Nutrisi

Manfaat dan Khasiat Terung untuk Kesihatan

Pinterest LinkedIn Tumblr

Khasiat terung mungkin tidak dibincangkan sehebat resepi terung. Tetapi, tahukah anda bahawa terung merupakan buah atau sayuran yang sarat dengan vitamin dan antioksidan.

Terung atau nama saintifiknya Solanum melongena L. berasal dari benua India. Terung yang mempunyai banyak khasiat ini telah ditanam di India dan China sejak 1500 tahun dahulu. Buah terung bukan sahaja kaya dengan nutrisinya malah mampu melindungi diri kita daripada penyakit yang berbahaya seperti kanser dan penyakit jantung.

Terdapat beberapa jenis terung yang direkodkan. Antaranya adalah terung bali, terung belanda, terung ungu, terung asam, terung hitam, terung pipit, terung pipit putih dan terung rembang.

khasiat terung

Berikut merupakan 6 manfaat dan khasiat terung kepada kesihatan kita:

1) Terung Kaya dengan Nutrien

Sayur terung merupakan sayuran yang kaya dengan nutrien, mengandungi serat, mineral dan vitamin yang tinggi.

Bagi 100g terung mentah, terdapat nutrien seperti berikut:

  • Tenaga: 25 kcal
  • Protein: 0.98 gram
  • Karbohidrat: 5.88 gram
  • Serat: 3 gram
  • Gula: 3.53 gram
  • Kalsium: 9 miligram
  • Magnesium: 14 miligram
  • Kalium (Potassium): 229 miligram
  • Fosforus: 24 miligram
  • Natrium (Sodium): 2 miligram
  • Folat: 22 mikrogram
  • Vitamin K: 3.5 mikrogram
  • Vitamin C: 2.2 miligram

2) Tinggi dengan Antioksidan

Sayur terung juga kaya dengan antioksidan yang bertindak sebagai peneutral atau pengitar semula radikal bebas. Radikal bebas ini boleh merosakkan sel seperti sel DNA, lipid dan protein. Kerosakan ini boleh membawa kepada kanser, penyakit kardiovaskular, penyakit hati dan juga beberapa penyakit lain.

Menurut kajian, buah terung mengandungi sebatian bioaktif seperti fenolik, karatenoid dan alkaloid (1).

Sebatian fenolik dan karatenoid ini popular dengan ciri-ciri antioksidannya. Kapasiti antioksidan ini dipengaruhi oleh warna kulit dan saiz buah terung. Buah terung kecil berwarna ungu mempunyai kandungan fenolik dan antosianin serta kapasiti antioksidan yang lebih tinggi berbanding buah terung jenis lain (2).

2) Baik untuk Kesihatan Jantung

Satu kajian, arnab yang tinggi dengan kolesterol diberi 10ml sehari jus dari buah terung selama 2 minggu. Akhir kajian didapati, arnab yang diberikan jus terung mempunyai kadar kolesterol “jahat” (LDL) dan trigliserida menurun. Kolesterol LDL dan trigliserida yang tinggi boleh membawa kepada risiko penyakit jantung (3).

3) Mengawal Tekanan Darah

Terung kaya dengan mineral kalium (potassium) dan rendah natrium (sodium). Kalium berperanan untuk memastikan badan dapat berfungsi dengan baik. Kalium dapat merendahkan tekanan darah dengan mengimbangkan kesan negatif daripada garam (natrium).

Satu kajian terhadap tikus yang menghidap tekanan darah tinggi mendapati, buah terung mengurangkan tahap tekanan darah secara signifikan walaupun pada dos yang rendah (4).

4) Bersifat Antikanser

Buah terung mempunyai sebatian bioaktif seperti fenolik, karotenoid dan alkaloid. Sebatian fenolik memainkan peranan penting dalam mencegah dan merawat kanser.

Dalam satu kajian terhadap sel kanser gastrik dan sel normal, ekstrak terung menunjukkan kesan toksik lebih pada sel kanser berbanding sel normal (5).

Berdasarkan beberapa kajian, Glycoalkaloid dalam terung berpotensi untuk mengubati kanser seperti kanser gastrik dan kanser paru-paru (6,7,8).

Walau bagaimanapun, glycoalkaloid boleh menjadi toksik pada kepekatan yang tinggi.

5) Sesuai untuk Menurunkan Berat Badan

Kandungan serat yang tinggi dalam buah terung dan kalori yang rendah menjadikan terung satu pilihan yang baik untuk dijadikan makanan untuk menurunkan berat badan.

Bagi 100gram terung mentah, terdapat 3 gram serat.

Serat dapat membuat kita kenyang lebih lama kerana serat melalui saluran pencernaan dengan perlahan dan dapat mengurangkan pengambilan lebih kalori (9).

6) Baik untuk Kesihatan Mata

Kandungan karotenoid seperti lutein dan zeaxantin dalam terung dapat melindungi mata daripada penyakit mata seperti degenerasi makular berkaitan usia dengan menyerap cahaya biru yang memasuki mata (10).

Khasiat-khasiat Terung yang Lain

7) Boleh Mencegah Jangkitan Bakteria: Kajian yang dijalankan terhadap ekstrak terung mendapati terung adalah berkesan untuk mencegah jangkitan oleh bakteria jenis S. aureus, V. cholera, B.subtilis, B. cereus, E. coli dan Pseudomonas sp. (11).

8) Boleh Mengurangkan Keradangan

Kajian yang dijalankan oleh pengkaji dari Chung-Ang University, Korea mendapati tangkai terung mempunyai sifat antiradang dengan mengurangkan penghasilan bahan atau enzim yang menyebabkan keradangan dalam badan (12).

Kesimpulan

Khasiat terung sepertimana yang dibincangkan ini amatlah bermanfaat untuk kesihatan kita. Malah, buah terung juga mudah untuk dimasak dan dipelbagaikan dalam menu masakan.

Amalan pemakanan terung boleh membantu mengurangkan risiko terkena penyakit jantung, kanser dan juga penyakit makular mata. Selain itu, terung baik untuk mengawal tekanan darah, membantu menurunkan berat badan, boleh mencegah jangkitan bakteria dan mengurangkan keradangan.

Kemaskini terakhir pada 27 Julai 2020

Rujukan

5 Comments

  1. terung antara sayuran yang paling senang dan subur pernah saya tanam.. puas dah makan terung.. anak-anak pun suka

Write A Comment