Apa itu Japanese Encephalitis?
Penyakit Japanese Encephalitis (JE) ialah jangkitan virus pada otak yang menular melalui gigitan nyamuk. Virus ini ditemui pada babi dan burung serta tersebar kepada nyamuk apabila mereka menggigit haiwan yang dijangkiti. Ia tidak boleh disebarkan dari individu ke individu lain.
Penyakit Japanese Encephalitis (JE) telah berlaku di kebanyakan negara-negara Asia seperti Kemboja, China, Indonesia, India, Jepun, Nepal, Sri Lanka, Laos, Malaysia, Myanmar, Filipina, Korea, Thailand, Vietnam, India serta kawasan di Selatan-Timur Persekutuan Rusia.
Kes pertama penyakit JE telah didokumenkan pada tahun 1871 di Jepun. Di Malaysia, kes JE dilaporkan secara sporadik (kes-kes terpencil).
Kajian literatur menganggarkan hampir 68,000 kes klinikal JE di seluruh dunia setiap tahun, dengan kira-kira 13,600 hingga 20,400 kematian.

Kebanyakan orang dewasa di negara endemik mempunyai imuniti semula jadi selepas jangkitan pada zaman kanak-kanak. Walau bagaimanapun, individu pada sebarang umur masih boleh terjejas.
Tanda-tanda dan Gejala Jangkitan JE
Kebanyakan jangkitan JE tidak menunjukkan tanda dan gejala. Dianggarkan 1 pesakit dalam 250 yang dijangkiti menunjukkan gejala penyakit.
Tanda-tanda atau gejala yang biasa berlaku adalah:
- Demam
- Loya
- Muntah
- Sakit kepala
Bagi kanak-kanak, tanda atau gejala yang boleh berlaku adalah:
- Sakit perut
- Muntah
- Demam panas
- Sakit kepala
- Kekakuan leher
- Koma
- Sawan
- Kelumpuhan spastik
Punca
Penyakit Japanese Encephalitis berpunca daripada virus JE daripada genus Flavivirus di dalam keluarga Flaviviridae.
Virus ini disebarkan kepada manusia melalui gigitan nyamuk Culicine iaitu Culex tritaeniorhynchus, Culex vishnui, Culex gelidus dan Culex fuscocephala yang dijangkiti virus JE.
Babi dan pelbagai burung liar akan dijangkiti penyakit JE terlebih dahulu sebelum virus JE menjangkiti manusia melalui gigitan nyamuk. Manusia tidak dianggap sebagai perumah untuk penyebaran virus dan jangkitan daripada manusia ke manusia tidak pernah didokumenkan.
Tempoh pengeraman iaitu tempoh mula-mula jangkitan sehingga menunjukkan gejala adalah selama 4-14 hari.
Rawatan Penyakit Japanese Encephalitis
Tiada rawatan khusus untuk pesakit JE. Walau bagaimanapun rawatan di hospital adalah penting untuk perawatan sokongan dan pengawasan rapi.
Pesakit dinasihatkan agar mendapatkan rehat yang mencukupi, meminum air yang banyak dan mengambil ubat berdasarkan kepada nasihat doktor untuk melegakan gejala penyakit.
Komplikasi
Kesan daripada gejala penyakit ini boleh menjadi serius termasuklah kecacatan otak dan kematian. Kadar kematian adalah sehingga 60% untuk pesakit yang menunjukkan gejala manakala lebih kurang 30% pesakit akan mengalami kerosakan pada sistem saraf pusat.
Pencegahan
Oleh sebab penyakit Japanese Encephalitis tersebar melalui gigitan nyamuk, langkah mencegah penyakit ini adalah mencegah diri anda daripada gigitan nyamuk.
Langkah-langkah pencegahan yang boleh dilakukan adalah:
- Gunakan ubat penjauh serangga (insect repellant) pada kulit yang terdedah berdasarkan panduan yang diberikan oleh syarikat pengeluar untuk aktiviti luar terutama di waktu senja hingga subuh.
- Musnahkan tempat-tempat pembiakan nyamuk dan lakukan pemeriksaan 10 minit seminggu untuk memastikan kawasan persekitaran anda bebas daripada pembiakan nyamuk.
- Pakai pakaian berlengan panjang dan seluar panjang. Elakkan memakai pakaian berwarna gelap (kerana warna gelap akan menarik perhatian nyamuk).
- Kurangkan aktiviti luar bagi mengurangkan pendedahan kepada gigitan nyamuk terutamanya di lokaliti bermasalah penyakit JE.
- Gunakan semburan racun serangga, lingkaran ubat nyamuk atau kepingan penghalau nyamuk.
- Suntikan vaksin JE akan hanya diberikan kepada penduduk berisiko tinggi di lokaliti berlakunya wabak. Di negeri Sarawak di mana program vaksinasi JE diberikan kepada semua bayi yang baru lahir yang berumur 9 bulan dan ke atas.
Rujukan
- World Health Organization. (2019). Japanese encephalitis.
- Centers for Disease Control and Prevention. Japanese Encephalitis.