Alahan kulit adalah keadaan dimana kulit menjadi gatal-gatal atau ruam disebabkan oleh sentuhan atau terkena alergen. Artikel ini menerangkan beberapa petua hilangkan alahan kulit.
Alahan kulit turut dikenali dengan beberapa nama lain iaitu:
- Ekzema alergi
- Dermatitis alergi
- Dermatitis sentuh
- Dermatitis sentuh alergi
- Ekzema sentuh
Alahan kulit boleh berlaku seawal usia kanak-kanak dan alahan ini boleh berkait rapat dengan jangkitan bakteria, kulat dan virus.
Mereka yang mempunyai alahan kulit yang teruk bermungkinan turut menghidap asma, rinitis alergi (resdung) dan alahan makanan.

Punca Alahan Kulit
Alahan kulit berlaku akibat daripada sentuhan dengan alergen iaitu bahan yang boleh menyebabkan alahan.
Simptom-simptom alahan kulit mungkin tidak terus berlaku sebaliknya tindak balas ini mungkin berlaku sehari atau dua hari selepas anda bersentuhan dengan alergen.
Berikut adalah beberapa bahan yang boleh menyebabkan alahan ini:
- Nikel atau kromium (bahan logam yang boleh dijumpai pada barang perhiasan, kepala tali pinggang atau butang seluar).
- Bahan kimia yang digunakan dalam pembuatan syampu, losyen atau sabun.
- Minyak wangi.
- Bahan kimia yang digunakan dalam pewarna rambut
- Getah asli.
- Pengawet seperti formaldehid.
- Minyak bersifat antibakteria seperti neomycin dan bacitracin.
- Produk antibakteria dan antikulat seperti methylisothiazolinone.
- Turpentin.
Risiko seseorang itu untuk menghidap alahan kulit meningkat sekiranya terdapat ahli keluarga yang turut menghidap ekzema, alahan, resdung atau asma.
Simptom-simptom Alahan Kulit
Simptom-simptom alahan kulit ini berlaku setelah adanya sentuhan dengan alergen. Simptom yang berlaku mungkin berbeza-beza antara individu. Bagi sesetengah kes, simptom-simptom ini boleh merebak ke bahagian badan yang lain.
Antara simptom-simptom yang biasa berlaku termasuklah:
- Gatal-gatal
- Ruam
- Rasa sakit atau rasa hangat
- Kulit menjadi kemerah-merahan atau lebam merah
- Kulit menjadi kering, bersisik dan tebal
- Bengkak atau timbul biji-biji kecil yang berair
- Kulit melepuh
- Kulit berkerak, merekah dan berair
Petua Hilangkan Alahan Kulit
Alahan kulit yang tidak teruk biasanya boleh dirawat menggunakan ubat belian kaunter. Terdapat juga beberapa petua atau rawatan dirumah yang boleh diamalkan untuk hilangkan alahan kulit ini.
Petua atau rawatan dirumah boleh membantu melegakan atau mengurangkan simptom-simptom seperti gatal-gatal, kulit kering atau keradangan akibat alahan kulit ini.
Antara petua atau rawatan dirumah yang boleh dilakukan ialah:
1. Krim hidrokortison dan kalamin
Gunakan krim hidrokortison (hydrocortisone) dan kalamin (calamine) pada bahagian yang mengalami keradangan dan gatal-gatal.
Pakai ubat sapuan ini sehingga simptom-simptom alahan ini hilang atau sembuh.
2. Pakai pakaian yang lembut dan sejuk
Pakaian yang lembut dan sejuk (tidak tebal dan panas) boleh mengurangkan iritasi dan potensi untuk menggaru bahagian yang terkesan.
3. Probiotik
Satu analisis yang dijalankan terhadap 14 kajian mendapati probiotik boleh mengurangkan berlakunya ekzema dalam kalangan kanak-kanak berusia di bawah 2 tahun [1].
Probiotik boleh didapati dalam minuman yogurt yang dijual di pasaran.
4. Gel aloe vera
Gel aloe vera sememangnya mempunyai banyak khasiat atau kebaikan untuk kita. Gel ini diperolehi daripada patahan daun aloe vera ini.
Satu ulasan terhadap aloe vera melaporkan bahawa aloe vera mempunyai ciri-ciri antibakteria, antimikrobial, membantu penyembuhan luka dan meningkatkan sistem imun [2].
Sifat antibakteria dan antimikrobial aloe vera sangat bermanfaat untuk mencegah jangkitan kuman terutamanya ketika berlakunya kulit kering, berkerak dan merekah.
Selain itu, aloe vera ini juga boleh membantu penyembuhan luka bagi kulit yang merekah dan luka akibat digaru.
5. Minyak kelapa dara
Minyak kelapa boleh membantu melembapkan kulit, ini sangat bermanfaat untuk mereka yang mengalami alahan kulit tatkala kulit menjadi kering.
Minyak kelapa terutamanya minyak kelapa dara boleh membantu melegakan keradangan yang berlaku akibat alahan ini.
Kajian klinikal yang dijalankan terhadap 117 pesakit dermatitis atopi mendapati penggunaan minyak kelapa dara secara sapuan selama 8 minggu adalah lebih baik daripada minyak mineral biasa dalam memulihkan simptom-simptom yang berlaku [3].
6. Madu
Madu asli juga boleh digunakan untuk melegakan simptom-simptom alahan kulit. Madu bersifat antibakteria dan antiradang.
Satu ulasan kajian melaporkan bahawa madu sangat berguna dalam perawatan penyakit kulit termasuklah luka dan luka terbakar [4].
Selain itu, madu juga turut bersifat antibakteria yang boleh mencegah jangkitan bakteria terutamanya di bahagian kulit yang luka dan merekah.
7. Minyak tea tree
Minyak tea tree yang dihasilkan daripada daun pokok Melaleuca alternifolia ini juga bermanfaat untuk merawat masalah kulit seperti ekzema atau dermatitis.
Minyak tea tree mempunyai ciri-ciri antimikrobial, antiradang dan mempercepatkan penyembuhan luka. Minyak tea tree dilaporkan boleh mencegah jangkitan bakteria, virus, fungi dan protozoa [5].
Ciri-ciri ini boleh membantu melegakan kulit kering dan gatal serta mencegah jangkitan kuman.
8. Ubah diet pemakanan
Alahan kulit juga adalah salah satu bentuk keradangan yang menyebabkan kulit menjadi merah, lebam merah, melepuh dan sakit.
Sesetengah makanan mempunyai sifat antiradang yang boleh membantu mengurangkan keradangan yang berlaku.
Antara makanan bersifat antiradang yang mudah didapati adalah:
- halba
- lengkuas
- ikan haruan
- kunyit
- lada hitam
- tomato
Rawatan Perubatan Untuk Alahan Kulit
Rawatan perubatan untuk alahan kulit ini bergantung kepada tahap keterukan simptom yang berlaku.
Langkah awal yang harus dilakukan ialah mencuci kawasan kulit yang mengalami simptom-simptom alahan untuk menyingkirkan sebarang kesan tinggalan alergen.
Bagi kes-kes yang ringan, anda mungkin hanya memerlukan krim pelembap untuk memastikan kulit anda kekal lembap.
Namun bagi kes-kes yang teruk, rawatan daripada ubat-ubatan berikut mungkin diperlukan.
1. Krim kortikosteroid
Doktor mungkin akan memberikan krim kortikosteroid untuk melegakan simptom-simptom yang berlaku.
Rendam bahagian yang mengalami alahan dengan air garam. Kemudian, sapu bahagian yang mengalami alahan ini dengan krim kortikosteroid yang diberikan.
2. Ubat antibakteria
Sekiranya alahan yang berlaku turut melibatkan jangkitan bakteria, doktor akan memberikan ubat antibakteria dalam bentuk sapuan atau makan.
3. Ubat untuk mengawal keradangan
Sekiranya alahan yang berlaku adalah sangat teruk, doktor mungkin akan memberikan ubat makan kortikosteroid. Ubat ini adalah efektif tetapi tidak boleh diambil pada suatu jangka masa yang lama kerana mempunyai kesan sampingan yang serius.
4. Balutan basah
Kaedah rawatan ini melibatkan sapuan krim kortikosteroid di bahagian yang mengalami alahan dan dibalut dengan pembalut yang basah.
Kaedah ini memerlukan jururawat yang mahir untuk melakukan rawatan ini.
Langkah Pencegahan
Alahan kulit ini boleh berlaku secara berulang-ulang sekiranya adanya sentuhan dengan alergen. Oleh itu, penting untuk penghidap alahan ini mengambil langkah pencegahan bagi mengelakkan kejadian yang berulang-ulang.
Ambil langkah-langkah berikut sebagai langkah pencegahan:
- Gunakan sarung tangan ketika menjalankan kerja-kerja rumah atau menguruskan bahan kimia.
- Gunakan pelembap secara kerap bagi melindungi dan mengekalkan kelembapan kulit.
- Gunakan sabun yang lembut bagi mengelakkan kulit kering. Sabun antibakteria boleh menyebabkan kulit anda kering.
- Jauhi kawasan atau persekitaran yang boleh menyebabkan anda terdedah kepada alergen.
Rumusan
Alahan kulit atau nama lainnya ekzema alergi ialah keadaan yang menyebabkan gatal-gatal, ruam dan iritasi pada kulit akibat sentuhan dengan bahan penyebab alahan (alergen).
Simptom-simptom alahan ini boleh dikurang atau dilegakan dengan beberapa rawatan secara perubatan atau petua. Petua untuk hilangkan alahan kulit ini mungkin sesuai bagi alahan yang berlaku pada peringkat ringan atau sederhana.
Sekiranya anda mengalami alahan kulit yang teruk, adalah terbaik untuk mendapatkan rawatan perubatan daripada doktor.
Rujukan
- Dang, D., et al. (2013). Meta-analysis of probiotics and/or prebiotics for the prevention of eczema. The Journal of international medical research.
- Radha, M. H., & Laxmipriya, N. P. (2014). Evaluation of biological properties and clinical effectiveness of Aloe vera: A systematic review. Journal of traditional and complementary medicine.
- Evangelista, M. T., et al. (2014). The effect of topical virgin coconut oil on SCORAD index, transepidermal water loss, and skin capacitance in mild to moderate pediatric atopic dermatitis: a randomized, double-blind, clinical trial. International journal of dermatology.
- Samarghandian, S., et al. (2017). Honey and Health: A Review of Recent Clinical Research. Pharmacognosy research.
- Pazyar, N., et al. (2013). A review of applications of tea tree oil in dermatology. International journal of dermatology.