Pengalaman mengandung semestinya satu pengalaman yang baru dan menakjubkan bagi seorang wanita. Terutamanya bagi kehamilan pertama. Pelbagai mitos dan fakta tentang kehamilan akan didengari sepanjang 9 bulan kehamilan ini.

Walau bagaimanapun, tidak semua mitos itu benar dan tidak semua mitos itu salah.

mitos dan fakta tentang kehamilan

Berikut merupakan beberapa huraian mengenai mitos dan fakta tentang kehamilan:

Mitos: Sekarang anda sedang mengandung, maka anda perlu makan untuk dua orang.

Fakta: Adalah benar ada peningkatan kepada keperluan nutrien, namun keperluan itu hanyalah peningkatan sebanyak 80 kcal hingga 470 kcal sahaja.


Mitos: Kurus semasa mengandung akan memudahkan proses kelahiran.

Fakta: Ibu yang tidak memiliki berat yang mencukupi semasa mengandung berisiko menyebabkan bayi mereka menghadapi komplikasi seperti kelahiran pramatang.


Mitos: Ibu yang mendapat berat badan yang betul semasa mengandung, tiada peningkatan lemak.

Fakta: Kehamilan yang sihat termasuklah peningkatan atau simpanan lemak. Lemak ini akan digunakan oleh badan semasa bersalin dan penyusuan.


Mitos: Ibu mengandung hanya mengidam makanan yang diperlukan oleh badannya sahaja.

Fakta: Ibu mengandung boleh mengidam pelbagai jenis makanan. Namun, mengidam bukanlah satu-satunya tanda kepada keperluan nutrisi.


Mitos: Ibu mengandung yang sihat tidak akan mengalami apa-apa ketidakselesaan.

Fakta: Ibu mengandung yang sihat tidak akan terlepas daripada loya, sembelit dan pedih ulu hati. Namun, ibu mengandung yang mengamalkan pemakanan yang sihat boleh mengurangkan gejala ini.


Mitos: Bentuk perut boleh menentukan jantina bayi. Perut melondeh ke bawah adalah bayi lelaki, perut tegang ke atas itu adalah bayi perempuan.

Fakta: Sebenarnya, bentuk perut yang melondeh atau tegang ke atas hanyalah disebabkan otot perut ibu itu. Ibu yang mempunyai otot perut yang kuat akan kelihatan tegang ke atas atau kerana ia adalah kehamilan pertamanya.


Mitos: Makan pedas ketika mengandung boleh menyebabkan buta kepada bayi.

Fakta: Makan makanan yang pedas adalah selamat tetapi boleh membawa kepada pedih ulu hati.


Mitos: Kadar denyutan janin boleh menentukan jantina.

Fakta: Tidak. Kadar normal denyutan jantung janin dalam rahim berkadaran antara 120 hingga 160 denyutan seminit.


Mitos: Bayi yang besar adalah bayi yang sihat.

Fakta: Salah. Purata berat bayi ialah 3.4kg. Berat bayi yang melebihi berat ini mempunyai potensi menghidap diabetes dan obesiti kemudian hari (1, 2)

Mitos: Mengadakan hubungan kelamin disekitar tarikh bersalin boleh mempercepatkan proses kelahiran.

Fakta: Mungkin benar. Air mani atau semen mengandungi hormon yang boleh mencetuskan kelahiran. Walau bagaimanapun, tiada data yang jelas dan khusus untuk menyokong kenyataan ini (3).


Mitos: Ibu mengandung tidak boleh mandi air panas ketika mengandung.

Fakta: Benar. Ibu mengandung harus menghindari sauna, jakuzi atau apa-apa yang boleh meningkatkan suhu badan melebihi 39 darjah celcius (4).

Write A Comment