Peningkatan usia menyebabkan kulit anda mula kehilangan keanjalan semula jadi. Keadaan ini mungkin merisaukan anda dan mungkin juga menjejaskan penampilan anda. Untuk mengatasi masalah ini, anda boleh mencuba petua menegangkan kulit muka yang dinyatakan di sini.
Peningkatan usia menyebabkan berlakunya penurunan terhadap penghasilan elastin iaitu sejenis protein yang memberikan keanjalan kepada kulit. Elastin terdapat dalam tisu penghubung lapisan dermis kulit.
Kedutan, kulit melendut atau garis-garis halus pada kulit merupakan tanda-tanda bahawa kulit anda semakin kekurangan elastin.

Secara saintifiknya, kulit yang kehilangan keanjalannya dipanggil elastosis. Terdapat beberapa faktor yang menyumbang kepada elastosis iaitu:
- Terdedah kepada cahaya matahari
- Penuaan
- Merokok
- Diet yang tidak sihat
- Pencemaran udara
Mujurlah terdapat beberapa petua yang boleh membantu menegangkan kulit muka anda. Anda boleh mencuba petua yang bersesuaian dengan anda.
Petua 1: Menggunakan Tepung Ubi Kayu dan Timun
Bahan-bahan yang diperlukan untuk petua pertama untuk menegangkan kulit muka ini adalah tepung ubi kayu dan timun batang.
Cara-cara menggunakannya adalah:
- Sagat atau hancurkan timun batang terlebih dahulu sehingga lumat.
- Kemudian, campurkan tepung ubi kayu dan timun tadi dengan sedikit air.
- Kacau sehingga kedua-duanya sebati menjadi seperti pes. Pastikan tidak terlalu cair.
- Selepas itu, sapukan ke muka dan biarkan ia kering.
- Kemudian, bilas dan bersihkan muka anda dengan air bersih.
Petua ini boleh membantu menegangkan kulit mula serta menjadikan kulit muka menjadi lebih putih dan segar.
Petua 2: Menggunakan Biji Manjakani
Petua kedua memerlukan biji manjakani. Anda boleh mendapatkan manjakani ini di mana-mana kedai jamu atau atas talian.
Cara-cara menggunakannya adalah:
- Rebus segenggam biji manjakani di dalam periuk tanah sehingga menggelegak dan pekat.
- Apabila sudah suam, sapukan air rebusan tersebut pada kulit muka atau bahagian kulit yang diinginkan.
- Biarkan sehingga kering dan cuci sehingga bersih.
- Amalkan setiap hari.
Petua 3: Menggunakan Kacip Fatimah
Kacip fatimah juga merupakan herba yang banyak digunakan oleh orang terdahulu untuk kesihatan wanita.
Kacip fatimah juga turut berkhasiat untuk kecantikan kulit wanita kerana ia boleh menghalang penghasilan melanin yang menggelapkan kulit serta memulihkan kesan radang pada kulit akibat terdedah lama kepada cahaya matahari. [1]
Ciri-ciri ini boleh mencegah penuaan kulit akibat sinaran UV yang berbahaya. Penuaan kulit akibat sinaran UV turut menyebabkan kedutan, pengurangan keanjalan kulit dan jeragat.
Cara-cara menggunakannya adalah:
- Rebus bahagian daun dan akar kacip fatimah di dalam periuk tanah.
- Jika anda menggunakan kaedah rebusan terbuka, rebus pada suhu 60°C selama 10 minit.
- Jika anda menggunakan kaedah rebusan tertutup, rebus pada suhu 100°C selama 10 minit.
- Jangan rebus terlalu lama kerana ia boleh menghilangkan zat atau khasiat kacip fatimah ini.
- Kemudian, minum air rebusan tersebut sekali sehari.
- Atau anda boleh mendapatkan produk-produk kacip fatimah yang dijual dipasaran.
Petua 4: Menggunakan Aloe Vera
Aloe vera atau gel aloe vera mempunyai banyak khasiat termasuklah untuk kesihatan kulit.
Gel aloe vera mengandungi sterol tumbuhan yang boleh merangsang penghasilan kolagen dan asid hialuronik pada lapisan kulit yang seterusnya dapat mengurangkan kedutan dan menegangkan kulit muka. [2]
Cara-cara menggunakannya adalah:
- Ambil lendir atau gel daripada daun aloe vera atau
- Beli gel aloe vera asli yang tidak dicampur dengan bahan lain.
- Sapukan gel tersebut di kawasan muka.
- Biarkan sehingga kering atau sekitar 15-30 minit.
- Kemudian, bilas muka anda dengan air bersih.
- Amalkan setiap hari.
Rujukan
- Choi, H. K. et al. (2010). Labisia pumila extract protects skin cells from photoaging caused by UVB irradiation. Journal of bioscience and bioengineering.
- Tanaka, M. et al. (2016). Effects of Aloe Sterol Supplementation on Skin Elasticity, Hydration, and Collagen Score: A 12-Week Double-Blind, Randomized, Controlled Trial. Skin pharmacology and physiology.