Nutrisi

Ovalette: Fungsi, Kegunaan dan Status Halal

Pinterest LinkedIn Tumblr

Mereka yang selalu membuat kek mesti pernah dengar nama Ovalette. Jika tidak pernah tahu apa itu Ovalette, maka anda berada di tempat yang betul.

Artikel ini akan menerangkan:

  • Apa itu Ovalette
  • Fungsi dan kegunaan Ovalette
  • Produk atau jenama yang mempunyai sijil halal
  • Adakah selamat digunakan?
ovalette digunakan untuk membuat kek span

Apa itu Ovalette?

Ovalette ialah produk bagi penstabil dan pengemulsi kek yang biasanya digunakan dalam pembuatan kek seperti kek span. Ovalette turut dikenali dengan nama lain seperti Ovalett, Ovalet, penstabil kek span (sponge cake stabilizer) atau pengemulsi (emulsifier).

Pengemulsi ialah bahan tambahan (aditif) yang digunakan untuk menstabilkan dua bahan yang tak terlarut campur seperti minyak dan air.

Ovalette ini biasanya mudah didapati dan dikenali di negara-negara Asia walaupun pengeluarnya ada yang bukan dari negara-negara Asia seperti Turki, Australia, New Zealand, Switzerland dan Itali.

Produk yang berbentuk seperti pes dan berwarna kuning ini biasanya dijual dalam bentuk pukal. Tetapi boleh juga didapati dalam bentuk pek kecil di kedai-kedai yang menjual bahan membuat kek.

Bergantung kepada pengeluarnya, bahan-bahan yang digunakan untuk menghasilkan produk ini asasnya mengandungi:

  • Monogliserida (Monoglyceride) atau Emulsifier E471
  • Poligliserol (Polyglycerol) atau Emulsifier E475
  • Sorbitol E420 (humektan / pelembap)
  • Tartrazine E102 (pewarna)
  • Air

Monogliserida ini dihasilkan daripada proses gliserolisis antara trigliserida (lemak) dan gliserol. Trigliserida ini diambil daripada lemak tumbuhan atau haiwan [1].

Monogliserida ini juga turut dikenali sebagai Glycerol monostearate (GMS).

Kod E471 pula merujuk kepada kelas aditif makanan yang terdiri daripada monogliserida (monoglyceride) dan digliserida (diglyceride) [2].

Poligliserol atau nama panjangnya Polyglycerol esters of fatty acids (E475) ialah campuran poligliserol yang terdiri daripada monogliserol, digliserol, trigliserol dan tetragliserol dengan asid lemak [3].

Oleh kerana monogliserida ini boleh dihasilkan daripada lemak haiwan. Maka, adalah penting bagi umat Islam untuk mendapatkan produk yang mempunyai pengesahan HALAL oleh pihak JAKIM.

Fungsi dan Kegunaan Ovalette

Fungsi dan kegunaan Ovalette adalah sebagai penstabil atau pengemulsi bagi bater atau adunan supaya kek yang dihasilkan menjadi lebih lembut dan gebu.

Bater ialah adunan cair yang terbentuk daripada campuran tepung, cecair serta ramuan lain seperti telur dan susu yang digunakan untuk membuat kek, mufin dan sebagainya.

Produk penstabil ini akan membantu telur yang dipukul agar senang untuk naik dan kembang. Selain itu, ia turut membantu telur yang dipukul untuk terus stabil, tidak mudah untuk hilang buih dan isipadunya.

Menurut Cauvain, tanpa beberapa bentuk penstabilan, gelembung udara yang tersekat semasa proses pencampuran akan menyatu dengan cepat, naik ke permukaan adunan dan akan hilang.

Penambahan penstabil seperti glycerol monostearate (GMS) membantu mengawal saiz dan kuantiti gelombang udara yang bercampur dalam adunan [4].

Ciri-ciri penstabil ini menjadikannya pilihan bagi pembuat kek terutamanya kek span yang memerlukan struktur span. Ia juga digunakan dalam pembuatan aiskrim.

Produk atau Jenama yang Mempunyai Sijil Halal

Berdasarkan semakan di laman direktori HALAL Malaysia terdapat beberapa produk Ovalette yang mendapat kelulusan halal daripada pihak Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).

Jadual berikut adalah senarai produk, jenama dan syarikat serta tarikh luput sijil halal yang dimiliki mereka.

No.Nama Produk / JenamaSyarikatTarikh Luput Sijil Halal
1.Baking Needs-OvaletteNago Food Industries Sdn Bhd15/06/2022
2.Nur OvalettePlusmore Sdn Bhd31/08/2021
3.OvalettePKS Bakery Ingredients Sdn Bhd15/08/2021
4.OvaletteD Licious Empire Sdn Bhd31/01/2021
5.Ovalette-Hero Market, Bake BossMy Hero Hypermarket Sdn Bhd30/04/2021
6.Ovalette-Cake Emulsifier / Pengemulsi Kek (KIMWAH)Kimwah (Kluang) Marketing Sdn Bhd31/08/2022
7.Cake Stabiliser-Ovalett SpecialBidari Kualiti Sdn Bhd31/12/2021
8.Emulsifier / OvalettSRRI Easwari Mills Sdn Bhd15/03/2022
9.Improver (Ovalett)AIC Ingredients Sdn Bhd30/09/2022
10.OvalettS.E.A Field Food Industries Sdn Bhd28/02/2021
11.Ovalett360Horizonz Sdn Bhd31/05/2021
12.OvalettV Soon Trading30/11/2021
13.Ovalett/Super Sponge/EmulsifierSpicon Products Sdn Bhd15/07/2022
14.Ovalett 420Bakels (Malaysia) Sdn Bhd30/06/2021
15.Ovalett 428Bakels (Malaysia) Sdn Bhd30/06/2022
16.Ovalett 430Bakels (Malaysia) Sdn Bhd30/06/2022
17.Ovalett 438Bakels (Malaysia) Sdn Bhd30/06/2022
18.Ovalett 450Bakels (Malaysia) Sdn Bhd30/06/2022
19.Ovalett 458Bakels (Malaysia) Sdn Bhd30/06/2022
20.Ovalett 820Bakels (Malaysia) Sdn Bhd30/06/2022
21.Ovalett 828Bakels (Malaysia) Sdn Bhd30/06/2022
22.Ovalett Cake Stabilizer (Ovalett Kek)Kasihku Marketing Sdn Bhd31/03/2021
23.Ovalett SpecialBWY Holdings Sdn Bhd30/04/2021
24.Ovalett SpecialBakels (Malaysia) Sdn Bhd31/08/2021
25.Ovalett SpecialBWY Holdings Sdn Bhd31/05/2022
26.Ovalett Special Clear/Ovalett Special (NC)Bakels (Malaysia) Sdn Bhd31/08/2021
27.Ovalett StandardBakels (Malaysia) Sdn Bhd15/02/2022
28.Ovalett SuperBakels (Malaysia) Sdn Bhd15/02/2022
29.Ovalett SupremeBakels (Malaysia) Sdn Bhd15/02/2022
30.Ovalett Supreme (NC)Bakels (Malaysia) Sdn Bhd30/06/2022
31.Ovalett ThaiBakels (Malaysia) Sdn Bhd31/08/2021
32.Pastry Pro OvalettPastry Pro Sdn Bhd15/12/2021

Adakah Selamat Digunakan?

Secara umumnya, produk ini adalah SELAMAT untuk dimakan atau digunakan pada kadar yang telah ditetapkan.

Tiada kajian atau laporan khusus mengenai kesan negatif Ovalette terhadap manusia.

Terdapat kajian yang dijalankan terhadap penggunaan pengemulsi yang mengandungi bahan seperti carboxymethylcellulose dan polysorbate-80. Kajian terhadap haiwan ini mendapati pengemulsi ini menyebabkan keradangan gred rendah, peningkatan paras gula darah, peningkatan berat badan dan meningkatkan risiko kanser usus [5, 6].

Penstabil atau pengemulsi banyak digunakan dalam makanan berproses atau karbohidrat bertapis. Di negara ini, banyak produk yang menggunakan penstabil dan pengemulsi tidak menyatakan dengan jelas bahan-bahan yang digunakan.

Oleh hal yang demikian, bagi mereka yang mempunyai masalah kesihatan seperti penyakit kencing manis, penyakit jantung atau kanser harus mengehadkan atau menghindari makanan yang berproses.

Mereka yang mengamalkan diet Paleo atau diet PCOS juga harus mengehadkan makanan berproses.

Rumusan

Ovalette ialah produk penstabil dan pengemulsi yang selalunya digunakan dalam pembuatan kek seperti kek span. Oleh kerana produk ini boleh dihasilkan daripada lemak haiwan, maka pengguna Islam harus peka akan produk yang digunakan mempunyai sijil halal atau tidak.

Rujukan
  1. Glycerol monostearate. Wikipedia [diakses pada 2 Disember 2020].
  2. Mono- and diglycerides of fatty acids. Wikipedia [diakses pada 2 Disember 2020].
  3. Jakobsan, G. et al. (1995). Process for preparing polyglycerol fatty acid ester mixtures and use in cosmetic, pharmeceutical and chemical preparations. FPO.
  4. Cauvain, S.P. (2003). CAKES | Methods of Manufacture. Encyclopedia of Food Sciences and Nutrition (Second Edition).
  5. Chassaing, B., et al. (2015). Dietary emulsifiers impact the mouse gut microbiota promoting colitis and metabolic syndromeNature.
  6. Viennois, E., et al. (2017). Dietary Emulsifier-Induced Low-Grade Inflammation Promotes Colon CarcinogenesisCancer research.