sejuk pula akan mengebaskan kawasan untuk melegakan kesakitan dan mengurangkan keradangan dan bengkak.
Walau bagaimanapun, tuaman panas tidak boleh digunakan selama 48 jam pertama selepas kecederaan atau permulaan kesakitan.
4. Kunyit
Kunyit juga merupakan herba yang mempunyai khasiat yang hebat terutamanya untuk mengurangkan atau melegakan keradangan.
Anda boleh mendapatkan manfaat kunyit ini dengan menambah 1-2 sudu teh serbuk kunyit ke dalam air panas atau susu panas. Minum campuran ini sekali sehari.
5. Mengawal Pengambilan Gula
Sakit urat saraf juga boleh mempunyai perkaitan dengan penyakit kencing manis atau diabetes. Penyakit diabetes yang kronik boleh menyebabkan kerosakan pada saraf yang menjurus kepada kesakitan. Keadaan ini dipanggil diabetic peripheral neuropathy. [1]
Langkah pengawalan terhadap pengambilan gula harian boleh membantu anda mengawal paras gula darah anda yang seterusnya mengurangkan risiko berlakunya diabetic peripheral neuropathy ini.
6. Teh Halia
Halia juga merupakan rempah yang turut kaya dengan pelbagai khasiat. Halia juga terkenal dengan sifat antiradangnya.
Terdapat kajian terhadap haiwan yang mendapati ekstrak halia dan sebatian aktif di dalamnya (6-shogaol) boleh mengurangkan gejala-gejala kesakitan bagi model haiwan yang mengalami neurofati diabetes. [2]
Anda boleh mengamalkan minuman teh halia setiap hari untuk mendapatkan khasiat halia ini.
7. Minyak Ikan
Minyak ikan sudah terbukti boleh meningkatkan kesihatan kardiovaskular. Walau bagaimanapun, dalam konteks merawat sakit urat saraf, ia masih kurang diketahui.
Terdapat kajian yang melaporkan bahawa minyak ikan boleh membantu mengurangkan kesakitan akibat daripada diabetic peripheral neuropathy. [3]
Oleh itu, pengambilan suplemen minyak ikan atau pemakanan ikan berlemak mungkin boleh membantu mengurangkan sakit urat saraf yang dialami anda.
8. Ginkgo Biloba
Ginkgo biloba adalah pokok yang telah ditanam sejak beribu tahun lamanya. Daun dan bijinya selalu digunakan dalam perubatan tradisional Cina. Dalam perubatan moden, ekstrak ginkgo biloba dihasilkan daripada daun pokok ini.
Ginkgo biloba mempunyai banyak khasiat. Antaranya adalah melawan keradangan dan meningkatkan pengaliran darah di seluruh badan.
Ginkgo biloba juga didapati boleh membantu merawat masalah sakit urat saraf. Kajian terhadap haiwan mendapati ekstrak Ginkgo biloba, EGb 761 boleh mengurangkan kesakitan urat saraf yang disebabkan oleh cuaca sejuk atau sentuhan ringan. [4]
9. Habbatus Sauda
Biji atau minyak Habbatus sauda juga boleh membantu mengurangkan sakit urat saraf. Khasiat atau kebaikan Habbatus sauda ini disumbang oleh kandungan sebatian aktifnya iaitu thymoquinone (TQ).
Terdapat kajian yang menunjukkan pengambilan TQ ini boleh mengurangkan sakit urat saraf dalam kalangan haiwan yang diuji melalui kesan antinoseseptif sebatian TQ tersebut. [5]
10. Berhenti Meminum Alkohol
Petua menghilangkan sakit urat saraf yang seterusnya adalah berhenti meminum alkohol atau arak.
Alkohol boleh menyebabkan kerosakan saraf. Menghindari minuman ini boleh membantu mencegah daripada gejala-gejala berkaitan dengan sakit urat saraf. [6]
11. Krim Lidocaine
Krim sapuan Lidocaine juga boleh membantu merawat sakit urat saraf.
Penggunaan lidocaine secara sapuan adalah selamat dan kurang atau tiada kesan sampingan. Kajian mendapati lidocaine ini berguna untuk sakit urat akibat kayap, sakit urat setempat dan juga sakit urat akibat neuropati diabetes. [7]
12. Akupunktur
Akupunktur adalah kaedah rawatan tradisional orang Cina yang boleh membantu melegakan pelbagai masalah kesihatan termasuklah sakit urat saraf.
Satu kajian semula yang melibatkan 15 kajian mendapati kaedah akupunktur adalah berkesan untuk merawat sakit urat saraf terutamanya dalam merawat neuropati diabetes, palsi Bell dan sindrom terowong karpal. [8]
Rumusan
Sakit urat saraf adalah sakit yang boleh disebabkan oleh banyak perkara termasuklah diabetes (penyakit kencing manis), ketagihan alkohol, kesan sampingan ubat-ubatan dan lain-lain lagi.
Terdapat beberapa petua menghilangkan sakit urat saraf yang boleh dicuba bagi menghilangkan sakit urat saraf tersebut. Antaranya seperti penggunaan tuaman panas dan sejuk, penggunaan garam Epsom, pengamalan meminum cuka epal dan lain-lain.
Selain itu juga, penjagaan kesihatan secara keseluruhnya boleh membantu mengurangkan risiko kepada sakit urat saraf ini.
Rujukan
- NIDDK. (2018). Peripheral Neuropathy
- Fajrin, F. A. et al. (2020). Ginger extract and its compound, 6-shogaol, attenuates painful diabetic neuropathy in mice via reducing TRPV1 and NMDAR2B expressions in the spinal cord. Journal of ethnopharmacology.
- Yorek M. A. (2018). Is Fish Oil a Potential Treatment for Diabetic Peripheral Neuropathy?. Current diabetes reviews.
- Kim, Y. S. et al. (2009). The effects of Ginkgo biloba extract EGb 761 on mechanical and cold allodynia in a rat model of neuropathic pain. Anesthesia and analgesia.
- Amin, B. et al. (2014). Effects of intraperitoneal thymoquinone on chronic neuropathic pain in rats. Planta medica.
- Robins, M. T. et al. (2019). From Pleasure to Pain, and Back Again: The Intricate Relationship Between Alcohol and Nociception. Alcohol and alcoholism.
- Baron, R. et al. (2009). 5% lidocaine medicated plaster versus pregabalin in post-herpetic neuralgia and diabetic polyneuropathy: an open-label, non-inferiority two-stage RCT study. Current medical research and opinion.
- Dimitrova, A. et al. (2017). Acupuncture for the Treatment of Peripheral Neuropathy: A Systematic Review and Meta-Analysis. Journal of alternative and complementary medicine.