Adakah pedal ayam tak elok untuk kesihatan? Jawapan mudahnya adalah ya dan tidak. Hal ini demikian kerana pedal ayam ini mengandungi kebaikan dan keburukannya. Ia bergantung kepada jumlah yang anda makan.
Pedal ayam adalah bahagian perut ayam yang menghancurkan makanan. Ia adalah salah satu daripada dua organ dalaman ayam yang sering dimakan.
Sekiranya dimakan secara bersederhana, pedal ayam adalah sumber yang baik untuk anda mendapatkan tenaga, protein, dan pelbagai nutrien yang lain.

Walau bagaimanapun, sekiranya anda memakannya secara berlebihan, ia mungkin boleh mendatangkan risiko kesihatan terutamanya jika anda sememangnya mempunyai penyakit kronik.
Untuk membuat penilaian yang lebih adil, adalah penting untuk kita mengetahui kebaikan dan keburukan pedal ayam tersebut terhadap kesihatan.
Kebaikan Pedal Ayam
Walaupun ia adalah organ dalaman, pedal ayam masih mempunyai kebaikan. Berikut adalah beberapa kebaikan pedal ayam:
1. Kaya dengan Pelbagai Nutrien
Bagi setiap 100 gram pedal ayam yang dimasak, terdapat nutrien-nutrien berikut:
- Kalori/Tenaga: 154 kcal
- Protein: 30.4 gram
- Kalsium: 17 miligram
- Zat besi: 3.19 miligram
- Magnesium: 3 miligram
- Fosforus: 189 miligram
- Kalium: 179 miligram
- Zink: 4.42 miligram
- Tembaga: 0.161 miligram
- Selenium: 41.1 mikrogram
- Vitamin B1: 0.03 miligram
- Vitamin B2: 0.21 miligram
- Vitamin B3: 3.12 miligram
- Vitamin B5: 0.47 miligram
- Vitamin B6: 0.07 miligram
- Folat: 5 mikrogram
- Vitamin B12: 1.04 mikrogram
- Vitamin E: 0.2 miligram
2. Boleh Membantu Membina Otot
Pedal ayam tinggi dengan kandungan protein dan tidak mengandungi karbohidrat. Ini menjadikan ia sebagai salah satu makanan yang sesuai untuk membina otot dan mengenyangkan.
3. Boleh Mencegah Anemia
Pedal ayam juga adalah sumber makanan yang tinggi dengan mineral zat besi.
Zat besi adalah mineral yang penting untuk menghasilkan hemoglobin iaitu protein di dalam sel-sel darah merah. Kekurangan hemoglobin boleh membawa kepada keadaan yang dipanggil anemia.
Selain itu, kandungan vitamin B12 dalam pedal ayam juga boleh membantu mencegah anemia megaloblas iaitu penyakit darah yang menyebabkan seseorang itu lemah dan penat.
4. Tinggi dengan Selenium
Selenium adalah nutrien yang diperlukan oleh badan untuk fungsi-fungsi seperti reproduktif, fungsi kelenjar tiroid, penghasilan DNA dan bertindak sebagai antioksidan.
Bagi 100 gram pedal ayam yang dimasak, terdapat 41.1 mikrogram selenium iaitu melebihi 100% cadangan pengambilan nutrien bagi orang dewasa di Malaysia.
5. Boleh Membantu Menguatkan Sistem Imun
Memakan pedal ayam juga boleh membantu menguatkan sistem imun kerana ia tinggi dengan kandungan mineral zink.
Mineral zink adalah mineral yang membantu menguatkan sistem imun dalam melawan jangkitan bakteria dan virus.
Selain itu, mineral zink juga turut membantu dalam pemulihan luka.
Keburukan Pedal Ayam
Walaupun mempunyai banyak kebaikan, beberapa perkara yang harus diberi perhatian adalah pedal ayam tinggi dengan kandungan kolesterol.
1. Tinggi Kolesterol
Bagi anda yang mempunyai paras kolesterol darah yang tinggi, anda perlu mengehadkan pengambilan makanan seperti pedal ayam.
Bagi anda yang sihat pula, kaedah terbaik untuk memakan pedal ayam adalah secara bersederhana dan tidak berlebihan.
2. Mengandungi Purina
Bagi anda menghidap penyakit gout, adalah tidak digalakkan untuk memakan pedal ayam kerana kandungan purinanya.
Paras purina yang tinggi dalam badan boleh meningkatkan paras asid urik yang seterusnya mencetuskan serangan gout.
Walaupun, kandungan purina pedal ayam dikelaskan pada paras sederhana, namun adalah mudah untuk anda terlebih makan makanan ini.
3. Kualiti Daging
Terdapat juga kebimbangan mengenai kualiti daging organ seperti pedal ayam ini.
Kebanyakan ayam pedaging dibesarkan dengan cara tidak sihat, diberikan hormon tumbesaran dan makanan untuk menggemukkan.
Biasanya, kita boleh melihat lemak-lemak yang terbentuk disekeliling organ ini.
Pada asasnya, jika haiwan itu menjalani kehidupan yang tidak sihat, organ dalaman haiwan tersebut juga tidak akan sihat.
Sekiranya anda mempunyai pilihan, pilihan daging organ daripada haiwan yang dibesarkan secara organik.
Rumusan
Secara ringkasnya pedal ayam mempunyai kebaikan dan keburukan kepada kesihatan bergantung kepada status kesihatan seseorang dan jumlah yang diambil.
Bagi individu yang sihat, pengambilan daging organ ini secara bersederhana boleh membekalkan nutrien-nutrien yang penting untuk fungsi badan.
Manakala, bagi individu yang mempunyai paras kolesterol darah yang tinggi dan menghidap gout, pedal ayam tidak disarankan.