Nutrisi

Pantang Larang Makanan Pesakit Buasir

Pinterest LinkedIn Tumblr

Penjagaan pemakanan amat penting kepada pesakit buasir. Oleh itu, pesakit buasir harus menjaga pantang larang makanan bagi mengelakkan sakit buasir tersebut bertambah teruk.

Buasir ialah keadaan dimana salur darah vena membengkak dan mengalami keradangan di bawah rektum dan sekitar dubur.

Pada asasnya, pesakit buasir perlu memilih makanan yang tinggi dengan serat bagi mempercepatkan pemulihan. Makanan yang kaya dengan serat dapat membantu melembutkan najis dan memudahkannya melalui usus dan rektum (1).

Sayur-sayuran, buah-buahan, kekacang dan bijiran penuh adalah antara pilihan makanan yang tinggi dengan kandungan serat diet.

Selain itu, pesakit buasir perlu membanyakkan minum air, sup atau buah-buahan yang tinggi kandungan air seperti tembikai. Air boleh membantu serat berfungsi dengan lebih efektif.

pantang larang makanan untuk pesakit buasir

Namun begitu, pesakit buasir juga harus menjaga pantang larang makanan yang boleh menyebabkan sembelit dan menambah kesakitan pada buasir.

Antaranya adalah seperti berikut:

1. Produk tenusu

Produk tenusu seperti susu, keju, aiskrim dan yang seangkatan dengannya harus dielakkan.

Produk tenusu boleh menyebabkan ketidakselesaan dan menghasilkan gas yang menyumbang kepada kesakitan dan kekejangan semasa sembelit.

Sekiranya seseorang itu mempunyai masalah tidak tahan kepada laktosa, mereka akan mengalami cirit-birit. Ini akan menyebabkan sakit buasir bertambah teruk.

2. Tepung putih

Tepung putih adalah tepung yang telah dibuang beberapa komponen bijirin yang penting seperti ‘bran’ dan ‘germ’. Ini membuatkan makanan yang dihasilkan menggunakannya tepung putih kurang kandungan serat.

Antara makanan yang dihasilkan menggunakan tepung putih adalah roti putih, pasta atau kuih-muih yang berasaskan tepung.

3. Daging merah

Daging merah mengambil masa yang lebih lama untuk dihadamkan dan boleh memburukkan lagi sembelit.

Selain itu, daging merah juga mengandungi serat yang rendah. Secara tidak langsung, pengambilan daging merah boleh mengurangkan pengambilan serat harian dalam diet anda. Ini akan meningkatkan risiko sembelit.

Daging merah juga tinggi dengan kandungan lemak. Makanan yang tinggi kandungan lemak mengambil masa yang lebih lama untuk dihadam. Pemakanan seperti ini juga meningkatkan risiko sembelit (2).

4. Makanan bergoreng dan makanan ringan

Makanan bergoreng adalah tinggi dengan kandungan lemak dan rendah dengan serat. Kombinasi ini akan menyebabkan penghadaman yang perlahan seperti mana senario yang terjadi bagi daging merah.

5. Daging proses

Daging proses seperti sosej, burger, nugget dan lain-lain lagi boleh meningkatkan risiko sembelit kerana makanan-makanan ini tinggi dengan kandungan garam dan rendah dengan serat.

6. Makanan masin

Makanan masin boleh mengurangkan kandungan air dalam najis dan menyebabkannya kering serta sukar untuk dikeluarkan.

Hal ini berlaku kerana badan akan menyedut lebih banyak air dari usus untuk membantu mengimbangi garam berlebihan dalam salur darah anda.

7. Makanan pedas

Makanan pedas boleh menyebabkan kesakitan dan ketidakselesaan kepada buasir terutamanya ketika membuang air besar.

8. Minuman berkafein

Minuman berkafein boleh menyebabkan najis menjadi keras dan menyebabkan kesakitan semasa membuang air besar.

9. Arak / Alkohol

Seperti mana minuman berkafein, arak juga boleh mengeringkan najis.

Selain itu, pengambilan arak terlampau banyak boleh menyebabkan dehidrasi akibat kehilangan air yang banyak melalui air kencing. Seterusnya meningkatkan risiko sembelit.

Kesimpulan

Salah satu punca penyakit buasir adalah akibat daripada pemakanan harian kita.

Oleh itu, penjagaan makanan atau menjaga pantang larang makanan boleh mengurangkan gejala dan mempercepatkan penyembuhan.

Sekiranya gejala-gejala buasir tidak juga menunjukkan penambahbaikan selepas anda menjaga pemakanan anda, dapatkan rawatan daripada doktor untuk mengetahui rawatan terbaik untuk anda.

Write A Comment