Nutrisi

Suplemen Yang Perlu Dielakkan Semasa Mengandung

Pinterest LinkedIn Tumblr

Terdapat juga suplemen atau makanan tambahan yang perlu dielakkan semasa mengandung. Hal ini kerana kandungan mikronutrien dalam suplemen ini mungkin boleh membawa kesan negatif terhadap kesihatan ibu dan anak dalam kandungan.

Mungkin sesetengah suplemen itu selamat diambil ketika tidak hamil tetapi berbahaya ketika seorang wanita itu hamil.

Oleh itu, penting untuk kaum ibu mengetahui kesan suplemen atau makanan tambahan yang ingin diambil semasa kehamilan.

Berikut ialah 7 suplemen yang harus dielakkan semasa mengandung atau kehamilan:

1. Vitamin E

Vitamin E ialah vitamin larut lemak yang bertindak sebagai antioksidan yang membantu melindungi sel-sel daripada rosak akibat radikal bebas. Vitamin E juga diperlukan untuk meningkatkan sistem imun badan (1).

Vitamin E boleh didapati daripada makanan harian seperti kekacang, sayur-sayuran dan minyak.

Walau bagaimanapun, suplemen atau makanan tambahan vitamin E tidak disyorkan diambil ketika awal kehamilan kerana dikhuatiri boleh membahayakan janin (2).

suplemen yang perlu dielakkan semasa mengandung

2. Vitamin A

Vitamin A ialah vitamin yang penting untuk perkembangan mata dan sistem imun janin. Namun, sekiranya terlalu banyak dan berlebihan vitamin ini membahayakan.

Vitamin A ialah larut lemak, badan akan menyimpan lebihan vitamin ini dalam hati. Sekiranya lebihan vitamin ini terkumpul secara berlebihan maka ia akan menjadi toksik kepada badan.

Ketoksikan ini membawa kepada kerosakan hati dan menyebabkan kecacatan kepada bayi.

Sebagai contoh, vitamin A yang berlebihan semasa mengandung menyebabkan kecacatan kepada bayi (3).

Kebiasaannya, vitamin pranatal dan diet adalah cukup untuk membekalkan vitamin A kepada ibu mengandung. Makanan tambahan (suplemen) lain tidak digalakkan.

3. Black Cohosh

Black cohosh ialah ahli keluarga buttercup, iaitu pokok yang berasal dari Amerika Utara. Ahli perubatan tradisional Amerika dan China menggunakan pokok ini untuk merawat pelbagai penyakit dan sebagai penghalau serangga.

Herba ini tidak sesuai diambil semasa mengandung kerana boleh menyebabkan pengecutan rahim, seterusnya menyebabkan kelahiran pramatang (4).

4. Dong Quai

Akar Dong Quai digunakan untuk membuat ubat.

Dong quai kebiasaannya diambil secara makan untuk merawat senggugut, merawat gejala menopaus (putus haid), ejakulasi pramatang, darah tinggi dan lain-lain lagi.

Ibu mengandung harus mengelak suplemen ini kerana dong quai boleh merangsang pengecutan rahim, meningkatkan risiko kecacatan bayi (5).

5. Yohimbe

Yohimbe ialah makanan tambahan (suplemen) yang diperbuat daripada kulit pokok dari Afrika.

Makanan tambahan ini kebiasaannya digunakan untuk merawat mati pucuk. Suplemen ini juga turut popular dalam kalangan mereka yang ingin kurus kerana membantu membakar lemak.

Suplemen ini harus dielakkan semasa mengandung kerana dikaitkan dengan risiko darah tinggi, kebimbangan, degupan jantung laju, dan sakit kepala. Pada dos yang tinggi, Yohimbe ini boleh menyebabkan kegagalan jantung atau kematian (6).

Yohimbe juga mungkin akan memberi kesan terhadap janin dan membahayakan kehamilan. Suplemen ini juga boleh meracuni bayi dalam kandungan (7).

6. Goldenseal

Goldenseal ialah pokok herba yang berasal dari Amerika Utara.

Goldenseal juga digunakan sebagai makanan tambahan untuk merawat jangkitan pernafasan, cirit-birit dan sembelit.

Makanan tambahan goldenseal harus dielakkan oleh ibu mengandung. Hal ini kerana berberine iaitu bahan yang dijumpai dalam goldenseal boleh menyebabkan atau memburukkan penyakit kuning kepada bayi yang baru lahir (8).

7. Angelica

Angelica ialah tumbuhan yang mana akar, biji benih, daun dan buahnya digunakan untuk membuat ubat.

Suplemen angelica kebiasaannya digunakan untuk pedih ulu hati, hilang selera makan, strok, insomnia dan macam-macam lagi.

Suplemen ini harus dielakkan oleh ibu mengandung kerana suplemen ini boleh menyebabkan pengecutan rahim. Ini boleh membahayakan kandungan (9).

Kesimpulan

Kehamilan ialah satu proses perkembangan dan tumbesaran. Oleh itu, menjaga kesihatan dan pemakanan adalah keutamaan utama.

Terdapat suplemen atau makanan tambahan yang diperlukan semasa mengandung dan terdapat juga suplemen yang perlu dielakkan semasa mengandung.

Oleh itu, dapatkan nasihat doktor sebelum mengambil apa-apa suplemen semasa mengandung.

Write A Comment