Kesihatan

10 Petua Hilangkan Batuk Kering Yang Mudah Diamalkan

Pinterest LinkedIn Tumblr

Batuk kering ialah batuk yang tidak berkahak atau bermukus. Bagaimana untuk merawatnya? Dapatkan petua hilangkan batuk kering yang mudah untuk diamalkan di sini.

Batuk kering juga dipanggil batuk tidak produktif. Batuk kering ini turut menyebabkan rasa tidak selesa, gatal atau geli pada tekak penghidapnya.

Batuk kering yang berterusan lebih 3 minggu dan disertai sakit dada, batuk berdarah, atau sakit ketika bernafas boleh menjadi petanda kepada penyakit Tuberkulosis atau Tibi.

Batuk kering juga boleh menjadi salah satu simptom jangkitan virus COVID-19.

Batuk kering boleh berlaku setelah anda mengalami demam atau selesema. Batuk ini juga boleh disebabkan beberapa punca lain seperti:

  • asma
  • asid refluks
  • titis postnasal
  • jangkitan virus
  • bahan iritasi seperti asap rokok atau habuk.
petua hilangkan batuk kering menggunakan teh halia

Petua hilangkan batuk kering ini mungkin mempunyai keberkesanan yang berbeza-beza bagi setiap individu. Anda mungkin perlu mencuba beberapa petua sehingga menemui petua yang berkesan.

Selain itu, sesetengah petua ini tidak dikaji secara menyeluruh dan mungkin keberkesanan tidak mencapai 100%. Jika anda mengalami batuk kering yang teruk, anda disarankan untuk mendapatkan rawatan di klinik atau hospital.

Berikut adalah 10 petua hilangkan batuk kering yang anda boleh cuba.

1. Madu

Madu mempunyai ciri-ciri antibakteria.

Tidak kira sama ada madu kelulut atau madu lebah biasa, kedua-duanya boleh digunakan untuk merawat batuk kering.

Terdapat kajian yang menunjukkan bahawa madu berkesan untuk mengurangkan simptom-simptom batuk terutamanya batuk pada waktu malam [1].

Selain itu, madu juga boleh dimakan oleh orang dewasa atau kanak-kanak.

Walau bagaimanapun, madu tidak sesuai kepada bayi yang berumur di bawah 1 tahun.

Cara penggunaan:

  • Makan sesudu teh, 3 kali sehari atau mengikut keperluan.
  • Madu ini boleh juga dicampurkan dalam teh atau minuman suam.

2. Kunyit & Lada Hitam

Petua hilangkan batuk kering yang seterusnya ialah menggunakan gabungan kunyit dan lada hitam.

Kunyit mengandungi bahan aktif iaitu kurkumin. Kurkumin ini bersifat antibakteria, antivirus dan antiradang. Ciri-ciri kurkumin ini bermanfaat kepada pelbagai masalah kesihatan termasuklah batuk kering.

Kunyit juga telah digunakan sebagai rawatan tradisional untuk merawat batuk, sakit tekak dan penyakit saluran pernafasan di Asia [2].

Untuk mendapatkan kesan yang maksima, kurkumin ini harus diambil bersama-sama lada hitam. Lada hitam ini boleh meningkatkan penyerapan kurkumin ke dalam darah.

Kajian mendapati piperina iaitu bahan aktif dalam lada hitam meningkatkan penyerapan kurkumin dalam darah sehingga 2000% [3].

Cara penggunaan:

Anda boleh hasilkan teh kunyit dengan mencampurkan bahan-bahan berikut ke dalam segelas air:

  • 1 sudu teh serbuk kunyit
  • 1/8 sudu teh serbuk lada hitam yang dikisar atau ditumbuk

Kemudian, didihkan campuran ini selama 5-7 minit. Campurkan 1 sudu teh madu. Minum selepas air ini sedikit suam.

3. Halia

Seperti kunyit, halia juga mempunyai ciri-ciri antibakteria, antivirus dan antiradang.

Kajian mendapati halia segar mempunyai kesan antivirus terhadap virus yang menyebabkan jangkitan pada saluran pernafasan manusia. Virus sinsitium pernafasan ini turut boleh menyebabkan simptom-simptom seperti batuk [4].

Halia juga kini mudah untuk didapati dalam bentuk teh halia. Produk teh seperti ini mudah untuk disediakan dan diminum.

Cara penggunaan:

  • Selain diambil dalam bentuk teh halia. Anda juga boleh mencampurkan potongan halia segar ke dalam air suam dan ditambah madu untuk meningkatkan kesannya.
  • Halia juga sekarang boleh didapati dalam bentuk makanan tambahan (supplement).

4. Daun Pudina

Daun pudina mengandungi bahan aktif yang dikenali sebagai mentol. Mentol ini boleh melegakan saluran pernafasan yang mengalami iritasi. Malah, mentol banyak digunakan dalam ubat batuk atau gula-gula lozeng.

Terdapat kajian yang mendapati mentol boleh mengurangkan iritasi di saluran pernafasan akibat daripada asap rokok [5].

Kajian yang dijalankan terhadap 60 orang pesakit yang mengalami jangkitan di saluran pernafasan mendapati minyak pati pudina boleh mengurangkan simptom-simptom jangkitan salur pernafasan ini [6].

Cara Penggunaan:

  • Anda boleh menambah daun pudina segar dalam minuman atau minum teh pudina yang boleh didapati di pasaran.
  • Minum teh pudina sebelum tidur boleh membantu mengurangkan batuk pada waktu malam.
  • Anda juga boleh menggunakan minyak pati pudina sebagai rawatan aromaterapi

5. Aromaterapi

Kaedah aromaterapi juga boleh membantu melegakan batuk kering.

Selain menggunakan minyak pati pudina, aromaterapi menggunakan minyak kayu putih (Eucalyptus) juga boleh membantu anda melegakan batuk kering. Minyak pati kayu putih ini telah digunakan sejak dahulu lagi untuk melegakan batuk.

Cara penggunaan:

  • Titiskan minyak pati kayu putih ke dalam semanggu air panas. Kemudian, sedut wap air panas ini.
  • Selain itu, anda boleh titiskan minyak pati kayu putih ini ke dalam salur resap (diffuser) dan biarkan terpasang dalam bilik anda.

6. Air Daun Jambu Batu

Selain buah jambu batu yang mempunyai banyak khasiat, daun jambu batu juga turut berkhasiat dalam melegakan batuk.

Kajian yang dijalankan terhadap haiwan mendapati ekstrak air daun jambu batu didapati boleh membantu mengurangkan kekerapan batuk. Ekstrak daun jambu batu kering turut didapati boleh merencatkan pembiakan bakteria jenis Staphylococcus aureus iaitu bakteria yang boleh menyebabkan pneumonia (radang paru-paru) [7].

Cara penggunaan:

  • Rebus beberapa helai daun jambu yang sudah dikeringkan.
  • Kemudian, minum air rebusan daun jambu batu ini.
  • Amalkan 2 atau 3 kali sehari.

7. Daun Pokok Ivy

Pokok Ivy atau lebih tepat English Ivy biasanya digunakan sebagai tumbuhan hiasan. Sebenarnya, daun pokok English Ivy ini telah digunakan sejak dahulu dalam perawatan tradisional untuk merawat batuk.

Daun pokok Ivy ini mempunyai ciri-ciri antiradang, antioksidan, antimikrobial dan antikejang.

Beberapa kajian mendapati ekstrak daun Ivy boleh membantu mengurangkan keterukan batuk dan radang pada tiub bronkus atau saluran pernafasan [8, 9].

Secara umumnya, penggunaan daun Ivy ini adalah selamat. Tetapi mungkin sesetengah orang mempunyai alahan terhadap daun ini. Daun Ivy juga tidak disarankan kepada kanak-kanak berusia di bawah 2 tahun.

Cara penggunaan:

Ekstrak daun Ivy ini ada digunakan dalam ubat batuk atau gula-gula lozeng.

Selain itu, daun Ivy ini boleh dijadikan teh herba. Cara-caranya adalah:

  • Ambil 1 sudu teh daun Ivy kering yang telah dihancurkan.
  • Campurkan ke dalam 250ml air panas.
  • Tambah 1 sudu madu untuk mengurangkan rasa pahit.
  • Biarkan selama 10 minit.
  • Minum 3 kali sehari.

8. Berkumur dengan Air Garam

Berkumur dengan air garam boleh melegakan ketidakselesaan dan iritasi yang terjadi di bahagian kerongkong akibat batuk kering ini.

Air garam ini boleh menarik kelembapan dari kawasan yang mengalami keradangan, kesannya ia boleh membantu mengurangkan bengkak atau iritasi.

Terdapat kajian yang melaporkan bahawa dengan berkumur dengan air garam 3 kali sehari dapat mengurangkan durasi batuk yang disebabkan demam [10].

Cara penggunaan:

  • Campurkan 1 sudu teh garam ke dalam segelas air suam.
  • Kemudian, berkumur sebanyak 3 kali sehari.

9. Gunakan Pelembap Udara

Pelembap udara atau air humidifier ini boleh membantu melembapkan udara kering di dalam rumah.

Udara kering juga boleh menyumbang kepada batuk kering. Pelembap udara boleh membantu membuka rongga hidung. Ini bermanfaat bagi masalah titis postnasal.

Pasang pelembap udara di bilik tidur anda terutamanya pada waktu malam bagi mengurangkan batuk kering ketika tidur.

10. Gunakan Pembersih Udara

Udara tercemar akibat daripada habuk, debu, asap rokok dan juga alergen seperti debunga dan sisik haiwan turut boleh menyebabkan batuk kering.

Alat pembersih udara boleh membantu membersihkan udara tercemar di dalam rumah anda. Ini boleh mengurangkan atau melegakan batuk kering yang berlaku.

Bila Perlu Berjumpa Doktor?

Batuk kering boleh berlaku berminggu-minggu lamanya.

Biasanya, batuk ini boleh berhenti sendiri atau dengan rawatan yang ringkas batuk ini boleh sembuh.

Walau bagaimanapun, jika batuk kering anda disertai dengan masalah atau simptom lain seperti:

  • Sukar bernafas
  • Sakit dada
  • Demam
  • Mengigil
  • Sakit belakang
  • Batuk berdarah
  • Sakit ketika bernafas

Sila dapatkan rawatan daripada doktor dengan segera.

Rumusan

Batuk kering adalah salah satu masalah kesihatan yang boleh mendatangkan ketidakselesaan kepada penghidapnya. Batuk pada waktu malam boleh menganggu tidur dan menyebabkan pesakit keletihan pada keesokkan harinya.

Oleh itu, adalah penting untuk mendapatkan rawatan yang dapat mengurangkan atau melegakan ketidakselesaan yang berlaku. Petua hilangkan batuk kering ini boleh membantu melegakan atau mengurangkan keterukan batuk kering anda. Keberkesanan petua ini mungkin berbeza-beza bagi setiap individu.

Sekiranya batuk ini masih berterusan walaupun sudah dirawat, sila berjumpa doktor.

Rujukan
Rujukan
  1. Paul, I. M., et al. (2007). Effect of honey, dextromethorphan, and no treatment on nocturnal cough and sleep quality for coughing children and their parentsArchives of pediatrics & adolescent medicine.
  2. Prasad S, Aggarwal BB. Turmeric, the Golden Spice: From Traditional Medicine to Modern Medicine. In: Benzie IFF, Wachtel-Galor S, editors. Herbal Medicine: Biomolecular and Clinical Aspects. 2nd edition. Boca Raton (FL): CRC Press/Taylor & Francis; 2011. Chapter 13.
  3. Gupta, S. C., et al. (2013). Therapeutic roles of curcumin: lessons learned from clinical trialsThe AAPS journal.
  4. Chang, J. S., et al.. (2013). Fresh ginger (Zingiber officinale) has anti-viral activity against human respiratory syncytial virus in human respiratory tract cell linesJournal of ethnopharmacology.
  5. Willis, D. N., et al. (2011). Menthol attenuates respiratory irritation responses to multiple cigarette smoke irritantsFASEB journal : official publication of the Federation of American Societies for Experimental Biology.
  6. Ben-Arye, E., et al. (2011). Treatment of upper respiratory tract infections in primary care: a randomized study using aromatic herbsEvidence-based complementary and alternative medicine.
  7. Jaiarj, P., et al. (1999). Anticough and antimicrobial activities of Psidium guajava Linn. leaf extractJournal of ethnopharmacology.
  8. Schaefer, A., et al. (2016). A randomized, controlled, double-blind, multi-center trial to evaluate the efficacy and safety of a liquid containing ivy leaves dry extract (EA 575®) vs. placebo in the treatment of adults with acute coughDie Pharmazie.
  9. Cwientzek, U., et al. (2011). Acute bronchitis therapy with ivy leaves extracts in a two-arm study. A double-blind, randomised study vs. an other ivy leaves extractPhytomedicine.
  10. Ramalingam, S., et al. (2019). A pilot, open labelled, randomised controlled trial of hypertonic saline nasal irrigation and gargling for the common cold. Sci Rep.