Kesihatan

Penyakit Angin Pasang (Hernia): Semua Yang Anda Perlu Tahu

Pinterest LinkedIn Tumblr

Penyakit angin pasang atau hernia boleh terjadi kepada lelaki dan wanita. Penyakit ini berlaku apabila tisu atau organ dalam badan membonjol keluar melalui bahagian dinding otot yang lemah. Sebagai contoh, usus membonjol keluar melalui kawasan lemah di dinding perut.

Artikel ini akan menerangkan perkara-perkara yang anda perlu tahu mengenai penyakit angin pasang seperti:

Kawasan yang lazimnya berlaku angin pasang (hernia) adalah di perut iaitu diantara dada dan pinggul. Tetapi penyakit angin pasang ini boleh juga terjadi di kawasan pangkal paha atau kelangkang.

Pada peringkat awal, angin pasang ini mungkin tidak berbahaya hingga mengancam nyawa tetapi panyakit ini harus dirawat kerana tidak sembuh dengan sendirinya.

penyakit angin pasang (hernia)
Penyakit angin pasang atau hernia
Credit image: National Institute of Diabetes and Digestive and Kidney Diseases (NIDDK)

Punca Angin Pasang (Hernia)

Punca atau penyebab angin pasang adalah akibat daripada sebahagian daripada otot di badan yang lemah yang terbentuk sejak lahir lagi. Penyakit ini juga boleh berpunca daripada peningkatan usia dan tegangan yang berulang-ulang di bahagian perut dan kelangkang.

Beberapa penyebab lain yang boleh menyebabkan angin pasang adalah:

  • Mengangkat objek berat atau senaman yang berat
  • Obesiti
  • Ada cecair di dalam ruang abdomen (perut)
  • Sembelit yang menyebabkan anda meneran semasa membuang air besar.
  • Batuk yang kerap
  • Mengandung
  • Penyakit paru-paru kronik

Jenis dan Simptom-simptom Angin Pasang (Hernia)

Terdapat beberapa jenis penyakit angin pasang (hernia) yang paling biasa berlaku iaitu:

1. Hernia inguinal

Hernia inguinal ialah penyakit angin pasang yang paling banyak dihidapi oleh lelaki dan wanita. Hernia inguinal berlaku apabila sebahagian usus membonjol keluar melalui kawasan lemah atau koyakan di dinding abdomen selalunya di saluran (kanal) inguinal.

Simptom-simptom hernia inguinal adalah:

  • Bonjolan di satu bahagian tulang pubis (kanan atau kiri). Bonjolan ini kelihatan jelas ketika anda berdiri atau batuk
  • Rasa sakit di bonjolan tersebut
  • Rasa sakit dan tidak selesa di kelangkang terutamanya ketika membongkok, batuk atau mengangkat barang
  • Rasa tekanan dan lemah dibahagian kelengkang
  • Rasa sakit dan bengkak di sekitar testikel

2. Hernia femoral

Saluran femoral ialah saluran di mana salur darah arteri, vena dan saraf femoral keluar daripada abdomen untuk memasuki kawasan peha. Hernia femoral berlaku apabila terdapat tisu lemak atau sebahagian usus membonjol keluar di bahagian bawah lipatan kelangkang atau di bahagian tengah peha.

Hernia jenis ini lebih banyak berlaku kepada wanita dan lebih berisiko untuk tidak bersifat pasang surut (irreducible) dimana ia tidak boleh ditolak masuk.

Pada peringkat awal, hernia femoral tidak menunjukkan sebarang simptom. Apabila bonjolan telah menjadi besar, ia akan mendatangkan kesakitan dan beberapa simptom.

Simptom-simptom hernia femoral ini menandakan penyakit ini berada pada tahap berbahaya dan teruk:

  • Sakit perut yang teruk
  • Loya dan muntah-muntah
  • Sakit pada bahagian kelangkang secara tiba-tiba

3. Hernia hirisan

Hernia hirisan boleh berlaku sekiranya seseorang itu pernah menjalani pembedahan. Dinding abdomen yang dihiris akan mengalami perubahan dari segi struktur dan menyebabkan bekas hirisan ini menjadi lemah.

Antara simptom-simptom hernia hirisan adalah seperti berikut:

  • Bonjolan di kawasan pembedahan (hirisan)
  • Rasa sakit atau hangat di kawasan bonjolan
  • Rasa sakit atau tidak selesa di perut terutamanya dikawasan hernia
  • Sembelit
  • Cirit-birit
  • Deyutan jantung yang laju daripada biasa

4. Hernia umbilikal

Hernia umbilikal biasanya terjadi kepada bayi dan kanak-kanak. Bonjolan ini berlaku berdekatan pusat bayi atau kanak-kanak. Biasanya, bonjolan ini akan hilang dengan sendirinya apabila otot dinding abdomen kanak-kanak ini menjadi lebih kuat sekitar usia 1 atau 2 tahun.

Sekiranya hernia umbilikal ini tidak hilang selepas kanak-kanak ini berusia 5 tahun, pembedahan mungkin diperlukan.

Hernia umbilikal boleh juga berlaku dalam kalangan orang dewasa. Hernia jenis ini lebih lazim berlaku dalam kalangan wanita berbanding lelaki dengan nisbah 3:1.

5. Hernia hiatus

Hernia hiatus berlaku apabila sebahagian daripada perut membonjol ke atas melalui diafragma ke dalam ruang dada. Diafragma ialah lapisan otot yang membantu anda bernafas.

Hernia jenis ini biasanya berlaku kepada golongan yang berusia 50 tahun ke atas.

Simptom-simptom hernia hiatus adalah:

  • Asid refluks
  • Pedih ulu hati
  • Sukar untuk menelan
  • Sesak nafas
  • Sakit dada atau perut
  • Muntah darah
  • Najis hitam
  • Regurgitasi makanan atau cecair ke dalam mulut (jeluak)

Angin Pasang Surut vs. Angin Pasang Tidak Surut

Biasanya penyakit angin pasang ini dikelaskan sebagai angin pasang surut dan angin pasang tidak surut.

  • Angin pasang surut (reducible): Angin pasang surut boleh ditolak masuk kembali ke dalam abdomen. Angin pasang ini juga mungkin boleh mengecut ketika anda baring.
  • Angin pasang tidak surut (irreducible): Angin pasang tidak surut merupakan bonjolan besar yang tidak boleh masuk semula ke dalam abdomen.

Angin pasang tidak surut boleh menjadi angin pasang terbelit (strangulated hernia) apabila isi kandungan bonjolan seperti usus telah mengalami kekurangan darah akibat jerutan salur darah di lubang bukaan hernia.

Diagnosa Angin Pasang (Hernia)

Bagi tujuan diagnosa, doktor mungkin akan menjalankan pemeriksaan fizikal dan melihat kembali sejarah perubatan anda seperti simptom-simptom yang dialami, pekerjaan (sekiranya melibatkan mengangkat barang berat), sejarah keluarga atau pernah menjalani pembedahan.

Selain itu, beberapa ujian yang mungkin dilakukan ialah:

  • Ujian ultrabunyi (ultrasound) di bahagian abdomen
  • Imbasan CT (CT scan)
  • Imbasan MRI (MRI scan)
  • Endoskopi (Endoscopy)

Rawatan Angin Pasang (Hernia)

Umumnya, penyakit angin pasang ini memerlukan pembedahan. Rawatan akan bergantung kepada jenis angin pasang dan juga sama ada ia boleh surut atau tidak surut atau berkemungkinan terbelit.

Sekiranya pembedahan perlu dilakukan, terdapat dua prosedur utama pembedahan iaitu:

1. Pembedahan Terbuka

Bagi prosedur ini, pakar bedah akan melakukan hirisan di bahagian berlakunya angin pasang dan menolak masuk tisu atau bahagian organ yang membonjol keluar.

Pakar bedah akan menjahit kawasan lemah ini dan biasanya dikuatkan dengan jejaring sintetik (hernioplasti).

2. Laparskopi

Prosedur ini melibatkan penggunaan tiub kecil yang dilengkapi kamera kecil (laparskop) yang dimasukkan melalui satu hirisan. Pakar bedah akan memasukkan alat bedah lain melalui satu hirisan lain untuk membaiki angin pasang ini menggunakan jejaring sintetik.

Prosedur laparskopi ini dapat mengurangkan rasa tidak selesa selepas pembedahan dan mengurangkan parut akibat pembedahan. Pesakit juga lebih cepat sembuh.

Rawatan Tanpa Pembedahan

Sekiranya pembedahan tidak dilakukan atas faktor kesihatan atau berisiko rendah. Beberapa pendekatan lain yang mungkin diambil oleh doktor adalah:

1. Pemeriksaan secara berkala

Ada juga keadaan dimana hernia yang berlaku mempunyai bukaan yang besar di mana risiko untuk terjerut adalah sangat rendah dan pembedahan untuk menutup bukaan tersebut adalah rumit.

Doktor mungkin menyarankan pemeriksaan secara berkala sahaja.

2. Memakai bengkung hernia atau pakaian dalam hernia

Sekiranya angin pasang atau hernia yang berlaku adalah jenis boleh surut. Pemakaian bengkung hernia atau pakaian dalam hernia (trus hernia).

Biasanya trus hernia ini direka untuk lelaki yang menghidap hernia inguinal. Terdapat juga bengkung hernia yang direka untuk penghidap hernia umbilikal.

Walau bagaimanapun, pemakaian trus hernia ini bukanlah rawatan yang boleh menyembuhkan penyakit angin pasang ini, sebaliknya ia hanyalah untuk melegakan ketidakselesaan secara sementara.

Dapatkan nasihat doktor sebelum anda menggunakan trus hernia ini.

3. Ubat-ubatan

Bagi penyakit angin pasang tidak surut, doktor mungkin akan mencuba untuk menyurutkan atau memasukkan semula angin pasang dengan bantuan ubat tahan sakit dan ubat peregang otot.

Jika cubaan ini gagal, pembedahan perlu dilakukan.

Bagi hernia hiatus pula, ubat preskripsi atau belian kaunter yang boleh mengurangkan asid perut boleh mengurangkan ketidakselesaan atau simptom-simptom.

Rawatan Dirumah atau Petua Angin Pasang

Rawatan dirumah atau petua bagi penyakit angin pasang adalah lebih kepada penjagaan diri bagi mengelakkan simptom-simptom yang berlaku menjadi lebih buruk.

Pesakit harus mengamalkan langkah-langkah berikut:

  • Elakkan aktiviti-aktiviti yang boleh memberikan tekanan dalam abdomen seperti batuk, mengangkat objek berat dan meneran.
  • Sekiranya anda harus meneran semasa membuang air besar atau kecil, anda harus mendapatkan pemeriksaan untuk mengetahui punca sebenar. Mungkin disebabkan sembelit atau pembesaran kelenjar prostat.
  • Gunakan pek ais pada kawasan bonjolan yang mengalami keradangan, kemerahan atau kesakitan.
  • Minum air halia untuk membuang angin atau kembung perut yang mungkin terjadi akibat angin pasang.
  • Bersenam dengan senaman ringan seperti berjalan-jalan, berjoging atau berenang.
  • Elakkan senaman berat seperti mengangkat berat.
  • Turunkan berat badan sekiranya anda mengalami berat badan berlebihan (obesiti)
  • Banyakkan makanan berserat supaya dapat mengelakkan sembelit.
  • Makan pada kuantiti yang sedikit pada satu-satu masa.

Makanan yang Perlu Dielakkan Ketika Angin Pasang

Penghidap angin pasang terutamanya penghidap hernia hiatus (hiatal hernia) harus mengubah sedikit cara pemakanan mereka bagi membantu mengurangkan simptom-simptom yang berlaku.

Antara jenis makanan yang perlu dielakkan ketika angin pasang adalah:

  • Makanan yang terdiri daripada karbohidrat bertapis. Karbohidrat bertapis ialah makanan yang telah diproses yang sangat rendah atau tiada serat. Makanan jenis ini meningkatkan risiko untuk anda menghidap sembelit. Contoh makanan bertapis ialah roti putih, pasta, nasi putih atau kuih-muih yang diperbuat daripada tepung gandum.
  • Makanan pedas dan berasaskan tomato. Makanan pedas dan berasaskan tomato boleh menyebabkan asid refluks.
  • Makanan bergoreng. Makanan bergoreng juga boleh menyebabkan asid refluks.
  • Minuman berkarbonat.
  • Minuman berkafein.
  • Arak.

Penghidap angin pasang juga harus menghindari makan makanan berat atau banyak pada satu-satu masa. Elakkan juga daripada baring selepas makan.

Angin Pasang Bayi

Angin pasang umbilikal atau hernia umbilikal adalah yang paling lazim berlaku terhadap bayi. Kira-kira 10% hingga 20% bayi baru lahir mengalami angin pasang umbilikal.

Angin pasang jenis ini juga turut biasa terjadi dalam kalangan bayi yang dilahirkan pramatang atau berat lahir rendah (low birth weight).

Angin pasang umbilikal berlaku berdekatan pusat akibat otot di kawasan lubang tali pusat tidak tertutup secara sempurna. Ini menyebabkan sebahagian daripada usus membonjol keluar.

Anda boleh melihat bonjolan ini dengan lebih jelas kita bayi anda menangis atau batuk. Kebiasaanya, angin pasang umbilikal ini tidak mendatangkan kesakitan.

Namun, jika anak anda menunjukkan simptom-simptom seperti muntah, sakit atau bengkak di kawasan bonjolan , dapatkan rawatan dengan segera.

Angin pasang umbilikal biasanya akan pulih dengan sendirinya apabila kanak-kanak tersebut mencapai usia 1 atau 2 tahun. Sekiranya, angin pasang ini masih tidak hilang selepas kanak-kanak ini berusia 5 tahun, pembedahan mungkin diperlukan.

Komplikasi

Penyakit angin pasang yang tidak dirawat boleh menyebabkan komplikasi yang lebih serius. Bonjolan yang berlaku boleh membesar dan menyebabkan gejala yang lebih serius dan berbahaya.

Wanita yang menghidap angin pasang lebih berisiko tinggi untuk mendapat komplikasi. Oleh itu, wanita lebih disarankan untuk menjalani rawatan penbedahan walaupun tidak mengalami simptom-simptom.

Sekiranya angin pasang yang tidak surut berlaku dan berpanjangan menjadi angin pasang terbelit, keadaan ini boleh membahayakan nyawa jika tidak dirawat.

Antara komplikasi lain yang boleh berlaku termasuklah:

  • Bonjolan yang terjadi berubah warna daripada merah kepada ungu gelap.
  • Sakit yang tiba-tiba menjadi teruk
  • Demam
  • Tidak dapat kentut atau membuang air besar
  • Loya atau muntah

Langkah Pencegahan Angin Pasang (Hernia)

Anda mungkin tidak dapat menghalang penyakit angin pasang daripada berlaku secara 100%. Tetapi dengan sedikit perubahan terhadap cara hidup boleh mencegah daripada berlakunya penyakit ini.

Berikut adalah beberapa langkah pencegahan yang boleh dilakukan.

  • Berhenti merokok
  • Kekalkan berat badan yang ideal
  • Gunakan kekuatan lutut semasa mengangkat barang berat berbanding menggunakan kekuatan pinggang
  • Elakkan mengangkat barang yang sangat berat untuk diri anda
  • Cuba elakkan daripada meneran semasa membuang air kecil atau besar
  • Makan makanan berserat bagi mengelakkan sembelit
  • Lakukan senaman yang boleh menguatkan otot perut
  • Dapatkan rawatan sekiranya anda batuk

Rujukan
Rujukan