Telur ialah antara makanan penyebab alahan yang paling biasa berlaku kepada bayi dan kanak-kanak.

Alahan terjadi apabila badan bertindak balas terhadap telur sebagai bahan berbahaya. Badan menghasilkan antibodi untuk melawan protein telur. Antibodi ini merangsang sistem imun badan untuk mengeluarkan bahan kimia seperti histamina yang menyebabkan wujudnya tanda-tanda alahan.

Alahan susu adalah alahan yang paling biasa berlaku diikuti alahan kekacang dan alahan telur. Alahan telur terbahagi kepada dua iaitu alahan berkaitan antibodi (IgE) atau alahan tidak berkaitan antibodi (1).

Alahan telur dalam kalangan kanak-kanak kebiasaannya berlaku pada awal usia dengan reaksi alahan yang teruk boleh berlaku antara usia 6 hingga 15 bulan.

tanda-tanda alahan telur

Tanda-tanda Alahan Telur

Tanda-tanda alahan telur adalah hampir sama dengan alahan-alahan lain. Tanda alahan biasanya di alami untuk jangka masa kurang daripada sehari. Tanda-tanda ini termasuklah:

  • Gatal-gatal, radang kulit (ekzema)
  • Sakit perut
  • Loya dan muntah
  • Cirit-birit
  • Hidung berair
  • Mata berair, bengkak kelopak mata
  • Nafas termengah-mengah
  • Mulut gatal, bengkak bibir
  • Tekak perit

Bagi tindak balas alahan yang teruk dikenali sebagai anafilaksis. Gejala atau tanda-tanda anafilaksis adalah (2):

  • Berasa takut
  • Muka menjadi merah
  • Mata, mulut, lidah dan bibir menjadi bengkak
  • Tekak berasa perit
  • Susah bernafas, nafas berbunyi (wheezing)
  • Loya dan muntah
  • Sakit perut
  • Pening
  • Tekanan darah rendah
  • Denyutan jantung cepat

Rawatan Alahan Telur

Bagi tindak balas alahan biasa, dapatkan rawatan segera daripada doktor. Selain itu, ubat yang boleh digunakan untuk merawat alahan ialah antihistamines, adrenaline dan steroid.

Walau bagaimanapun, dapatkan nasihat daripada doktor sebelum mengambil ubat-ubatan ini.

Bagi rawatan anafilaksis:

Anafilaksis adalah suatu keadaan kecemasan kerana ia boleh mengancam nyawa. Segera bawa anak anda ke klinik atau hospital.

Sekiranya anda mempunyai ubat EpiPen (pen suntikan yang diisi dengan Epinephrine atau Adrenaline), ambil serta-merta. Kemudian, bawa anak anda ke klinik dan hospital untuk rawatan lanjut.

Rawatan menggunakan adrenalin, antihistamines, cortisone dan kadang kala betamimetics boleh digunakan untuk mencegah anafilaksis (3).

Langkah Pencegahan

Sekiranya anak anda mempunyai alahan telur, maka elakkan daripada memakan telur atau sebarang produk makanan yang mengandungi telur.

Ibu bapa juga harus membaca label-label makanan dengan teliti sebelum membenarkan anak mereka yang mempunyai alahan mengambil makanan tersebut.

Sebarang makanan yang mengandungi perkataan emulsifier, binder, coagulant atau bahan yang bermula dengan ova– mengandungi telur.

Selain itu,bahan-bahan lain yang mengandungi telur adalah seperti berikut:

  • albumin (protein telur)
  • perasa semulajadi atau tiruan
  • pengganti telur
  • globulin
  • lecithin E322
  • livetin
  • lysozyme
  • mayonis
  • meringue
  • silici albuminate
  • simplesse
  • vitellin

Produk yang tidak boleh dimakan yang mungkin mengandungi telur termasuklah pewarna kuku, syampu, sesetengah ubat, bahan solek dan sesetengah vaksin. Kebanyakan vaksin terhadap demam selsema seperti demam kuning dan MMR (measles, mumps dan rubella) mengandungi telur.

Write A Comment