Dalam masyarakat melayu, santan kelapa sudah tidak asing lagi. Santan banyak digunakan dalam masakan melayu sejak dahulu lagi. Walau bagaimanapun, mutakhir ini terdapat banyak tanggapan masyarakat yang menyatakan santan ini menyebabkan kolesterol tinggi.

Adakah tanggapan ini benar? Teruskan membaca.

Artikel ini merungkai khasiat kesihatan dan manfaat santan kelapa atau sebarang kesan buruknya berdasarkan kajian-kajian yang telah dilakukan.

Bagaimana Santan Kelapa dihasilkan?

Santan kelapa dihasilkan daripada isi kelapa tua yang diparut. Parutan isi kelapa ini akan dicampur dengan air dan diperah serta ditapis untuk mendapatkan santannya.

Bagi mendapatkan santan yang pekat, hanya satu kali campuran air dan perahan digunakan dalam parutan isi kelapa ini.

Manakala bagi santan yang cair, baki parutan isi kelapa yang telah digunakan untuk mendapatkan santan pekat dicampur air dan diperah untuk kali kedua atau ketiga bagi mendapatkan santan cair.

khasiat santan kelapa

1) Kandungan Nutrisi

Santan kelapa ialah makan yang tinggi kalori.

Kira-kira 93% daripada kalorinya datang dari lemak termasuklah lemak tepu yang dikenali sebagai medium-chain triglycerides (MCTs).

Dalam satu cawan (240 gram) santan kelapa terdapat nutrien berikut:

  • Tenaga: 552 kcal
  • Protein: 5.5 gram
  • Lemak: 57 gram
  • Karbohidrat: 13 gram
  • Serat: 5.3 gram
  • Kalsium: 38.4 miligram
  • Zat besi: 3.9 miligram
  • Magnesium: 88.8 miligram
  • Fosforus: 240 miligram
  • Kalium: 631 miligram
  • Selenium: 14.9 mikrogram
  • Vitamin C: 6.7 miligram
  • Folat: 38.4 mikrogram
  • Asid lemak tepu: 50.7 gram
  • Asid lemak mono taktepu: 0.63 gram

2) Kesan kepada Tahap Kolesterol Badan

Disebabkan santan kelapa tinggi dengan kandungan lemak tepunya, ramai tertanya-tanya sama ada santan ini baik untuk kesihatan jantung atau tidak.

Kajian khusus terhadap santan kelapa adalah amat terhad, namun terdapat satu kajian menunjukkan santan mempunyai manfaat kepada kadar kolesterol.

Kajian selama 8 minggu yang dijalankan oleh Institute of Cardiology, National Hospital of Sri Lanka terhadap 60 orang individu sihat mendapati, bubur santan kelapa menurunkan kadar kolesterol – LDL (kolesterol jahat) dan meningkatkan kadar kolesterol-HDL (kolesterol baik) (1).

Terdapat juga kajian mendapati emping kelapa boleh menurunkan paras kolesterol-LDL (kolesterol jahat) dan paras trigliserida (pembawa lemak dalam darah) (2).

Walau bagaimanapun, asid laurik dalam santan kelapa boleh meningkatkan kolesterol-LDL (kolesterol jahat) dengan mengurangkan aktiviti penerima (receptor) yang menyingkirkan LDL dalam darah (3).

Dalam satu kajian terhadap wanita sihat, menggantikan 14% lemak mono taktepu dengan asid laurik menyebabkan kenaikan kolesterol-LDL sebanyak 16%, manakala menggantikan 4% lemak ini dengan asid laurik hanya memberi impak yang sedikit kepada kolesterol (4, 5).

3) Kesan kepada Penurunan Berat Badan

Santan kelapa mengandungi lemak MCT.

Terdapat beberapa bukti yang menunjukkan lemak MCT mempunyai manfaat kepada hilang berat badan, komposisi badan dan metabolisma.

MCT merangsang tenaga melalui proses yang dikenali sebagai termogenesis atau penghasilan haba.

Beberapa kajian mendapati MCT berguna dalam menurunkan berat badan dan ukur lilit pinggang. MCT juga boleh seimbangkan mikrobiota usus yang tidak stabil (6).

Satu kajian kecil, lelaki yang berat badan berlebihan yang mengambil 20 gram minyak MCT ketika sarapan pagi makan kurang 272 kalori ketika makan tengah hari. Ini menunjukkan MCT dapat membantu dalam pengurangan kalori seterusnya membantu penurunan berat badan (7).

4) Meningkatkan Sistem Imunisasi

Santan kelapa juga mempunyai lemak yang dikenali sebagai asid laurik.

Asid laurik ini ditukarkan dalam badan kepada sebatian yang dikenali sebagai monolaurin iaitu sebatian yang mempunyai sifat antivirus, antikulat dan antibakteria (8, 9).

Terdapat kajian lain yang mendapati asid laurik ini mencetuskan apoptosis (kematian sel) kepada sel kanser payudara dan endometrium. Kajian ini menunjukkan bahawa asid ini boleh mencegah tumbesaran sel kanser (10).

Kesimpulan

Secara keseluruhannya, santan kelapa mempunyai banyak khasiat dan manfaat kepada kesihatan.

Kajian-kajian menunjukkan manfaat santan kelapa kepada sistem imunisasi dan penurunan berat badan.

Bagi isu kolesterol, kajian khusus terhadap pengaruh santan kelapa terhadap kadar kolesterol baik dan jahat amatlah terhad. Menariknya, dapatan kajian yang ada itu mendapati santan kelapa boleh menurunkan kolesterol jahat dan meningkatkan kolesterol baik.

Kajian-kajian lain banyak menfokuskan terhadap minyak kelapa berbanding santan kelapa.

Write A Comment