Nutrisi

Makanan Yang Menyebabkan Sembelit

Pinterest LinkedIn Tumblr

Sembelit ialah keadaan dimana anda membuang air besar kurang daripada 3 kali seminggu. Minuman dan makanan juga boleh menyebabkan sembelit.

Sembelit boleh disebabkan oleh banyak faktor. Antaranya ialah pemakanan yang rendah serat diet, kurang minum air, gaya hidup yang banyak duduk, sindrom usus iritabel (IBS) dan lain-lain lagi.

Sesetengah makanan boleh melegakan sembelit namun ada juga makanan yang boleh menyumbang kepada sembelit.

Berikut merupakan beberapa makanan yang boleh menyumbang kepada masalah sembelit.

1. Bijian yang diproses

Bijian yang diproses dan produk yang dihasilkan daripadanya seperti roti putih, pasta putih dan nasi putih rendah dengan kandungan serat. Makanan jenis ini boleh memburukkan lagi sembelit.

Banyak kajian yang mengaitkan pengambilan serat yang tinggi boleh mengurangkan risiko sembelit (1, 2).

Maka, mereka yang mengalami sembelit akan beroleh manfaat dengan mengantikan makanan berasaskan bijian diproses dengan bijian penuh.

Walaupun serat yang lebih bermanfaat kepada kebanyakan orang, namun ada juga mereka yang mendapat kesan sebaliknya. Bagi mereka, serat yang berlebihan akan memburukkan lagi sembelit (3).

makanan menyebabkan sembelit

2. Makanan yang mengandungi gluten

Gluten ialah protein yang boleh dijumpai dalam bijian seperti gandum dan barli.

Sesetengah orang mengalami sembelit apabila makan makanan yang mengandungi gluten (4).

Golongan ini mempunyai masalah yang dikenali sebagai intolerans gluten atau penyakit seliak.

Apabila seseorang dengan penyakit ini makan makanan yang mengandungi gluten, sistem imunnya menyerang dan mencederakan usus mereka. Oleh itu, mereka ini harus mengikut diet bebas gluten (5).

3. Alkohol (Arak)

Arak juga antara minuman atau makanan yang menyebabkan sembelit.

Arak boleh menyebabkan dehidrasi dengan meningkatkan jumlah air atau bendalir keluar melalui air kencing.

Kehilangan air yang banyak atau kurang minum air boleh meningkatkan risiko sembelit (6).

4. Susu atau produk tenusu

Bagi sesetengah orang, produk tenusu juga boleh menyebabkan sembelit.

Bayi dan kanak-kanak adalah antara mereka yang senang terdedah kepada sembelit kemungkinan akibat sensitif terhadap protein yang terdapat dalam susu lembu (7).

Satu kajian yang dijalankan selama 26 tahun mendapati kanak-kanak yang mempunyai sembelit kronik menunjukkan tindak balas yang baik selepas susu lembu dikeluarkan dalam diet mereka (8).

Selain boleh menyebabkan alahan susu lembu, susu lembu juga boleh menyebabkan sembelit kronik dalam kalangan kanak-kanak (9).

5. Daging merah

Daging merah boleh menyebabkan sembelit kerana daging merah mengandungi lemak yang agak tinggi. Makanan yang tinggi lemak mengambil masa yang lebih lama untuk dihadam.

Selain itu, daging merah juga rendah dengan serat dan secara tidak langsung menyebabkan seseorang itu kurang mengambil makanan berasaskan serat.

Senario ini akan menyebabkan pengambilan serat diet yang rendah dalam menu harian seterusnya meningkatkan risiko mengalami sembelit (10).

6. Makanan segera dan bergoreng

Makan makanan ringan pada kuantiti yang banyak boleh menyumbang kepada sembelit.

Hal ini kerana makanan jenis ini kebiasaannya tinggi dengan lemak dan rendah dengan serat. Kombinasi yang boleh melambatkan proses penghadaman.

Ramai juga yang percaya coklat adalah salah satu penyebab sembelit kepada mereka (11).

Makanan ringan juga selalunya tinggi dengan kandungan garam. Garam akan menyebabkan najis kurang kandungan air dan kering. Seterusnya menyebabkan najis ini sukar untuk disingkirkan (12).

7. Buah pisang kaki

Buah pisang kaki atau dalam bahasa inggerisnya dikenali sebagai persimmon adalah buah yang agak popular di Asia.

Terdapat banyak jenis buah ini, ada yang manis dan ada yang kelat.

Pisang kaki yang kelat mengandungi jumlah tanin yang tinggi. Tanin dipercayai mengurangkan perembesan dan pengecutan usus seterusnya memperlahankan pergerakan dalam usus (13).

Keadaan ini akan membawa kepada sembelit. Oleh sebab itu, sekirannya diambil pada jumlah yang banyak, pisang kaki boleh menyebabkan sembelit terutamanya yang rasanya kelat.

Kesimpulan

Walaupun sembelit itu adalah perkata normal, namun ia menyebabkan rasa tidak selesa.

Oleh itu, pengambilan makanan yang sesuai dan seimbang dapat mengurangkan risiko daripada terkena sembelit.

Sekiranya anda mudah untuk mengalami sembelit, jauhi makanan yang menyebabkan sembelit seperti yang disenaraikan.

Write A Comment